1 Kakak 7 Ponakan yang membawa maksud 1 Abang 7 Anakbuah adalah sebuah filem drama keluarga dari Indonesia menyajikan sebuah kisah menyentuh hati yang membawakan tema pengorbanan, kekeluargaan, dan impian yang tertangguh. Filem ini bukan sekadar hiburan ringan namun mengajak penonton merenung tentang erti tanggungjawab dalam kehidupan sebenar.

Filem ini mengisahkan seorang pemuda iaitu Moko (Chicco Kurniawan) yang terpaksa membesarkan tujuh anak saudara selepas tragedi menimpa keluarga mereka. Dengan latar belakang penuh cabaran, filem ini mengetengahkan nilai kasih sayang, pengorbanan, dan kekuatan ikatan kekeluargaan, disampaikan dengan elemen humor dan keikhlasan yang menyentuh hati.
Filem arahan Yandy Laurens dan diterbitkan oleh Manoj Samtani, Lavesh Samtani dan Suryana Paramita, terbitan bersama Mandela Pictures dan Cerita Films ini telah meraih lebih 1.2 juta penonton di pawagam di Indonesia. Selepas mencipta fenomena di Indonesia, filem ini kini melebarkan sayapnya ke Malaysia untuk tontonan para peminat di sini dan mula ditayangkan di Malaysia bermula 24 April 2025.
Majlis Malam Gala dan Sidang Media filem 1 Kakak 7 Ponakan telah diadakan di GSC Mid Valley pada 21 April 2025 dengan kehadiran pelakon utama dari Indonesia iaitu Chicco Kurniawan dan Freya JKT48 serta pengarah Yandy Laurens dan barisan penerbit. Peminat dan pemenang tiket bertuah yang berpeluang menonton tayangan perdana filem ini mula membanjiri ruang karpet merah seawal jam 7.30 malam. Penampilan Chicco dan Freya di karpet merah telah mencuri perhatian, diiringi dengan sorakan gemuruh daripada para peminat.
Chicco Kurniawan, Freya JKT48 dan Yandy Laurens turut berkesempatan untuk hadir ke studio Kool 101 bagi sesi temubual bersama penyampai radio Kool 101 sebelum berlangsungnya Majlis Malam Gala dan Sidang Media jam 8 malam di GSC Mid Valley. Apabila ditanyakan adakah Chicco pernah mengalami situasi yang serupa dengan wataknya dalam filem ini, menurutnya pernah dalam situasi tersebut cuma perasaan yang dirasai ketika itu cukup berbeza.
“Keadaannya mirip, cuma perasaannya cukup berbeza. Tapi yang sama adalah harapannya. Saya ingin selalu mampu menjadi orang seperti Moko. Karakternya memilih untuk mengutamakan kasih sayang daripada kepahitan dalam hidup.” – Chicco Kurniawan
Dalam pada itu, Yandy Laurens yang terkesan dengan lakonan Chicco sebelum ini membuatkannya memilih Chicco untuk memegang watak Moko dan percaya kepada kemampuannya. Katanya, ketika itu Chicco yang terlalu gemuruh apabila diminta untuk screen test tidak menyangka akan dipilih Yandy untuk menghidupkan watak pemuda yang perlu menanggung tujuh anak saudaranya.
“Kalau Chicco masa screen test dia terus datang ke pejabat dan kami berborak hampir 6 jam. Kami berusaha kenal jadi berboraknya lebih tentang satu sama lain sahaja sebagai teman. Dah berborak hingga lewat malam baru teringat kena screen test. Dia sangat nervous jadi lakonannya huru-hara sekali. Dia siap cakap dekat manager lepas balik dari screen test rasanya dia takkan diterima berlakon untuk filem ini.” – Yandy Laurens
Berbeza pula dengan Freya yang mana Yandy langsung tidak bertemu dengannya sebelum screen test.
“Freya saya tak jumpa pun, Casting Director yang jumpa kerana waktu itu sudah mula persiapan production. Malah saya sebagai pengarah rasa beruntung dapat pelakon seperti mereka berdua kerana dari awal hingga selesai, mereka memberikan jauh lebih besar dari apa yang saya bayangkan.” – Yandy Laurens
Chicco yang pertama kali menjejakkan kaki di Malaysia, turut meluahkan rasa gembira dan terharu melihat rakan-rakan media yang hadir ke sidang media pada malam tersebut. Beliau juga mengharapkan peminat di Malaysia dapat menerima baik filem 1 Kakak 7 Ponakan ini dan tidak merasa rugi untuk menontonnya.
Sebagai sebuah filem yang menonjolkan nilai kekeluargaan, 1 Kakak 7 Ponakan sangat sesuai untuk tontonan seisi keluarga. Jalan ceritanya yang relevan dan emosinya yang tulus menjadikan filem ini antara karya terbaik dalam genre drama keluarga pada tahun ini. Karya yang memberi kesan mendalam kepada penonton dan tidak mudah untuk dilupakan.