Siapa pernah tengok filem Crocodile Dundee lakonan Paul Hogan mesti ingat lagi filem yang pernah menjadi fenomena tentang pemburuan buaya ni. Pada asalnya filem ini sekadar ingin memaparkan kehidupan pemburu buaya di Australia kepada penonton di Amerika Syarikat, tapi jadi terkenal ke seluruh dunia pula. Tapi sebenarnya filem Crocodile Dundee ni berdasarkan kisah sebenar seorang lelaki bernama Rod Ansell, seorang pemburu hidupan liar di Australia. Di Malaysia, kita juga dikenalkan dengan seorang pemburu buaya melalui rancangan dokumentari ‘The Crocodile Hunter’ yang di hoskan oleh Steve Irwin.
Bagaimanapun, pemburu buaya yang sebenar bukanlah Rod Ansell ataupun Steve Irwin, tetapi Mick Pitman yang dikatakan telah memburu sebanyak 20,000 ekor buaya liar. Beliau merupakan seorang pemburu buaya profesional yang telah memulakan kerjaya memburu buaya seawal usia remaja lagi.
Zaman Kanak-Kanak Yang Sunyi
Mick Pitman dilahirkan pada tahun 1958 telah membesar di Sheffield, Tasmania dalam sebuah keluarga yang agak bermasalah. Pitman mempunyai empat adik beradik. Semasa zaman kanak-kanaknya, dikatakan bapanya merupakan seorang kaki mabuk dan sering meletakkan kehidupan mereka sekeluarga dalam keadaan sengsara. Ketika berumur lapan tahun, bapanya pernah memukul Pitman sehingga patah hidungnya. Memasuki umur 13 tahun, selepas pakciknya melihat kehidupan Pitman yang melarat, dia dimasukkan ke latihan pempaipan. Ketika berumur 20 tahun, ibunya pula meninggal dunia akibat Barah Tulang Belakang.

Kemudian secara beransur-ansur, Pitman berpindah ke arah utara dan berakhir di Teluk Carpentaria, sekitar 930 batu si sebelah timur Darwin di pantai utara tropika Australia. Dia memulakan syarikat pempaipannya sendiri. Di situlah buat pertama kalinya Mick Pitman bertemu dengan mentornya, Jack Kiel atau lebih dikenali dengan panggilan German Jack. Bagi Pitman, Jack adalah seperti ayahnya sendiri dan ibarat seorang ayah yang dia tak pernah miliki. Pitman dikatakan sangat menghargai jasa mentornya itu.
Menjadi Pemburu Haram
Pada awalnya Jack seperti enggan untuk membawa Pitman pergi memburu sekali, tetapi akhirnya setelah dipujuk dia pun setuju untuk membawa Pitman yang baru sahaja berusia 20 tahun ketika itu. Pitman mengikuti Jack buat pertama kali untuk memburu buaya pada waktu malam. Ketika memburu, seekor buaya kelihatan dan Pitman dengan perlahan cuba untuk mendapatkan senjatanya. Tetapi mentornya memintanya untuk menyimpan senjata tu dan tangkap buaya tersebut menggunakan tangan.
Pitman tanpa berfikir panjang terus terjun ke dalam paya dan ‘bergusti’ dengan buaya tersebut. Akhirnya Pitman berjaya menangkap buaya pertamanya dan Jack ketika itu tidak menyangka Pitman akan terjun ke dalam paya untuk menangkap buaya. Menurut Pitman, dia memang seorang yang tidak akan tolak sebarang cabaran.

Bermula daripada situ Mick Pitman memulakan kerjayanya sebagai pemburu buaya tetapi secara haram. Selama 16 tahun dia menjalankan aktiviti pemburuan haramnya itu sehingga menjadi sasaran pihak berkuasa seperti Tentera Laut, Tentera Darat, Agensi Persekitaran, Polis. Tetapi kesemua pihak berkuasa tersebut tidak berjaya menangkapnya sampailah akhirnya dia diberikan lesen memburu. Pada tahun 1996, Mick Pitman telah menjadi seorang pemburu buaya yang sah di sisi undang-undang.
Aktiviti Yang Dikawal
Ramai petani yang mengupahnya untuk menangkap buaya air masin di kawasan mereka, dari situlah dia berjaya menangkap buaya sepanjang 16 kaki. Menurutnya terdapat juga jejak buaya sepanjang 18 kaki yang dikesan. Mungkin itu akan menjadi tangkapan terbesar buat Mick Pitman. Tetapi dia hanya memburu dan membunuh buaya yang mendatangkan masalah sahaja.

Pemburuan buaya di Australia merupakan satu aktiviti yang dikawal dan hanya mereka yang terlatih dan mempunyai lesen sahaja dibenarkan. Disebabkan ini Pitman membuka Croc-Hunting Safari kepada pengunjung yang ingin melihat dan merasai sendiri bagaimana pemburuan buaya dilakukan. Tetapi pengunjung tidak dibenarkan untuk melakukan sebarang tembakan dan hanya melihat secara dekat sahaja bagaimana Pitman dan pasukannya memburu buaya. Menurut Pitman, untuk membunuh buaya, satu tembakan tepat perlu dilakukan untuk mengurangkan derita buaya tersebut.
Pitman juga berkata, dia tidak kisah tentang persamaan dirinya dengan apa yang digambarkan di dalam filem. Mungkin itulah kehidupan seorang pemburu buaya sebenar.
Baca juga artikel menarik lain:
Haiwan-Haiwan Yang Tak Terfikir Akan Digunakan Semasa Perang
Syed Saddiq Tunai Janji Botak Kepala, Hasil Sumbangan Bakal Beri Manfaat Kepada Anak² Muar
Post comments (0)