Negara Malaysia kaya dengan rempah ratus. Antara yang popular adalah rempah 4 sekawan seperti kayu manis, bunga lawang, cengkih dan pelaga. Orang tua-tua kata rugi kalau orang perempuan tak tahu ‘siapa’ 4 sekawan ni.. Setiap rempah ratus mempunyai khasiat dan rasa mereka tersendiri dan semestinya ia sangat membantu kita menyedapkan lagi hidangan di rumah betul tak?
Namun rempah yang satu ini mungkin tak biasa kita gunakan dalam masakan harian. Fenugreek (bahasa Inggeris) dengan nama saintifiknya trigonella foenum-graecum atau halba adalah sejenis rempah yang berbentuk butiran kecil berwarna coklat. Kalau dalam masakan Melayu, ia biasanya boleh kita jumpa dalam nasi dagang Terengganu. Sedapnya!
Halba lebih popular dalam masakan negara Timur Tengah dan juga negara seperti India, Pakistan dan Sri Lanka. Mungkin ramai tak perasan, sebenarnya halba selalu berada sekali dalam tempat rempah di rak-rak pasaraya. Ia memang amat mudah didapati di Malaysia. Jadi, hari ini kami akan kongsikan kepada anda kebaikan halba.
MEMBANYAKKAN SUSU IBU
Teh halba boleh menjadi alternatif semulajadi yang terbaik sebagai pengganti suplemen untuk meningkatkan produksi susu ibu. Menurut HealthLine.com, beberapa kajian saintifik telah membuktikannya secara spesifik. Dalam salah satu kajian tersebut, hasil susu perahan didapati bertambah daripada 1.15 oz kepada 2.47 oz apabila meminum teh halba ini. Kalau nak rebus halba bersama kurma cina pun boleh, tetap sedap!
IMMUNITY BOOSTER
Dari segi nutrisinya, biji halba ini mempunyai kandungan serat dan mineral yang baik seperti zat besi dan magnesium. Oleh sebab itu, air halba dipercayai memiliki khasiat untuk meningkatkan imuniti atau sistem pertahanan tubuh. Jadi, ia elok diamalkan oleh mereka yang sering diserang demam, batuk dan selesema. Musim Covid-19 ini, bersamalah kita kuatkan imuniti badan untuk jauhkan diri dari dijangkiti wabak tersebut.

MENURUNKAN BACAAN GULA DALAM DARAH
Menurut laman web kesihatan WebMD pula, halba didapati dapat memperlahankan penyerapan gula dalam perut dan menstimulasikan penghasilan insulin. Ini tentunya berita baik buat pesakit diabetes, bukan? Tak salah mencubanya dalam kuantiti kecil setiap hari sebagai ikhtiar mengurangkan bacaan gula dalam darah. Untuk ibu-ibu hamil pun boleh cuba!
MENGURANGKAN SAKIT SENGGUGUT
Bagi wanita yang sering mengalami senggugut setiap kali datang bulan, pengambilan air teh halba amat digalakkan dan boleh mengurangkan penggunaan ubat-ubatan. Pakar mengesyorkan, ia boleh diambil sekitar 1800mg-2700mg dalam 3 kali sehari dalam 3 hari pertama, diikuti dengan 900mg dalam 3 hari berikutnya.
MERAMPINGKAN BADAN
Tidak perlu beli air kurus yang dijual di pasaran sebaliknya kita cuba cara ini. Jika kita meminum air halba dengan perut kosong setiap pagi adalah cara yang baik untuk meningkatkan metabolisme. Ini kerana ia akan menghasilkan haba dalam badan dan sekaligus membantu mengurangkan berat badan. Terdapat juga kajian yang mengaitkan pengambilannya dengan selera yang lebih terkawal.

MENINGKATKAN PENGHASILAN TESTOSTERON
Bagi lelaki pula, minuman halba ini boleh memberi manfaat dalam meningkatkan penghasilan testosteron. Menurut penelitian awal, pengambilan air halba ini didapati dapat meningkatkan kekuatan serta fungsi seksual. Caranya anda hanya perlu rendamkan 1 sudu teh air halba dalam air suam dan biarkan selama beberapa jam atau semalaman. Boleh juga rebuskan untuk dijadikan teh. Selain itu, boleh juga tumbukkan dan rendamkan biji halba tersebut dalam air panas untuk beberapa minit sebelum diminum. Cukup dengan mengambilnya sebanyak 1 kali sehari. Sekiranya tiada kesan sampingan, bolehlah anda meneruskan pengambilannya pada hari-hari berikutnya.
Halba murah saja harganya dan mudah didapati dalam pek begini. Halba sememangnya memberi banyak khasiat kepada kesihatan tubuh kita. Namun, ambillah secara bersederhana terutamanya bagi mereka yang mempunyai masalah kesihatan seperti pesakit kencing manis. Saranan kami sentiasalah rujuk kepada doktor dan pakar pemakanan bagi mencegah sebarang kesan sampingan. Semoga bermanfaat!
Untuk bacaan lebih menarik, klik saja senarai artikel berikut:
Tips Penjagaan Luka Anak Lelaki Sunat Cepat Kering
Tips Untuk Lelaki Berjambang Nampak Lebih Seksi
Sumber: Hello Doktor
Post comments (0)