Rasanya hukuman gantung itu sudah cukup membuatkan orang yang terima hukuman itu gugur jantung. Lagi-lagi apabila sudah tiba saatnya berhadapan dengan tali gantung. Namun, bagaimana jika seseorang itu ‘gugur’ jantung sebelum menerima hukuman gantung lalu meninggal dunia? Adakah si mati masih perlu digantung walaupun jasadnya sudah tidak bernyawa lagi?

Inilah kontroversi yang berlaku kepada seorang wanita Iran yang telah pun disahkan meninggal dunia akibat serangan jantung, tetapi masih perlu ‘menjalani’ hukuman mati di Jel Rajai Shahr. Menurut laporan, wanita terbabit sebelum ini dijatuhkan hukuman gantung sampai mati atas kesalahan membunuh suaminya.
Bagaimanapun, semasa hari pelaksanaan hukuman terhadapnya, pesalah yang dikenali dengan nama Zahra Ismaili itu disahkan meninggal dunia akibat serangan jantung. Pada hari kejadian, Zahra dikatakan sedang menanti gilirannya untuk menjalani hukuman gantung bersama 16 pesalah lelaki lain. Mungkin akibat terlalu terkejut melihat pesalah lain menjalani hukuman berkenaan, dia pun terkena heart attack sehingga mengakibatkan dia meninggal dunia.
Hukuman Gantung Tetap Dijalankan Terhadap Mayat!
Mengulas lanjut kes tersebut, peguam kepada Zahra, Omid Moradi menyatakan hukuman tersebut tetap diteruskan bagi memberi ‘keadilan’ kepada keluarga suaminya. Tetapi menurutnya, Zahra mungkin menjadi mangsa keadaan kerana dia cuma mempertahankan diri daripada menjadi mangsa kekejaman suaminya sehingga membawa kepada pembunuhan suaminya.

Kes tersebut bagaimanapun mendapat kecaman daripada pelbagai pihak termasuk kumpulan hak asasi manusia. Dalam pada itu, ahli akademik Australia, Kylie Moore-Gilbert yang dibebaskan dari penjara di Iran, baru-baru ini, berkongsi mengenai pelaksanaan hukuman itu yang disifatkan amat kejam.
Selain itu, seorang penganalisis, Kasra Aarabi dari Institut Tony Blair berkata, hukuman tersebut tidak wajar dilakukan terhadap pesalah yang sudah tidak bernyawa lagi dan menggesa pemimpin dunia supaya campur tangan. Dalam masa yang sama, wakil Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di Iran, Javaid Rehman berkata, 233 orang sudah menjalani pelaksanaan hukuman berkenaan di negara itu tahun lalu.
Beliau mendakwa, ia termasuk tiga banduan yang juga kanak-kanak yang sudah mencapai ‘usia matang.’ Memang ramai yang tidak bersetuju dengan insiden terbabit dan menggesa siasatan lanjut dijalankan, atau jenis hukuman terbabit dihentikan terus.
Baca juga artikel menarik lain:
Akibat Terpengaruh Video YouTube, Remaja Perempuan Bertindak Bunuh Kanak-Kanak Berusia 4 Tahun!
Sumber daripada: Harian Metro & Arab News