Terkini, Mufti Pulau Pinang Wan Salim Mohd Noor telah memberi ulasan mengenai isu pelajar perempuan yang seakan di ‘cabul’ oleh guru mereka untuk memeriksa tentang kebenaran mereka datang haid. Memetik daripada MalaysiaKini, Wan Salim berkata perbuatan tersebut adalah tindakan yang haram dari segi hukum Islam kerana dianggap ‘menceroboh’ maruah seseorang individu.
Mengulas lebih lanjut, Wan Salim menegaskan tindakan sedemikian adalah tidak wajar dilakukan ketika di bangku sekolah kerana aurat seorang individu mencerminkan ‘maruah’ mereka yang harus dipelihara dan wajib dihormati oleh orang lain, terutamanya ‘orang luar’. Benar, menjaga amalan solat anak murid di asrama adalah tanggungjawab guru-guru tersebut, namun perbuatan seperti ini seolah-olah telah ‘terpesong’ daripada hukum agama Islam.
Baca juga: Guru MRSM Seakan ‘Mencabul’ – Pelajar Perempuan Untuk Periksa Datang Bulan
Menurutnya, meskipun guru-guru tersebut mempunyai alasan yang setimpal sekalipun, perbuatan guru-guru ini yang dengan ‘sewenangnya-wenangnya’ telah memeriksa kemaluan anak murid mereka tanpa ada rasa ‘salah’ adalah sangat tidak wajar. Hal ini demikian kerana menutup bahagian kemaluan seorang individu daripada dilihat oleh orang lain adalah hak mereka yang tiada siapa pun boleh disangkal.
Wan Salim berkata, “Agama Islam melarang keras umatnya melihat aurat orang lain walaupun dengan alasan untuk melaksanakan kewajipan yang dituntut seperti untuk menghalang seorang pelajar perempuan daripada berdalih untuk meninggalkan kewajipan solat.” Agama Islam adalah agama yang mudah, menggunakan ‘kekerasan’ untuk mendidik anak-anak bukanlah cara yang betul.
Justeri itu, sudah terang lagi bersuluh bahawa isu memeriksa kemaluan anak murid perempuan ini adalah haram dan tidak wajar dilakukan di bangku sekolah. Semoga semua guru di Malaysia akan lebih jelas mengenai ‘pemahaman’ ini dan akan menghentikan perbuatan yang memalukan serta ‘mengaibkan’ ini.
Baca juga: Pelajar Matrikulasi Perak Yang Di Saman Rm1500 Hanya Dapat ‘Pengurangan’ Kompoun
Penulis: Aqilah Paharuzi
Sumber: MalaysiaKini