Dapatkan Audio+
Imbas untuk muat turun aplikasi

Hiburan

“Mentaliti Rendah, Education Pun Jadi Lucah” – Kaunselor Laktasi Minta Hentikan Normalisasi Kelucahan

today7 May 2021

Background

Isu “komen lucah” di media sosial sudah lama dibahaskan namun sehingga kini tindakan jijik ini masih lagi wujud dan berleluasa seperti tiada pengakhiran buatnya. Sejak bulan lalu, kecoh satu Malaysia dengan pendedahan seorang pelajar sekolah yang dikenali sebagai Ain yang berkata bahawa dia menerima ugutan rogol daripada pelajar lelaki di sekolahnya ikutan guru di sekolah tersebut yang turut menggunakan “rogol” sebagai bahan jenaka semasa sesi pengajaran dan pembelajaran. Ini membuatkannya tidak selesa dan sentiasa berada di dalam ketakutan sehingga dia terpaksa membuat laporan polis.

Baca juga: Suruh “Rogol” Perempuan 18 Tahun Ke Atas, Pelajar Ini Dedah Guru Lelaki Buat Lawak Lucah

Terbaru, seorang kaunselor laktasi yang dikenali dengan nama Nadmasrom ada berkongsikan satu video berbentuk edukasi buat para ibu yang menyusukan anak di laman TikTok miliknya dan posting tersebut mendapat banyak komen yang berbaur lucah rata-rata daripada lelaki yang sudah berkahwin. Kesan daripada itu kaunselor ini pula yang disalahkan kerana berkongsi video yang dikatakan mengundang fitnah.

Melalui akaun Twitter miliknya, dia menjelaskan bahawa niat asalnya hanya sekadar berkongsikan ilmu buat para ibu kerana sejak dia mula membuat ‘content‘ sebegini di media sosial sejak 5 tahun lalu, ramai para ibu yang memberikan komen positif dan ramai juga yang bertanyakan soalan. Ini menunjukkan betapa pentingnya ilmu seperti ini disebarkan kerana tidak semua orang berpengetahuan dan berpeluang mendapat ilmu seperti ini di tempat lain. Media sosial sepatutnya menjadi salah satu platform terbaik dalam menyebarkan ilmu pengetahuan.

 

Namun, wanita ini diminta untuk berhenti dari berkongsikan video seperti ini di Tiktok kerana dia dikatakan menjatuhkan maruah wanita. Nadmasrom menjelaskan matlamatnya hanya ingin membantu ibu-ibu di luar sana terutama ibu muda dan yang masih tiada pengalaman kerana dia pernah menjalani titik hitam di dalam hidupnya di mana dia kehilangan seorang anak kerana tidak mempunyai ilmu di dalam bidang ini. Dia tidak mahu perkara itu terjadi kepada para ibu yang lain.

Wanita ini turut membuat permintaan maaf jika ada yang terlebih dalam membuat ‘content‘ di laman sosial sehingga mendatangkan fitnah dan berkata selepas ini dia hanya akan berkongsikan perkara asas sahaja manakala jika ada yang inginkan ilmu yang lebih dia menyarankan supaya mereka belajar sendiri dengan satu kumpulan tertutup.

Di akhir ciapannya, dia ada juga bertanya sampai bila wanita perlu dipersalahkan. Menerusi ruangan komen posting Twitter tersebut, rata-rata mengeji sikap golongan yang suka melemparkan kata-kata berunsur lucah tidak kira tempat dan siapa gerangan yang mereka tujukan itu. Ramai pelik dengan sikap golongan yang begini. Pengajaran pun nak dijadikan sesuatu yang lucah. Ini adalah tindakan orang yang tidak matang dan berfikiran sempit seperti tidak pernah keluar daripada kepompong.

Ramai juga yang terus memberikan sokongan buat Nadmasrom dan memintanya supaya tidak berhenti dari berkongsi ilmu-ilmu seperti ini di platform media sosial kerana ianya sangat membantu terutama buat para ibu di luar sana yang malu untuk bertanya tentang hal-hal seperti ini kesan daripada mentaliti rendah segelintir pihak.

 

Sampai bila kita mahu terus hidup di dalam kepompong seperti ini? Jika ini berterusan, tak banyak perubahan yang boleh kita lakukan buat negara. Normalisasi kelucahan perlu dihentikan jika kita tidak mahu generasi seterusnya untuk terus hidup dengan mentaliti rendah seperti ini. Marilah kita sama-sama memperbaiki diri dan bersifat lebih terbuka dalam menerima ilmu pengetahuan dan perkara-perkara yang baru bukanlah melangkah lebih kebelakang dengan komen-komen lucah yang ditinggalkan.

 

Baca juga: Tak Cukup Di “Ugut” Untuk Merogol, Aktivis Ain Kini Di “Hentam” Komen Tidak Senonoh Di Facebook

Sumber: Nadmasrom

Written by: Danisyah Dalily


Previous post