Jika sebelum ini hanya beberapa negeri dan wilayah yang dikenakan perintah kawalan pergerakan (PKP), kini kerajaan telah umumkan satu Malaysia PKP! Disebabkan pengumuman tersebut, ramai rakyat Malaysia luahkan rasa kecewa dan menyatakan tidak bersemangat lagi nak raya. Apa yang kami boleh katakan ialah bersama kita lihat situasi ini di sisi yang lebih baik di mana kita dapat meluangkan masa bersama keluarga di rumah dan untuk mereka yang mungkin duduk jauh dari keluarga, inilah masa untuk anda rehatkan diri di rumah.
Untuk PKP yang diumumkan sebelum ini, rakyat Malaysia tidak dibenarkan rentas negeri dan daerah namun masih lagi dapat merasa bazaar Aidilfitri, Bazaar Ramadan dan masih boleh ziarah menziarahi pada raya pertama. Bagaimanapun, yang PKP terbaru kali ini, kita kena kembali #dudukrumah! Hari ini kami akan kongsikan beberapa perkara penting anda perlu tahu tentang PKP terbaru ini.

DILARANG RENTAS DAERAH / NEGERI
Umum tahu, apabila PKP dilaksanakan segala aktiviti merentas daerah, dan negeri adalah paling dilarang kecuali untuk tujuan kecemasan, kesihatan, berkerja, ekonomi, temu janji vaksinasi, serta pasangan jarak jauh sahaja.
SEMUA BENTUK PERHIMPUNAN ADALAH DILARANG
Untuk PKP kali ini, semua bentuk perhimpunan sosial termasuk kenduri kendara, majlis perkahwinan dan pertunangan, majlis doa selamat dan tahlil, majlis makan malam, majlis sambutan hari jadi serta majlis-majlis rasmi kerajaan dan swasta, persidangan dan mesyuarat secara bersemuka, kesemuanya tidak dibenarkan sama seperti PKP sebelumnya. Bagaimanapun, berita baik buat bakal pengantin, majlis akad nikah adalah dibenarkan tetapi dengan jumlah kehadiran mengikut SOP majlis agama Islam negeri dan Jabatan Pendaftaran Negara untuk orang bukan Islam.
AKTIVITI SUKAN DAN REKREASI ADALAH DILARANG KECUALI BERSEORANGAN
Semua aktiviti sukan dan rekreasi adalah dilarang, tetapi aktiviti sukan dan rekreasi individu di kawasan terbuka seperti jogging, berbasikal, dan senaman adalah dibenarkan, namun perlu mematuhi arahan panjarakan fizikal.
SEMUA INSTITUSI PENDIDIKAN DITUTUP
Buat masa ini kesemua institusi pendidikan akan ditutup dan berjalan secara dalam talian. Namunengecualian diberikan kepada pelajar-pelajar yang menduduki peperiksaan antarabangsa dan Pusat Asuhan Kanak-kanak, tabika, taska dan tadika dibenarkan beroperasi mengikut SOP yang ditetapkan.
HANYA 3 ORANG DI DALAM SATU KENDERAAN
Bilangan hanya 3 orang dalam satu kenderaan ini digunapakai bagi kenderaan persendirian, teksi dan e-hailing, dan bilangan tersebut adalah termasuk dengan pemandu. Bagi kenderaan yang membawa barangan serta rantaian aktiviti ekonomi/industri adalah bergantung kepada jumlah yang dibenarkan dalam lesen pendaftaran kenderaan perdagangan. Pengangkutan awam akan berjalan seperti biasa dan akan tertakluk kepada arahan penjarakan fizikal.
Baca artikel lain: “Ingak Demo Soghey Jah Ko Hok Rindu Ko Orghe Tuo Demo?” Misha Omar Bidas Tindakan Individu Cuba Balik Kampung

TIDAK BOLEH DINE-IN
Makan di dalam restoran dan kedai makan adalah tidak dibenarkan sama sekali. Bagaimanapun, anda boleh sahaja bungkuskan makanan yang mahu dibeli dan menjamunya di rumah bersama keluarga.
HANYA KEHADIRAN 30% DAN KEBAWAH DI TEMPAT KERJA
Dengan arahan ini, setiap majikan wajib melaksanakan dasar Bekerja Dari Rumah. Kerajaan sudah tetapkan hanya 30% dan kebawah sahaja yang dibenarkan untuk hadir ke pejabat jika mereka diperlukan secara fizikal melakukan kerja mereka.
ZIARAH RUMAH KE RUMAH TIDAK DIBENARKAN
Sedih tapi perlu akur. Segala aktiviti ziarah rumah ke rumah tidak dibenarkan untuk tahun ini. Difahamkan, larangan ini juga termasuk aktiviti menziarahi kubur. Jadi raya tahun ini kita #dudukrumah sahaja ya?

SOLAT SUNAT AIDILFITRI TIDAK MELEBIHI 50 ORANG
Untuk solat sunat Aidilfitri, hanya kurang daripada 50 jemaah boleh hadir untuk menunaikan solat sunat Aidilfitri di masjid dan surau dengan kapasiti 1000 jemaah manakala 20 untuk yang kurang daripada 1000. Had yang sama digunapakai untuk solat fardhu.
SOP RUMAH IBADAH BUKAN ISLAM DIPERKETATKAN
SOP bagi Rumah Ibadah Bukan Islam bakal diperketatkan dengan ketetapan oleh Kementerian Perpaduan.
SABAH, SARAWAK, DAN WILAYAH PERSEKETUAN LABUAN IKUT LANGKAH KHUSUS
Negeri-negeri dan wilayah di atas akan menjalankan PKP mengikut langkah-langkah khusus yang ditetapkan kerajaan negeri masing-masing.
Jadi inilah senarai perkara penting yang diumumkan Perdana Menteri yang patut anda tahu. Semoga kita semua kekal tabah menyambut Hari Raya Aidilfitri di dalam PKP. Apa yang paling penting, kalau tiada urusan penting, kekal berada di rumah dan semoga ada sinar buat negara kita.
Sumber: Utusan