Pada jam 9 malam semalam, Majalah 3 dalam episod terbarunya memaparkan dokumentari khas Covid-19 di kaca televisyen dan juga dimuatnaik di laman YouTube rasmi TV3. Dokumentari ini merupakan liputan khas yang dilakukan oleh krew produksi Majalah 3 yang menceritakan apa yang terjadi di PKRC MAEPS, Serdang dan Hospital Sg. Buloh yang menempatkan ribuan pesakit positif Covid-19 di negara ini.
Baca juga: Nabila Huda Kongsi Video Ujian Swab Keisha, Wargamaya Pula Bengang Nurse “Pusing” Lama Sangat
Sebelum ini kita diberitahu tentang angka pesakit berjangkit dan angka kematian setiap hari secara konsisten oleh pihak KKM. Kita juga ada mendengarkan cerita daripada pesakit Covid-19 yang pernah ditempatkan di sana dan kini sudah sembuh serta berjaya keluar dari tempat berkenaan. Namun, bagaimana pula dengan para frontliners yang berkerja siang dan malam selama hampir dua tahun ini bagaikan tidak dapat keluar dari kepompong ini?
Majalah 3 dengan episodnya kali ini bukan sahaja memaparkan proses yang dilakukan dalam mengagih dan merawat pesakit Covid-19 dari fasa satu sehingga ke fasa lima iaitu fasa tenat tetapi krew produksi berjaya merakamkan kisah benar tentang saat-saat akhir pesakit Covid-19 yang nazak sebelum mereka meninggal dunia.
Nama program Majalah 3 dilihat trending di Twitter selepas ia menayangkan dokumentari khas berkenaan. Rata-rata yang menonton episod kali ini semuanya menangis keinsafan. Kata mereka, ini adalah antara dokumentari terbaik yang memaparkan tentang Covid-19 di negara ini.

Wargamaya sehingga pagi ini masih belum putus-putus berkongsikan video dokumentari berkenaan di laman sosial dan mengajak orang ramai untuk turut sama menontonnya supaya mereka juga mendapat kesedaran dan keinsafan. Mungkin sebelum ini ramai yang leka kerana mereka tidak tahu apa sebenarnya yang terjadi di balik tabir namun selepas melihat dokumentari ini ramai yang mula sedar bahawa wabak pandemik Covid-19 ini adalah benar dan ianya meragut nyawa.


Antara mesej yang ingin disampaikan kepada rakyat adalah “Kita Masih Belum Menang”. Sudah 2 tahun kita berperang, ada yang sudah terlalu penat untuk meneruskannya lagi terutama para frontliners yang tidak berhenti-henti menjalankan tugas mereka untuk negara namun mereka juga manusia, mereka perlukan sokongan dan kerjasama rakyat Malaysia terutamanya sekarang di mana angka jangkitan dan kematian semakin tinggi.
Menerusi tinjauan di Twitter, rata-rata wargamaya mengucapkan jutaan terima kasih buat frontliners yang sudah memberikan yang terbaik buat rakyat di negara ini. Kini barulah rakyat sedar realiti kehidupan pekerja dalam bidang kesihatan yang bertungkus-lumus “bertarung” menyelamatkan ribuan nyawa daripada serangan pandemik yang semakin mengganas ini.
Kita berharap dengan adanya dokumentari seperti ini dapat memberi kesedaran buat rakyat terutamanya yang masih berdegil bagaikan berada di dunia sendiri. Marilah kita sama-sama berperang memerangi wabak ini sehingga ke akhirnya dan doakan agar para frontliners kita tetap kuat dalam mendepani gelombang yang mendatang ini.
Sumber: YouTube TV3 , Twitter