
Baru-baru ini kita dilaporkan dengan keruntuhan sistem kesihatan di India yang terkesan dengan lonjakan kes wabak COVID-19. Selain dari India, Biro Kewartawanan Penyiasatan menganalisis data yang disediakan oleh Breath Counts Coalition, NGO Path dan Clinton Health Access Initiative (CHAI) mendapati bahawa terdapat sejumlah negara lain yang bakal menghadapi situasi sama disebabkan peningkatan kes wabak COVID-19 yang tinggi dan kekurangan bekalan oksigen.
Dilaporkan menerusi The Guardian semalam, difahamkan bahawa terdapat 19 negara dari seluruh dunia yang berisiko mengalami ‘kehancuran total’ pada sistem kesihatan akibat daripada situasi yang tidak terkawal. Negara-negara terbabit antaranya adalah India, Argentina, Iran, Nepal, Filipina, Malaysia, Pakistan, Costa Rica, Ecuador dan Afrika Selatan.
Dakwaan ini muncul setelah beberapa negara terbabit mencatatkan peningkatan besar kepada permintaan bekalan oksigen sejak bulan Mac lalu. Difahamkan bahawa terdapat peningkatan sekurang-kurangnya 20 peratus ditengah-tengah situasi kekurangan program vaksinasi di negara-negara terbabit.