Setiap individu mempunyai sejarah, kenangan dan memori tersendiri dalam hidupnya. Personaliti seseorang itu juga boleh dinilai melalui apa yang dilalui ketika bergelar kanak-kanak sehingga dewasa. Jika anda lahir pada tahun 90-an, semestinya rancangan-rancangan kartun di kaca televisyen ketika itu merupakan antara memori indah yang dibukukan dalam diari kehidupan anda. Setibanya di rumah selepas pulang dari sekolah, pasti anda akan pergi ke ruang tamu dan duduk di hadapan televisyen sehingga dimarahi ibu bapa. Itulah saat dan ketikanya yang menjadi ‘highlight of the day’ dalam rutin harian masing-masing. Iklan yang ditayangkan semasa rancangan berlangsung akan ditunggu dengan penuh kesabaran sehingga habis. Bukan satu, tetapi banyak rancangan kartun yang boleh disenaraikan sebagai rancangan kegemaran anda sendiri.
1. A.L.O.N.G

Pernah digelar sebagai maskot kanak-kanak suatu ketika dahulu, kartun ini membawa konsep animasi pendidikan atau animasi pembelajaran untuk kanak-kanak. Tajuknya sahaja sudah membantu kanak-kanak yang melihat rancangan ini dalam mengeja. Tambahan pula, lagu OST rancangan ini juga menyebut satu demi satu huruf yang ada sebagai tujuan mengajar kanak-kanak yang menonton. Segala kemahiran asas pembelajaran kanak-kanak juga diketengahkan dalam rancangan ini seperti menghafal sifir dan ciptaan. Watak-watak lain selain Along seperti Angah dan Acik turut diwujudkan bagi membantu melancarkan ilmu yang ingin disampaikan oleh pencipta rancangan Along. Persoalan yang timbul dari rancangan ini adalah siapa sebenarnya wajah di sebalik kostum watak Along. Bagi menjawab persoalan itu, ternyata watak itu digandang oleh Beto Kusyairi yang kini bergelar artis popular. Secara faktanya, rancangan Along ini bermula dari lakaran komik dan terbitan majalah sebelum dibawa ke kaca televisyen. Disiarkan di TV1 ketika itu jam 7.30 malam.
2. Anak-anak Sidek

Tidak salah jika kata rancangan Anak-anak Sidek ini menjadi sumber inspirasi kepada mereka-mereka yang bermain badminton. Rancangan ini diadaptasi dari kisah sebenar dimana 5 beradik anak Haji Sidek iaitu Bun, Ajib, Alan, Aman dan Adul yang dilatih dengan penuh ketegasan dalam bermain badminton. Setiap episod memaparkan liku-liku dan asam garam kehidupan 5 beradik ini dalam usaha menjadi jaguh badminton negara. Rancangan ini juga diadaptasi dari kisah sebenar dimana pada ketika itu, nama Misbun Sidek (Bun) adalah amat sinonim dengan gelaran Jaguh Badminton Negara. Rancangan ini juga boleh didapati di platform lain seperti komik dan VCD. Menariknya, komik yang diterbitkan mendapat permintaan yang amat tinggi hingga terpaksa diulang cetak sebanyak 14 kali.
Baca juga: Kehebatan “Servis Sidek” Digeruni Pihak Lawan Sehingga Diharamkan?
3. Kampung Boy

Rancangan ini menjadi salah satu rancangan yang digemari ramai. Diasaskan oleh Datuk Lat sebagai pencipta rancangan ini, kreativitinya menceritakan tentang kehidupan Mat sebagai watak utama di sebuah kampung di Perak sekitar tahun 1950- an. Mat mempunyai adik perempuan, Ana, dan mereka tinggal di rumah bersama ibu bapa mereka, Yop dan Yah. Struktur keluarga mereka adalah berpengaruh di kampung. Ibu Yop, Opah, tidak tinggal bersama mereka tetapi sering dilihat di rumah mereka. Rancangan ini mempunyai dua versi dimana Datuk Lat menggunakan bahasa Inggeris dan bahasa Melayu sebagai suara latar.
4. Keluang Man

Jika di Hollywood terkenal dengan ‘superhero’ Batman, Malaysia juga tidak ketinggalan mewujudkan Keluang Man sebagai karakter ‘superhero’ tempatan. Rancangan ini adalah gabungan animasi 2D dan berlatarbelakangkan 3D. Watak Keluang Man sebenarnya ialah orang gila di Hospital Tampoi yang dibantu oleh rakan seperjuangannya Tiung Man. Dicipta oleh Kamn Ismail dan semestinya anda masih ingat lagu tema rancangan ini yang menjadi siulan ramai suatu ketika dahulu. Reka bentuk watak tersebut kemudiannya dibangunkan oleh Raja Zaharuddin Shah Raja Chik, bekas animator Usop Sontorian . Homework Studio telah membawa watak Keluang Man dalam bentuk komik untuk memberi kelainan kepada peminat rancangan ini.
5. Usop Sontorian

Usop Sontorian ialah siri animasi Malaysia pertama yang disiarkan di RTM dari tahun 1996 hingga 1998. Ia direka oleh kartunis popular Ujang bersama Kamn Ismail dan diterbitkan oleh Kharisma Pictures. Hebatnya animasi ini sehingga mendapat pengiktirafan dari Malaysia Book of Records, dan turut ditayangkan di beberapa negara luar. Pengarah siri animasi ini, Kamn Ismail kini memegang jawatan sebagai Pengarah Urusan Quest Animation Sdn. Bhd. Pencipta watak-watak Usop Sontorian, Ujang tidak dibenarkan melukis atau mencipta watak kartun yang mempunyai persamaan dengan Usop Sontorian, ekoran isu perebutan hakcipta. Usop Sontorian juga turut mencipta sejarah apabila mendapat sambutan hangat daripada masyarakat Jepun ketika ditayangkan di Festival Animasi Asia (Hiroshima) pada Jun 1996. Kini, Usop Sontorian berlegar di seluruh dunia dengan pelbagai tajuk antaranya, Usop Dan Kawan-Kawan, Adventures Of Usop dan Usop And Geng.
Sememangnya rancangan-rancangan ini telah mewarnai kehidupan kita sebagai kanak-kanak suatu ketika dahulu. Walaupun kini telah banyak kartun dan animasi lain telah dicipta dan dikembangkan, namun kartun-kartun awal ini adalah asas kepada kejayaan Malaysia dalam pencapaian yang dijulung pada hari ini. Pengaruhnya amat besar dan boleh kata setanding dengan negara luar. Ini juga adalah bukti kukuh bahawa Malaysia banyak melahirkan kartunis yang berbakat dan hebat.
Baca juga: 5 Senarai Panggung Wayang Paling Menarik Dan Mewah Di Dunia
Sumber: iluminasi