Dapatkan Audio+
Imbas untuk muat turun aplikasi

Hiburan

Disney+ Hotstar Buka Peluang Yang Baik Untuk Orang Luar Tonton Filem Tempatan Di Platform Yang “Halal”

today31 May 2021

Background

Disney+ Hotstar adalah satu perkhidmatan penstriman yang dilancarkan oleh syarikat ternama, Walt Disney. Disney adalah satu jenama yang amat ikonik dan dikenali di seluruh dunia. Para peminatnya bukan sahaja terdiri daripada anak kecil tetapi pelbagai strata umur. Bukan itu sahaja, produksi jenama hiburan lain di bawah Walt Disney Company seperti Pixar, Marvel, Star Wars serta National Geographic turut ada dan dapat ditonton tanpa ada gangguan sebarang iklan. Perkhidmatan penstriman ini bakal dilancarkan pada 1 Jun.

Apa yang lebih menarik, beberapa studio produksi tempatan seperti Skop Productions, Revolution Media Films, Primeworks Studios, WAU Animation, Act 2 Pictures, Les’ Copaque Production dan Red Films telah memeterai satu perjanjian dengan Disney+ Hotstar selama beberapa tahun di mana filem hits serta drama terbaru tempatan bakal diangkat dan ditayangkan secara eksklusif di platform ini. Malah, 3 filem blockbuster tempatan seperti J2: J-Retribusi, Zombitopia dan Ada Hantu bakal “langkah pawagam” dan ditayangkan khas di perkhidmatan penstriman terbaru ini.

Baca juga: Marvel Studios Lancarkan Dua Trailer Baharu: Black Widow, Loki Kurang Daripada Seminggu

Menurut pelakon utama filem “Ada Hantu” iaitu Zahiril Adzim, menerusi sesi virtual Sembang Bersama Disney+ Hotstar pada Khamis lalu, kolaborasi industri seni tempatan dengan sebuah jenama besar seperti Disney adalah peluang yang baik kerana orang luar dapat melihat filem Malaysia di platform yang “halal”. Filem cetak rompak bukanlah satu isu yang baru. Mungkin ia adalah salah satu cara termudah untuk orang luar menonton filem tempatan tetapi itu bukanlah cara yang betul.

Kata Zahiril, selama hari ini pengkarya di Malaysia menentang keras hasil karya mereka dikongsikan di platform online secara haram. Namun begitu, isu ini masih lagi ada dan ia “mencacatkan” kemajuan industri perfileman tempatan. Disney+ Hotstar adalah platform yang betul untuk orang luar tonton  karya-karya yang ada di Malaysia. Kini, kita dengan bangga dapat mempromosikan karya tempatan kita ke negara luar.

Pengarah “Ada Hantu” iaitu Hairul Azreen, turut memberikan pandangan yang sama. Tambahnya, ini adalah peluang untuk orang luar negara kenal Malaysia. “Selama hari ini kita selalu dengar orang tonton filem dari Indonesia, Thailand dan sebagainya tetapi tak tengok filem Malaysia. Jadi ini adalah peluang yang bagus untuk kita promosikan produk perfileman Malaysia” kata Hairul.

Hairul yang pertama kali menjadi pengarah percaya bahawa industri seni tempatan penuh dengan bakat-bakat yang bagus. Platform ini adalah peluang yang sangat besar buat penggiat industri untuk mengetengahkan bakat-bakat ini ke rantau Asia dan mungkin satu hari nanti secara global.

Ini adalah permulaan yang baik buat negara. Semestinya, gabungan industri seni tempatan dengan sebuah jenama global seperti Disney memberi banyak ruang buat penggiat seni untuk melangkah setapak lebih ke hadapan. Tidak lain kita mengharapkan agar perfileman industri tempatan terus maju dan disebut-sebut di rantau Asia.

Baca juga: 5 Senarai Panggung Wayang Paling Menarik Dan Mewah Di Dunia

Written by: Danisyah Dalily


Previous post