Dapatkan Audio+
Imbas untuk muat turun aplikasi

Hiburan

Hairul Azreen Bangga Karya Arahan Pertamanya Diangkat Sebaris Di Atas Satu Pelantar Dengan Disney

today1 June 2021

Background

Jika anda adalah penggemar filem anda mesti tahu jenama produksi global Disney yang telah bertapak sejak berabad lamanya. Disney telah mengeluarkan pelbagai jenis filem yang hebat dan kekal di ingatan. Cerita-cerita fantasi yang dikeluarkan oleh Disney memberi nafas baharu buat industri dan ia memberi inspirasi buat ramai di luar sana. Semestinya zaman kanak-kanak dan remaja kita tak lengkap tanpa Disney. Kolaborasi antara Walt Disney Company bersama dengan syarikat-syarikat produksi filem tempatan Malaysia adalah satu peluang yang sangat mengujakan.

Filem “Ada Hantu” karya arahan pertama Hairul Azreen adalah antara 3 filem blockbuster yang ditayangkan di Disney+ Hotstar selain Zombitopia dan J2: J-Retribusi. Apa yang menariknya, ini adalah kali pertama di dalam sejarah, filem-filem blockbuster dan original seperti ini “langkau pawagam” dan ditayangkan secara eksklusif di perkhidmatan penstriman. Semestinya, ia adalah pengalaman yang berbeza buat setiap penggiat seni yang terlibat.

Baca juga: “Signing Out Now..” –  Ruangan Komen Pawagam Ini Di Banjiri Pengalaman Manis Pencinta Filem

Menurut Hairul Azreen, dia berasa sangat bangga kerana karya arahan pertamanya dipilih dan diangkat sebaris di atas satu pelantar yang sama dengan jenama ikonik Disney. “Ini adalah salah satu pencapaian terbaik dalam hidup saya”, katanya di sesi virtual Sembang Bersama Disney+ Hotstar pada Khamis lalu.

Hairul Azreen adalah pelakon filem aksi dan digelar sebagai “hero malaya”. Apabila ditawarkan menjadi pengarah cerita seram, dia berkata bahawa dia agak terkejut dan takut dengan tanggungjawab yang diamanahkan namun dia tetap memberanikan diri dan dengan rendah hati meminta tunjuk ajar daripada yang “lebih banyak makan garam”. Tambah Hairul, peluang menjadi seorang pengarah membuka matanya kepada banyak perkara yang dia tidak sedar selama ini. Dia berkata bahawa ini adalah pengalaman yang bagus buat dirinya sebagai seorang pelakon.

Apabila ditanya tentang jangkaannya sebagai pengarah terhadap filem “Ada Hantu” ini, Hairul dengan jujur berkata bahawa dia tidak boleh membuat jangkaan kerana dia juga masih “setahun jagung” namun Hairul sangat berharap agar rakyat Malaysia dapat menerima karya pertamanya dengan baik. Hairul akui bahawa dia sedikit gementar jika ada yang tidak dapat menerima karyanya kerana filem ini sedikit berbeza dengan cerita seram yang pernah dikeluarkan di Malaysia tetapi dia yakin dengan produk yang dia telah usahakan.

Sebelum ini, Hairul Azreen dikritik hebat gara-gara poster “Ada Hantu” ini yang dikatakan tidak menarik. Hairul akui dia sebagai pengarah turut sunting sendiri poster filem tersebut. Walaupun dikritik, Hairul akui dia berpuas hati dengan hasil produknya. Apa yang penting adalah isi kandungan dan kualiti filem tersebut. Dia meminta supaya rakyat Malaysia tonton dahulu filem arahan pertamanya ini.

Filem tempatan layak diberi peluang untuk dilihat dan didengarkan. Sebagai rakyat tempatan, ini adalah masa untuk kita semua turut berbangga dengan industri seni negara yang semakin lama semakin berevolusi. Jadi jangan lupa untuk tonton filem-filem kita di Disney+ Hotstar.

Baca juga: Ini Adalah Sebab Mengapa Orang Suka Menonton Filem Seram Dan Thriller

Written by: Danisyah Dalily


Previous post