Siapa sahaja yang suka apabila diganggu kan? Tidak kiralah jika gangguan tersebut berbentuk fizikal dan berdepan ataupun melalui paparan skrin secara maya. Kedua-duanya memberikan impak yang buruk kepada diri seseorang. Lebih lagi jika gangguan tersebut berbentuk seksual dan seperti mengancam keselamatan diri seseorang. Siapa sahaja yang boleh tidur dengan lena jika seringkali menerima gangguan yang seperti itu.
Penyanyi dan pelakon jelita, Farahdhiya baru-baru ini ada berkongsikan tentang hal ini di laman sosial Instagram peribadi miliknya. Melalui posting tersebut, Farahdhiya memuat naik satu tangkap layar mesej yang diterimanya daripada seorang lelaki yang kerap menghantar mesej melalui “direct message” Instagram walaupun tidak pernah dilayan. Mesej itu adalah salah satu bentuk gangguan buat Farahdhiya.
Pada mulanya artis jelita ini hanya membiarkan sahaja dan malas mahu ambil peduli namun apabila lelaki ini mula mencari alamat rumahnya dan ingin berjumpa dengannya ketika dia joging di luar, bagi Farahdhiya ini sudah melebihi batas dan sangat melampau sehingga dia sendiri berasa takut.
Dalam perkongsiannya, Farahdhiya akui bahawa dia mula menerima mesej lucah dan menakutkan seperti ini sejak dia mula membuat akaun Instagram. Terlalu banyak mesej yang diterimanya daripada pelbagai jenis lelaki. “Macam-macam mesej saya pernah dapat, you name it, gambar anu, anu yang diletak atas gambar muka saya,mesej-mesej tidak senonoh dan ada juga yang non-stop hantar mesej walaupon bercakap sendiri..”, luah Farahdhiya,
Farahdhiya menekankan bahawa pemergian ayahnya pada tahun lalu bukan bermaksud dia tidak boleh membela dirinya sendiri. Dia kini sudah tidak boleh bersabar lagi dan menegaskan bahawa dia tidak teragak-agak untuk melaporkan hal ini kepada pihak polis.
Meninjau ke ruangan balas, rata-rata wargamaya serta rakan-rakan artis menyokong tindakan Farahdhiya untuk membuat laporan polis bagi tujuan perlindungan. Ada juga yang menyarankan supaya dia mengupah ‘bodyguard‘ kerana bimbang akan keselamatannya.

Tindakan seperti ini di media sosial haruslah dihentikan. Tiada orang yang suka jika privasinya diganggu, apatah lagi dari orang yang tidak dikenali. Mungkin ada yang menganggap perihal ini merupakan sesuatu yang remeh dan meminta seseorang untuk ‘tidak melayankannya’ namun, gangguan seksual di laman sosial seperti ini layak diberi perhatian kerana jika ianya berlarutan ia akan melarat dan membawa kepada perkara yang lebih buruk.
Baca juga: “Muda-Muda Dah Ada 2 Rumah..” – Wargamaya Kagum Masya Masyitah Bijak Kumpul Aset Dan Kumpul Saham
Sumber: Farahdhiya