Apa aktiviti yang boleh dilakukan apabila sudah bersara nanti? Bercucuk tanam? Jaga cucu? Travel? Cafe hunting?
Pagi On Point Bersama Haiza dan Muaz berkesempatan untuk menemu bual Aunty Ann, Aunty Ziza dan Aunty Zu, tiga sahabat baik yang berkawan sejak tahun 1992 kongsikan kisah mereka apabila masing-masing kini meniti usia emas tetapi memilih untuk tidak hanya duduk di rumah. Apa aktiviti mereka? Cafe hunting! Siapa kata orang muda saja yang suka cafe hunting?
View this post on Instagram
Persahabatan lebih 30 tahun Aunty Ann, Aunty Ziza dan Aunty Zu yang juga lebih dikenali sebagai The Pretty Mamas ini menarik perhatian netizen yang terhibur dengan video cafe hunting mereka di media sosial. Kebiasaannya, ibubapa kita yang sudah lanjut usia ini lebih gemar ke warung dan kedai makan biasa tetapi tidak bagi The Pretty Mamas ya! Sudah semestinya mereka menjadi inspirasi buat anak muda sekarang yang sudah membayangkan aktiviti mereka selepas pencen nanti.

Aunty Ann atau nama sebenarnya, Rahana Binti Manan berusia 67 tahun berkata “Kita ni dah tua kan, kena lah ada movement. Kalau tiada movement, takut nanti kita depress sebab dekat rumah tiada orang. Anak-anak semua kerja kan.” Beliau juga menambah, beliau tidak mahu tidur pada waktu siang yang hanya akan membuatkannya bertambah letih.
Menurut sebuah rencana di Berita Harian, dalam mengisi aktiviti selepas bersara, interaksi sosial sangat penting dan hampir setiap bahagian otak akan terkesan kerana interaksi sebenar secara fizikal, bukan melalui media sosial. Aktiviti berinteraksi boleh dibuat dalam pelbagai bentuk termasuk perbincangan buku atau isu, bersukan, berjumpa teman lama dan sebagainya.
Azizah Binti Buang atau Aunty Ziza pula berkata, “Kita ada masalah selalu kita share. Kita minta nasihat kawan-kawan, daripada kita simpan seorang. Itu yang boleh jadi sakit. Ada benda kita boleh share dengan anak-anak, ada benda kita have to share dengan kawan.”
View this post on Instagram
Anak kepada Aunty Zu atau Zuraidah Binti Adnan menasihatkan ibunya untuk tidak banyak berfikir dan lebih beringat untuk beribadah serta happy dengan kawan-kawan, supaya ibunya tidak depressed.
Kadangkala kita sebagai anak tidak sempat nak meluangkan banyak masa bersama ibubapa, namun terubat sedikit hati ini dapat lihat ibubapa kita ceria apabila mereka berjumpa dengan teman lama.

Maka bermulalah aktiviti cafe hunting bersama The Pretty Mamas ini. Cafe yang dilihat di media sosial, mereka akan kongsikan dalam group Whatsapp untuk diletakkan dalam senarai cafe hunting. Jadi sekarang, anda pun dah tahu lah kan nak buat apa lepas pencen nanti?
Dengarkan perbualan penuh The Pretty Mamas di Pagi On Point Bersama Haiza dan Muaz di KoolCast.