Sebut sahaja nama Datuk Fauziah Nawi, pasti ramai yang mengenali beliau dengan lakonan-lakonan mantap yang banyak meninggalkan kesan terhadap penonton sehingga ke hari ini.
Namun di sebalik kejayaan yang dikecapi termasuk pernah memenangi Pelakon Pembantu Wanita Terbaik Festival Filem Malaysia ke-12, Pelakon Pembantu Wanita Terbaik Drama Anugerah Skrin 2018, Anugerah Tokoh Seri Angkasa 2022 dan banyak lagi, ramai yang tidak tahu kegigihan anak kelahiran Ipoh, Perak ini untuk berada pada tahap yang membanggakan.
Menerusi rakaman temubual Datuk Fauziah Nawi bersama penyampai Kool 101 Haiza dan Muaz baru-baru ini, aktress yang popular dengan watak air mata itu tampil mengulas isu pelakon berpengalaman perlu memberi tunjuk ajar kepada yang baru memasuki bidang seni.
“That’s not my job. Kalau datang kelas saya, you have to pay. Sekiranya dalam set, saya tak peduli. Why Should I? Kita kan sama-sama sign contract, kena be professional. Unless, you bertanya then I will tell.” Ujarnya.
Jelas seniwati itu lagi, beliau memilih untuk tidak membuat andaian sebaliknya hanya menurut arahan daripada pihak produksi.
Dramatis berkenaan turut menepis kenyataan bahawa pelakon berpengalaman perlu memberi tunjuk ajar dan bertanggungjawab membimbing pendatang baharu dalam industri seni.
“I never stop learning. Sampai sekarang pun, saya masih belajar dan pergi cari ilmu sendiri.”
Pada masa sama, Fauziah yang juga tenaga pengajar seni lakonan mengakui daripada mendidik seseorang, beliau turut memperoleh ilmu daripada sesebuah sesi pengajaran yang dijalankan.
Menjengah ke ruangan komen muat naik tersebut, kenyataan ibu kepada dua orang anak ini menerima pelbagai reaksi positif daripada netizen.

Persiapan Pengakhiran Dunia Anak Seni
Lumrah kehidupan, setiap yang lama pasti akan digantikan dengan yang baharu agar sesuatu naskhah itu kekal releven seiring dengan aliran perubahan masa.
“You masuk dalam industri seni, you kena bersedia untuk disisihkan pada saat-saat akhir hidup you,” ujar Fauziah
Buat pelakon yang baharu sahaja menceburi bidang berkenaan, Fauziah tampil memberi nasihat supaya seseorang itu perlu mempunyai back up plan sekiranya gagal menempa nama di persada seni.
Bercerita tentang pengalaman pula, Fauziah berkongsi bahawa beliau hanya bekerja sepenuh masa sebagai pelakon setelah beliau bersara.
Dalam perkembangan lain, Fauziah kini giat mempromosikan filem terbaharu arahan Ahmad Idham berjudul Saka Perawan yang telah pun ditayangkan di pawagam sejak 27 Jun lalu.
Tampil Dengan Watak Komedi Seram
Menurut Fauziah, dia tidak pernah memilih naskhah yang hendak dilakonkan sebaliknya terima apa jua tawaran yang diberikan.
Tetapi, sebagai anak seni yang telah bertapak dalam industri hiburan selama lebih dari lima dekat beliau memilih untuk melihat dahulu gandingannya selain mengkaji skrip yang telah disediakan.
Saka Perawan mengisahkan misteri yang berlaku apabila seorang nenek tua berdepan ujian besar saat kematiannya dan susah untuk meninggal dunia.
Fauziah dalam masa yang sama turut memuji barisan pelakon antaranya Zalif Sidek yang memegang watak sebagai bomoh berasal dari Kelantan malah mengakui kebanyakan babak yang dilakonkan bersamanya bersifat impromptu.
Tonton video penuh temubual Datuk Fauziah Nawi bersama Pagi On Point di bawah:-