Kool FM

“Dapat 10 Juta Sekalipun, Anak Saya Takkan Kembali..”

“Dia ni macam kawan, dia bukan cuma anak, dia kawan saya. Saya redha dengan ketentuan Allah S.W.T, saya cuma sangat sedih..”

Demikian luahan sayu bapa kepada Muhammad Akmal, 25, salah seorang penuntut Universiti Teknologi MARA (UiTM) Kampus Dungun yang maut selepas terlibat dalam satu insiden kemalangan membabitkan 3 pelajar yang lain pada 9 Oktober lalu.

Menurut Md Tukirin Saringat, 60 tahun, dia yang baharu sahaja seminggu menghantar anak lelakinya itu sempat berpesan supaya tidak meninggalkan solat selain mengingatkan agar belajar bersungguh-sungguh.

“Kami sekeluarga tidak berdendam, dan sedia memaafkan keluarga tertuduh. Tiada gunanya berdendam kerana semuanya telah berlaku.”

Ini pula luahan Jamaludin Hussin, 53, bapa kepada Khairil Anwar yang memilih untuk menyerahkan kepada pihak mahkamah untuk menentukan hukuman yang sewajarnya kepada tertuduh.

Mengikut laporan yang dikeluarkan, kejadian berlaku selepas ketiga-tiga pelajar maut, manakala seorang lagi cedera selepas dirempuh sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) yang dipandu oleh seorang wanita dikatakan kurang siuman.

Bagaimanapun, berita yang dikeluarkan pada 11 Oktober lalu menyatakan pemandu wanita yang dipercayai sakit mental itu didapati tidak mempunyai sebarang rekod kesihatan sama ada di hospital atau klinik kesihatan selain tidak pernah mendapat rawatan di mana-mana fasiliti di negeri tersebut.

Dalam pada itu, bapa kepada Ku Adib Aizad, Ku Azmi Saad, 47, menyifatkan kehilangan anak sulungnya satu ujian yang perlu ditempuhi.

“Hanya Adib satu-satunya anak lelaki saya, kini saya sudah kehilangannya.”

Mudah bagi orang sekeliling untuk berkata dan menerima, namun bukan senang untuk yang melaluinya apatah lagi kehilangan darah daging sendiri lebih-lebih lagi anak kandung.

Menerusi satu temubual Pagi On Point bersama Pak Nil, Haiza & Muaz, mereka telah mendapatkan Encik Ku Azmi & Encik Jamaludin bagi berkongsi penerimaan serta pengalaman yang mematangkan ketika kehilangan seorang insan yang bergelar anak.

“Saya rasa ketenangan ini dapat daripada doa dan harapan seluruh rakyat Malaysia yang mahu saya terima berita, ujian dan pemergian anak saya dengan baik serta dimudahkan,” ujarnya

Sementara itu apabila ditanya tentang keadaan isteri, Ku Azmi turut menyatakan bahawa pasangannya turut menerima takdir yang tertulis dengan tenang sama seperti dirinya.

Beliau sempat menasihati orang ramai agar sentiasa redha dengan ketentuanNya, kerap memudahkan urusan orang lain dan sekiranya berhadapan dengan situasi seperti ini hendaklah segera bertanya dan menyelesaikan hutang simati.

Ku Azmi dalam masa yang sama bersedia untuk memaafkan dan berjumpa dengan keluarga wanita yang menyebabkan kemalangan tersebut selain menyatakan beliau turut menghormati ketiga-tiga keluarga kepada rakan anaknya yang terlibat dalam insiden itu.

“Saya tak ada masalah, kalau saya ambil tindakan, dapat 10 juta sekalipun, anak saya takkan kembali, dia dah pergi,”

Bagi Encik Jamaludin pula, beliau tetap dengan pendirian untuk mengambil tindakan undang-undang ke atas suspek wanita yang terlibat dalam kemalangan meragut nyawa anak bongsunya.

Tindakan mahu diambil agar dapat dijadikan pengajaran buat pengguna jalanraya yang lain serta mendapatkan keadilan sewajarnya.

“Saya tak fikir pasal duit, kami sekeluarga yang merasakan kehilangan, kami yang akan mengharungi kehidupan akan datang,” tegasnya

Sehingga artikel ini ditulis, laporan media menyebut pemandu wanita yang melanggar pelajar-pelajar tersebut didakwa tidak memiliki lesen memandu.

Bagaimanapun, Ketua Polis Terengganu, Datuk Mohd Khairi Khairudin, berkata pertuduhan ke atas wanita itu telah dijalankan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh dan Seksyen 307 (1) akta sama (cubaan membunuh), dibuat atas arahan Jabatan Peguam Negara.

Sesungguhnya, kehidupan di dunia ini hanyalah bersifat sementara yang tidak akan kekal selamanya. Begitu juga dengan kehidupan manusia atau sesuatu kejadianNya, pasti akan berakhir dengan kematian.

Exit mobile version