Dapatkan Audio+
Imbas untuk muat turun aplikasi

Hiburan Semasa

Dari Aksi Ke Sci-Fi, REVERSI Karya Terbaharu Adrian Teh

today18 December 2024

Background

Kita sering menonton karya Adrian Teh bergenre aksi, namun kali ini beliau menampilkan filem berbeza dari karya-karya sebelum ini dengan menghasilkan filem Reversi bergenre sci-fi yang penuh emosi. Reversi menampilkan barisan pelakon hebat terdiri daripada Beto Kusyairy, Shiqin Kamal, Vanidah Imran, Hasnul Rahmat, Azhan Rani, Zahiril Adzim dan Qi Razali.

 

Baru-baru ini berlangsungnya malam gala dan sidang media filem Reversi, bertempat di GSC Mid Valley Megamall pada 10 Disember yang lalu. Kira-kira 900 orang yang hadir terdiri daripada pemenang tiket bertuah dari radio Kool 101 serta Hot FM, peminat, rakan-rakan artis serta rakan-rakan media ke malam gala tersebut, memenuhi ruang legar GSC seawal jam 7.30 malam untuk melihat acara karpet merah.

Acara itu turut dimeriahkan dengan kehadiran pengarah filem, Adrian Teh bersama barisan pelakon Reversi, Beto Kusyairy, Shiqin Kamal, Vanidah Imran, Hasnul Rahmat dan Azhan Rani serta para tetamu istimewa. Filem ini dibawakan oleh ACT 2 Pictures, Clover Films, GSC Cinemas dan K-Movie Entertainment, serta diedarkan oleh GSC Movies dan turut mendapat sokongan daripada rakan media strategik seperti Kool 101 dan Hot FM yang menjadi radio rasmi.

Penyanyi, Azan Addin yang juga anggota kumpulan Ruffedge membuka tirai malam gala Reversi dengan mendendangkan lagu OST Reversi iaitu Aku Takut hasil ciptaan Amir Jahari. Ketika Azan menyanyikan lagu OST itu, perasaan sebak sudah mula dirasai sambil menunggu masa untuk tayangan perdana bermula.

Reversi mengisahkan tentang seorang lelaki bernama Akid (Beto Kusyairy) yang diberikan kelebihan untuk merentas masa lalu dan cuba untuk menyelamatkan isteri dan anaknya. Namun, Akid perlu menghadapi pelbagai cabaran dalam perjalanannya untuk merentas masa.

Sebelum tayangan perdana filem Reversi, Adrian Teh sendiri berkata, penonton tidak perlu menjangkakan akan ada banyak plot twist kerana ia adalah slow pace movie dan berharap penonton dapat menikmati perjalanan cerita ini.

Tepukan gemuruh diberikan rakan-rakan artis serta rakan-rakan media yang menonton di Hall 18 sejurus berakhirnya tayangan perdana filem ini. Tidak dapat disangkal, kehebatan lakonan Beto Kusyairy yang berjaya membawa watak Akid yang mampu menyentuh jiwa setiap individu yang menonton Reversi. Shiqin Kamal juga layak diberikan pujian kerana dilihat mampu mendapatkan keserasian dengan Beto dan terserlah peningkatan dalam kualiti lakonannya.

Adrian Teh Cuba Filem Bergenre Sci-Fi

Adrian Teh berkata pada sidang media filem Reversi bahawa beliau sebenarnya merupakan individu yang sentimental biarpun dicop sebagai action director.

“Saya sebenarnya sangat sentimental. Jadi saya suka cerita yang sebegini. Saya menghasilkan filem Reversi kerana saya rasa saya ialah storyteller dan suka untuk meneroka pelbagai jenis genre filem. Saya cuba untuk buat filem yang tiada orang pernah buat. Gagal pun tak kisah, janji saya cuba.”

Adrian yang pada awalnya hanya ingin menjadi penerbit dan mendapatkan individu lain untuk menjadi pengarah bagi Reversi, akhirnya membuat keputusan untuk mengarahkan filem ini mengikut idea asal beliau.

“Untuk memulakan cerita ini, saya memang tak fikirkan diri saya sebagai pengarah. Tetapi apabila saya membuat keputusan untuk direct cerita ini, saya hanya ikut visi yang saya nampak untuk filem ini.”

Perbezaan watak Akid dengan watak-watak lain yang pernah dilakonkan Beto Kusyairy

Beto Kusyairy berkata, apa yang membezakan watak Akid dalam filem Reversi ini dengan filem-filem yang pernah dilakonkannya adalah dari sudut rasa.

“Saya cuba untuk menjadi Akid. Situasinya berbeza dengan watak-watak yang saya pernah bawa sebelum ini. Rasa & perjuangannya berbeza. Saya cuba memanusiakan Akid mengikut kesesuaian watak Akid itu sendiri.”

Lakonan Beto atau nama sebenarnya Nur Kusyairy Zakuan Osman dalam filem Reversi sememangnya tidak mengecewakan. Beliau yang baru sahaja dinobatkan sebagai Pelakon Lelaki Terbaik pada Festival Filem Malaysia ke-33 (FFM33) awal bulan ini berkata, beliau berasa sangat bangga dapat terlibat dengan naskah yang berlainan hasil tangan Adrian Teh.

Shiqin Kamal dibantu oleh Cikgu Fatimah di set penggambaran

Shiqin Kamal atau nama penuhnya Nur Ashiqin Mohd Kamal berkata, beliau sendiri tidak percaya jika boleh membawa watak seperti itu ketika mula-mula dapat skrip. Katanya, pengarah, Adrian Teh menjadi individu yang meyakinkan Shiqin untuk cuba dahulu. Ada beberapa persediaan yang dilakukan oleh Shiqin bagi menjayakan watak sebagai isteri Akid iaitu Sarah. Shiqin menuntut ilmu lakonan daripada Fatimah Abu Bakar atau lebih mesra dipanggil Cikgu Fatimah dan mendapatkan personal class untuk menghidupkan watak Sarah. Beliau turut berkongsi mengenai pengalamannya ketika di set penggambaran filem Reversi dimana Cikgu Fatimah hadir ke set untuk membantu Shiqin dalam menjiwai watak Sarah.

“Ada juga hari dimana Cikgu Fatimah datang ke set penggambaran, coach untuk scene tersebut. Sebab bukan senang untuk membawa mood yang ada turun dan naik secepat itu. Saya belum lagi sampai ke tahap itu, jadi bila Cikgu Fatimah datang ke set dia memang banyak membantu.”

Jadi tunggu apa lagi? Jangan lepaskan peluang untuk menonton filem Reversi yang akan mula ditayangkan esok, 19 Disember 2024 di seluruh pawagam di Malaysia!

Written by: Syafiqah Azelan


Previous post

Luar Negara

Penggubahan wang haram: Lelaki Malaysia, isteri ditahan

Bangkok: Polis Thailand menahan seorang lelaki warga Malaysia di Nonthaburi, berhampiran Bangkok, pada Selasa atas dakwaan menjalankan rangkaian pengubahan wang haram yang dikaitkan dengan laman sesawang perjudian haram. © New Straits Times Press (M) Bhd Klik untuk baca artikel penuh. Sumber:

today18 December 2024