Dapatkan Audio+
Imbas untuk muat turun aplikasi

Hiburan

Dayang Nurfaizah Luah Rasa Syukur Sertai One In A Million

today28 November 2024

Background

Nama penyanyi Dayang Nurfaizah bukan lagi asing dalam kalangan penggiat seni tanah air, malah kehadirannya dengan lagu-lagu pop tempatan dan kelunakan vokal yang tersendiri telah memeriahkan lagi industri hiburan di Malaysia.

Sejak kemunculannya menerusi album pertama yang diedarkan sekitar tahun 1998 dengan single Hakikat Cinta dan Kembalilah Sayang, anak kelahiran Kuching Sarawak ini terus menyinar sebagai bakat baharu yang dilihat memiliki potensi besar ketika itu.

Seandainya Masih Ada Cinta menjadi pertaruhan seterusnya yang meletakkan nama Ratu R&B ini sebaris penyanyi sedia ada termasuk Ziana Zain, Siti Nurhaliza dan ramai lagi.

Pada tahun 2006, Dayang telah menyertai program realiti televisyen One in a Million yang dianjurkan oleh 8TV dengan menjadi salah seorang daripada empat finalis yang ditentukan oleh sistem undian teks pesanan ringkas sebanyak 50%.

“Secara jujurnya, saya tak nak join. Sebab masa tu saya sibuk dengan Seandainya Masih Ada Cinta,” ujarnya.

Walaupun mengakui dirinya ketika itu masih muda dan sudah kukuh dalam bidang nyanyian, namun Dayang tetap akur dengan cadangan orang ramai supaya menyertai program berkenaan.

“Tapi, Dayang tak pernah menyesal sebab dengan menyertai One In A Million ni lah Dayang banyak belajar dan mengenali diri dan suara sendiri,” katanya.

Lemah buah tangan baharu

Setelah berada lebih dua dekad dalam industri nyanyian, usaha Dayang belum lagi terhenti malah baru-baru ini penyanyi yang berusia 43 tahun itu telah melancarkan sebuah lagu baharu yang berjudul Lemah, ciptaan Hael Husaini.

“Bagi Dayang, Hael sangat kreatif, teliti dan mudah berkomunikasi memandangkan kami dah lama berkawan serta boleh menerima pendapat masing-masing.” kongsinya dalam satu temubual bersama Haiza dan Muaz di Pagi On Point Kool 101.

Pernah mengungguli pencalonan Anugerah Industri Muzik (AIM) 23 dengan enam kategori, Dayang bagaimanapun tidak meletakkan seratus peratus karyanya terhadap Hael, malah memberi pendapat tentang keinginannya dalam kandungan lagu yang dihasilkan.

Sementara itu, Hael menganggap kerjasama dengan Dayang Nurfaizah sebagai satu penghormatan selain turut menyifatkan suara dan tafsiran penyanyi berkenaan memberi jiwa kepada lagu dengan cara yang benar-benar istimewa.

Video muzik lagu tersebut telah diarahkan oleh penerbit terkenal Lily Samsuddin dan dilakonkan di sekitar Pulau Jeju, Korea Selatan.

Written by: Azra Azuar


Previous post