Dapatkan Audio+
Imbas untuk muat turun aplikasi

Viral

Digelar Suam Kuku, Naz Rahman Bakal Buktikan Sesuatu

today25 January 2025

Background

Sebut sahaja nama Naz Rahman, sudah pasti ramai mengenali dan terbiasa dengan pelbagai rancangan televisyen yang dikendalikannya termasuk Kelab Disney Malaysia, Malaysian Top Host, Jalan-Jalan Cari Makan, Ringgit Sense, Kata Serasi dan Malaysia Hari Ini.

Ramai tidak tahu, Naz atau nama sebenarnya Nazrudin Habibur Rahman juga adalah seorang pelakon yang pernah membintangi beberapa drama bersiri selain tampil dalam iklan jenama terkemuka untuk televisyen Malaysia.

Terkini, Naz bakal digandingkan bersama penyanyi Sissy Iman untuk mengacarakan sebuah anugerah muzik berprestij di Malaysia iaitu Anugerah Juara Lagu ke-39 (AJL39) pada 16 Februari 2025 secara langsung di Axiata Arena, Bukit Jalil, Kuala Lumpur.

Bagaimanapun, pengumuman dibuat oleh pihak televisyen itu sedikit sebanyak telah mengundang pelbagai reaksi dan kritikan daripada orang ramai sehingga ada yang menggelarkan anak jati Kuala Lumpur itu sebagai “suam kuku.”

Namun, di sebalik kecaman yang dilontarkan rata-rata menerusi laman media sosial, terdapat juga yang memberikan reaksi positif, kata-kata semangat, serta kepercayaan mereka terhadap gandingan berkenaan untuk mengendalikan anugerah berprestij itu.

Kool Pagi On Point bersama Muaz telah berjaya mendapatkan serta menemubual Naz untuk mengetahui lebih lanjut tentang pemilihannya sebagai peneraju utama dalam anugerah berkenaan.

Jelas Naz, 46, dia pada awalnya menolak tawaran berkenaan kerana mahu memberi ruang buat bakat-bakat baharu untuk menggunakan platform tersebut supaya dapat menggilap keupayaan masing-masing dalam bidang pengacaraan.

Namun, selepas pihak produksi menerangkan AJL kali ini adalah yang terakhir untuk dekad ini, Naz menerima tawaran berkenaan dengan harapan mampu melakukan yang terbaik berbekalkan dengan pengalaman yang ada.

Mengakui pernah gagal dalam mengacarakan sebuah anugerah berprestij beberapa tahun sebelum ini, perkara tersebut sedikit sebanyak telah memberi pengajaran buat Naz betapa pentingnya membuat persiapan termasuk sesi suai kenal (ice breaking) bersama rakan mengacara (co host).

“Segala komen saya ambil sebagai data,” ujarnya.

Bapa kepada 3 orang cahaya mata itu berkata, untuk kekal relevan dalam industri hiburan, dia harus mengambil pendekatan menyelesaikan masalah (problem solving) berbanding mengambil hati daripada komen-komen orang ramai.

“Saya anggap 1% daripadanya adalah haters dan selebihnya adalah penyokong yang memberi kritikan membina dengan memaklumkan apa yang mereka mahukan,” tambahnya

Berjanji bakal memberikan yang terbaik bersama Sissy Iman pada anugerah berkenaan, Naz sempat memberitahu bahawa AJL bukan sahaja tentang nyanyian, sebaliknya matlamat sebenar adalah menjulang karyawan-karyawan negara termasuk komposer dan penulis lirik sesebuah lagu itu sendiri.

Senarai 10 Lagu Final Anugerah Juara Lagu 2025

Berikut adalah senarai penyanyi dan kumpulan bersama lagu-lagu mereka yang berjaya mara ke pentas berprestij Anugerah Juara Lagu Ke-39:

Sengaja – Amir Masdi
Komposer: Bunga Cantik, Hang Nadim
Penulis lirik: Bunga Cantik, Hang Nadim

Puas Sudah – Aina Abdul
Komposer: Aina Abdul
Penulis lirik: Aina Abdul

Saksama – Akim & The Majistret
Komposer: Akim & The Majistret
Penulis lirik: Bunga Cantik

Pujaanku – Kugiran Masdo ft. Aisyah Aziz
Komposer: Ali Sariah
Penulis lirik: Ali Sariah, Heidimoru

Terus Bersinar – Hafiz Suip
Komposer: Mas Dewangga, Jova Devito, Datuk Arisz Ab Rahman
Penulis lirik: Mas Dewangga, Jova Devito

Hening Rindu – Marsha Milan Londoh
Komposer: Ikhwan Fatanna, Wan Saleh
Penulis lirik: Ikhwan Fatanna

Aura – Ernie Zakri
Komposer: Ernie Zakri, John Jeeves, Firdaus Rahmat
Penulis lirik: Ernie Zakri, John Jeeves, Firdaus Rahmat

Diam – Hael Husaini
Komposer: Hael Husaini, Iqie Hugh
Penulis lirik: Hael Husaini, Iqie Hugh

Risiko – Benzoloo, Ghidd Isobahtos, Meerfly, Tuju & MK K-Clique
Komposer: Apipapol
Penulis lirik: Benzoloo, Ghidd Isobahtos, Meerfly, Tuju, MK K-Clique

Bukan Lagi Kita – Nadeera Zaini
Komposer: Hael Husaini, Iqie Hugh
Penulis lirik: Hael Husaini, Iqie Hugh

Written by: Azra Azuar


Previous post