Apa itu e-waste? Menurut Jabatan Alam Sekitar, e-waste atau electronic waste adalah merupakan barangan elektrik dan elektronik yang telah rosak, tidak berfungsi, lama atau usang yang dijana daripada isi rumah termasuk institusi dan komersial. Antara jenis e-waste isi rumah yang dikawal di bawah mekanisme pengurusan e-waste di Malaysia ialah telefon bimbit, mesin basuh, peti sejuk, televisyen, pendingin hawa, dan komputer riba.
Apa yang anda perlu lakukan dengan e-waste dan mengapa ia penting untuk kita tahu kaedah mesra alam?

Sebelum ini tular sebuah video yang memaparkan pekerja pembersihan menahan sakit selepas powerbank yang dibuang bersama sampah domestik tiba-tiba meletup dan difahamkan terkena pada mata salah seorang pekerja berkenaan. Apabila kejadian seperti ini terjadi, bahaya tak? Mestilah bahaya!
Asingkan sampah kitar semula dengan sampah domestik. Nyaris tak buta member, powerbank meletup
(Tiada info lanjut) pic.twitter.com/gb8cklwZSs— #UpdateInfo🇲🇾🌍 (@update11111) August 3, 2024
Susah sangat ke nak buang e-waste ini? Sebenarnya tidak ya. Tahukah anda? Anda boleh tukar sampah dengan duit!
Menerusi Pagi On Point bersama Haiza dan Muaz, Ketua Pegawai Eksekutif Trash4Cash (Cawangan Selangor dan Kuala Lumpur), Encik Shafreez Redza Mhd Saiful Anuar kongsikan tentang kaedah paling senang buat individu yang ingin buang e-waste tetapi dalam masa yang sama boleh buat duit.
Katanya, Trash4Cash membantu segala sisa pengurusan kitar semula atau pengurusan sampah yang lain untuk memastikan sampah itu ada jangka hayat yang panjang. Menjadikan aktiviti kitar semula ini lebih menarik, lebih mudah dan pada masa yang sama boleh menjana pendapatan sampingan.
Apa yang anda perlu tahu sebelum membuang e-waste, terutamanya yang berpotensi meletup?
“Elakkan buang barangan elektronik bersama sisa buangan rumah yang lain. Ini kerana apabila sisa barangan elektronik ini sampai ke tapak pelupusan sampah, terutama sekali bateri lithium yang mengandungi bahan kimia, kandungan bahaya akan menjejaskan tapak pelupusan sampah serta mengakibatkan pencemaran udara, air dan tanah.”
Encik Redza berkata, Trash4Cash adalah sebuah syarikat pengumpulan barangan elektronik yang dilantik oleh Jabatan Alam Sekitar. Jangan risau jika di kawasan rumah anda tiada Trash4Cash, boleh rujuk laman web rasmi Jabatan Alam Sekitar www.doe.gov.my , dan boleh lihat sendiri pusat pengumpulan barangan elektronik yang terpilih di sekitar anda.
Bagaimana proses pelupusan e-waste dijalankan dan khususnya peranti yang mengandungi bateri litium ini seperti powerbank?
Di Trash4Cash, barang-barang khas e-waste seperti lithium, kebiasaannya akan diasingkan barangan elektronik ini berdasarkan kategori mengikut garis panduan Jabatan Alam Sekitar. Bateri lithium akan diasingkan bersama kumpulannya termasuk dengan bateri-bateri lain seperti bateri AA, bateri beralkali dan dikumpulkan serta diletakkan di dalam satu simpanan khas.
“Bateri ini dletakkan di dalam satu simpanan khas untuk mengelakkan oksigen, haba dan tekanan masuk dalam bateri tersebut. Ini kerana, jika ada tiga elemen ini, ia boleh diserap ke dalam bateri tersebut yang boleh mengakibatkan bateri kembung dan akhirnya meletup. Itulah cara pengasingan yang betul.”
Selepas itu, Trash4Cash akan serahkan kepada Pusat Pemulihan Separa atau Pusat Pemulihan Penuh Barangan Elektronik yang akan lakukan proses lanjutan untuk barangan e-waste ini termasuk barangan lain. Sekarang, anda dah tahu cara yang betul untuk buang barangan elektronik di rumah atau di pejabat anda. Boleh rujuk laman rasmi Trash4Cash di www.trash4cashmy.com atau laman media sosial @trash4cashmy
Dengarkan perbualan penuh Pagi On Point bersama Haiza dan Muaz di KoolCast.