Kool FM

GISBH: Badan Berkudis, Wanita Ini Dedah Satu Towel Kongsi 14 Orang

Sebut sahaja tentang GISBH (Global Ikhwan Services and Business Holdings) pasti ada di antara kita yang kini masih mengalami trauma, sukar tidur dan hidup dalam ketakutan susulan pernah terjebak dengan penyimpangan ideologi, pemikiran serta pegangan agama dengan badan tersebut.

Menerusi Pagi On Point bersama Pak Nil, Haiza, dan Muaz baru-baru ini, mereka telah mendapatkan seorang wanita dikenali sebagai Sabrina Bolivar untuk berkongsi pengalaman hitam sepanjang menetap di rumah  amal itu.

Walaupun sudah bertahun-tahun Sabrina berjaya dibebaskan oleh neneknya daripada rumah amal terbabit, beliau mengakui masih tidak dapat melupakan banyak perkara yang telah berlaku termasuk dirinya dibuli oleh penduduk disitu.

Ujar Sabrina, ibunya merupakan antara bekas pengikut di rumah amal GISBH dan pernah diperdaya pengikut organisasi tersebut.

“Pada awalnya ibu bapa saya terlibat dengan kumpulan Al-Arqam, sebab mereka mahu mendalami dan berminat dengan agama. Tapi malangnya mereka terpesong.” ujarnya

Kronologi detik hitam berlaku apabila ibu Sabrina, Mariam direkrut semasa ibunya sedang menyambung pelajaran di sebuah institusi pengajian tinggi di Malaysia serta aktif menyertai program-program usrah kendalian universiti itu.

“Kebetulan pada waktu itu ibu saya mempunyai masalah kewangan sama seperti pelajar-pelajar lain yang sedang melanjutkan pelajaran. Nak dijadikan cerita, GISBH offer beri bantuan kewangan dan ibu menerimnya tetapi dalam masa yang sama memujuk ibu saya supaya kahwin dengan salah seorang ahli jemaah.”

Namun, Mariam kemudiannya diceraikan atas faktor tertentu dan sekali lagi berkahwin dengan seorang lagi pendakwah dalam organisasi terbabit sebagai isteri keempat.

Selepas berita tentang aktiviti tidak bermoral badan berkenaan tular di media sosial dan terpampang di dada-dada akhbar, Sabrina mengambil inisiatif untuk berkongsi pengalaman bertujuan memberi kesedaran kepada orang ramai tentang bahaya menyertai kumpulan itu selain mahu pihak berkuasa mengambil tindakan yang sewajarnya.

“Saya masih ingat satu pengalaman buruk, di mana pernah diletakkan bersama ustaz atau individu yang tidak dikenali. Selanjutnya apa yang terjadi, saya dah tak mahu ingat lagi” katanya

Perkongsian netizen tentang keadaan tempat tinggal yang daif dan kotor juga diakui Sabrina selepas melawat adik beradiknya yang lain sejurus keluar daripada rumah amal itu.

“Paling tak boleh terima sekali bila tengok mereka share satu towel 14 orang. Macam duduk dalam neraka. Saya sendiri membesar dengan badan berkudis” ulas Sabrina

Jelasnya, sehingga kini ibunya masih trauma dan tertekan ekoran sejarah hitam yang melanda dirinya sepanjang menetap di Sungai Penchala iaitu perkampungan terbesar Al-Arqam pada ketika itu.

Wanita terbabit kini dipercayai menetap di luar negara bersama ibunya yang dikatakan masih menjalani rawatan akibat kejadian tersebut.

Latar Belakang GISBH dan Sejarahnya

GISB @ GISBH singkatan kepada nama syarikat Global Ikhwan Services and Business Holdings, merupakan syarikat Bumiputera Islam yang diasaskan sejak dari tahun 2000 lagi oleh Allahyarham Ustaz Ashaari Muhammad (bekas pemimpin Al-Arqam yang telah diharamkan kerajaan).

Kini, Datuk Haji Nasiruddin Mohd Ali merupakan Pengerusi Eksekutif & Ketua Pegawai Eksekutif di GISB Holdings.

Menurut laman web rasmi mereka, rangkaian perniagaan GISBH sekarang berada di 16 buah negara dan mempunyai premis perniagaan sebanyak 412 buah.

GISBH menyediakan produk dan perkhidmatan keperluan masyarakat Islam seperti pelbagai jenis roti dan bun, produk bakeri, mee kuning, kuey teow, bihun, produk sejuk beku, sos dan kicap, air minuman, jus, air buahan, minyak masak dan sebagainya.

Di bawah ini adalah kronologi berkaitan GISBH yang telah dirangkumkan melalui satu artikel setakat 24 September 2024:-

Kronologi Pendedahan Harian Metro dan Metro Ahad berkaitan GISBH

Setakat 4 Oktober 2024, pihak polis telah membuka lapan kertas siasatan mengikut Akta Kanak-Kanak 2001 [Akta 611]; Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 [792]; Akta Antipemerdangan Orang dan Antipenyeludupan Migram 2007 [Akta 670] Kanun Keseksaan [Akta 574] dan undang-undang lain yang sedang berkuat kuasa.

Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagaimanapun dalam satu kenyataan baru-baru ini meminta bekas pengikut GISBH atau orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan untuk tampil membantu siasatan kes berhubung kegiatan syarikat itu.

Exit mobile version