Site icon Kool FM

Isu Kubur Bertingkat: Tidak Boleh Tempah Tanam Dengan Ahli Keluarga, Ini Sebabnya

Baru-baru ini tular menerusi media sosial mengenai kebimbangan orang ramai tentang isu tanah kubur akan penuh pada lima tahun akan datang terutamanya penduduk di sekitar Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur susulan kepadatan bandar dan pertambahan penduduk.

Pelbagai cara telah dilakukan oleh pihak berkuasa agama negeri dalam memberi perhatian serius terutamanya untuk menilai tahap kesiapsiagaan sama ada tanah kubur cukup atau tidak selain mengenal pasti kaedah pengurusan pengebumian yang lebih cekap.

Contohnya, pembinaan kubur bertingkat yang telah diusulkan bagi menampung keperluan kekurangan tanah kubur dan mengikut hukum syarak, lebih-lebih lagi populasi di ibu negara sahaja kini mencecah 8.8 juta orang setakat Ogos 2024.

Menerusi segment Pagi On Point bersama Paknil, Haiza dan Muaz, mereka telah menemubual Pengurus Pusat Kajian Syariah Darul Fitri, Ustaz Hafiz al-Za’farani bagi mendapatkan perkongsian serta pencerahan tentang isu berkenaan.

Menurut Ustaz Hafiz, isu tentang tidak cukup kubur ini sebenarnya sudah lama dibincangkan dan hampir 10 tahun ia telah diketengahkan oleh pelbagai pihak.

“Salah satu usaha yang boleh dilakukan adalah wakaf tanah, namun terdapat beberapa kekangan seperti tanah tersebut mahu ditambak menjadi projek bangunan, mahal, dan sebagainya.” ujar Ustaz Hafiz.

Sehubungan itu, membina kubur bertingkat diusulkan bagi menampung keperluan kekurangan tanah kubur dengan mengikut hukum syarak.

“Cadangan ini sudah lama dibahaskan, malah ada pihak Majlis Agama Islam Negeri yang mencadangkannya. Terdapat juga negera dan negeri di Malaysia seperti Singapura dan Pulau Pinang (Masjid Jamiul Badawi) telah melaksanakannya,”

Bagaimanapun terdapat perbezaan antara cara pengebumian di luar negara dan Malaysia tentang tahap maksimum sesuatu liang boleh digunakan semula.

Misalnya di Tanah Perkuburan Baqi’ Madinah Arab Saudi, kaedah yang dilakukan adalah mengumpulkan tulang-tulang yang sudah reput selepas 15 hingga 20 tahun dan seterusnya dikebumi ditempat yang lain supaya liang lahad itu boleh digunakan semula.

“Tetapi kaedah di Malaysia kita tak kacau langsung kubur yang asal.” tegasnya

Sementara itu, bertanya tentang kebenaran seseorang individu itu dikebumikan bersama ahli keluarga sekiranya kubur bertingkat dilaksanakan di negara ini.

Ustaz Hafiz menjawab, tiada masalah sekiranya tanah tersebut adalah hak milik sendiri. Namun, jika tanah itu adalah wakaf maka ia tidak dibenarkan.

Hukum membina kubur bertingkat

Menurut Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, Firman Allah SWT:

ثُمَّ أَمَاتَهُ فَأَقْبَرَهُ

Maksudnya: Kemudian dimatikannya, lalu diperintahkan supaya ia dikuburkan; (Surah ‘Abasa: 21)

Al-Imam al-Qurtubi dalam menafsirkan ayat ini berkata: “Allah menjadikan untuk manusia itu kubur yang menutupi mayatnya sebagai satu kemuliaan baginya, kalau mayat itu dibiar maka ia akan menjelekkan dan dimakan oleh haiwan, ayat ini juga memberi maksud bahawa Allah mengarahkan supaya mayat manusia itu ditanam dan tidak dibakar selepas kematiannya. (Lihat AI-Jami’ Li Ahkam al-Quran, 19/219)

Difahami dari ayat ini bahawa menanam mayat manusia itu adalah sunnah Allah pada makhluknya, oleh itu mayat manusia tidak boleh dibuang sewenangnya di atas muka bumi seperti binatang atau dibakar sebagaimana yang berlaku. Ini adalah kemuliaan Allah SWT terhadap manusia.

Semoga isu ketidakcukupan tanah kubur di bandar-bandar utama dapat diselesaikan dengan cara yang baik.

Exit mobile version