Baru-baru ini tular seorang kanak-kanak lelaki berusia enam tahun cedera selepas dipatuk ular sawa yang bersembunyi dalam mangkuk tandas di rumahnya di Pangsapuri Prima Court. Kejadian itu menyebabkan kanak-kanak tersebut cedera di celah kelengkang dan tangan namun dimaklumkan kini berada dalam keadaan stabil.

Menerusi Pagi On Point bersama Pak Nil, Haiza dan Muaz, Haiza ditemani Izwan Azir Saleh serta Tuan Syakir dari Skuad King Cobra Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Selangor membincangkan mengenai kes ini dan perkara yang masyarakat perlu ambil perhatian.

Tuan Syakir berkata, di Selangor sahaja mempunyai 38 balai dan setiap balai akan menerima panggilan kecemasan untuk operasi khidmat khas ular sahaja lebih daripada 3. Namun katanya, statistik itu berbeza setiap hari dan setiap bulan susulan sukar memaklumkan bilangan yang spesifik disebabkan faktor cuaca dan sebagainya.
Katanya habitat ular berbeza mengikut spesies, ada yang boleh hidup di darat, pokok, dalam air serta separuh darat dan separuh air. Di Malaysia sahaja terdapat 215 spesies ular, ada yang berbisa, ada yang tidak berbisa dan habitat asal ular adalah di hutan.
Jenis-jenis ular
Menurut Syakir, ular yang berbisa ada beberapa jenis bisa. Ular yang berbisa mempunyai efek yang berbeza apabila ia menyerang seperti neurotoxin dan hemotoxin. Ular senduk terbahagi kepada dua, iaitu ular senduk yang tidak menyembur dan ular senduk yang menyembur. Ular yang boleh menyembur pula hanyalah Spitting Cobra sahaja, ia berwarna hitam berkilat dan tiada tanda bulat di atas kepala.
Katanya dari segi rawatan dan ubat bagi individu yang dipatuk ular adalah berbeza jika ular tersebut berbisa. Oleh itu, setiap individu yang dipatuk ular perlu tahu spesifik spesies ular disebabkan akan ada ubat yang diberi hospital kepada mangsa yang dipatuk ular iaitu antivenom dan polyvalent.

Apa yang perlu dilakukan pemilik rumah untuk elak menjadi sasaran ular?
“Setiap masa kita perlu berhati-hati. Ular ini konflik dia dengan manusia hanya ada dua sahaja. Satu sumber makanan, satu ancaman habitat. Ancaman habitat seperti sekarang adalah cuaca yang panas.”
Syakir berkata, semua kawasan yang sejuk dan lembab berpotensi untuk menjadi penempatan ular contohnya enjin kereta, kasut dan rak kasut.
“Seperti kita semua sedia maklum, ular ini adalah reptilia berdarah sejuk. Dia memang tak boleh pun dekat kawasan panas. Jadi dekat jalan raya pun kadang-kadang dia mati sendiri sebab ular memang sensitif dengan panas.”
View this post on Instagram
Beliau juga menambah, belerang yang sering dikaitkan dengan cara untuk menghindari rumah dari diserang ular tidak memberikan sebarang kesan.
“Belerang lebih kepada serangga kecil mungkin okay. Untuk ular, belerang tiada kesan kepada ular.”
Oleh itu, pastikan rumah anda dalam keadaan bersih dan tiada semak samun. Tutup dan bersihkan segala lubang yang ada di rumah anda. Elakkan mempunyai longgokan sampah di dalam dan di luar rumah.
Jangan lakukan 3 perkara ini sekiranya dipatuk ular!
Syakir berkata, ada beberapa perkara salah yang sering masyarakat lakukan sekiranya dipatuk ular.
“Yang pertama apabila dipatuk ular, tangan ditoreh. Yang kedua tempat dipatuk itu disedut. Yang ketiga diikat bahagian yang dipatuk ular. Ketiga-tiga perkara ini adalah perkara yang salah.”
Katanya, kesan apabila bahagian dipatuk ular itu ditoreh akan mengakibatkan berlakunya pendarahan yang banyak. Jika menyedut tempat yang dipatuk ular itu, tisu di kawasan itu akan rosak, manakala jika mengikat tempat yang dipatuk itu akan menyekat saluran pendarahan dan kawasan yang dipatuk kemungkinan akan mati seterusnya perlu dipotong susulan saraf sudah mati.
Apa yang kita perlu lakukan sekiranya dipatuk ular?
“Sepatutnya yang kita perlu buat adalah hanya cuci, buat balutan untuk tak nak bagi terkena bakteria dan terus transfer ke hospital.”
Menurut Syakir, jika seseorang itu diserang Spitting Cobra yang kebiasannya akan menyerang pada bahagian mata kerana maksimum jarak bagi ular ini mencecah 9 kaki, hendaklah cuci mata dengan menggunakan air bersih dan letakkan tekanan minimum 10 hingga 15 minit. Selepas itu, perlu terus dapatkan rawatan di hospital.

Ke mana perginya ular ini selepas ditangkap Skuad King Cobra JBPM?
Syakir berkata, ular yang ditangkap oleh JBPM sememangnya banyak setiap hari. JBPM akan berhubung dengan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN), agensi yang mengendalikan spesies haiwan yang terjaga tersebut. Katanya, pasukan JBPM akan melepaskan ular ini jauh dari penempatan manusia seperti di hutan simpan untuk mengelakkan ular tersebut masuk kembali ke kediaman manusia.
Namun, sekiranya PERHILITAN memaklumkan kepada pihak JBPM untuk menyimpan ular tertentu maka JBPM akan menyimpan ular itu dan berhubung terus dengan pihak PERHILITAN untuk proses pelepasan. Dalam pada itu, beliau turut menegaskan kepada orang ramai untuk tidak melepaskan ular di mana-mana kawasan dengan sesuka hati.
View this post on Instagram
Dengarkan perbualan penuh Pagi On Point di KoolCast sekarang.