Kementerian Perpaduan Negara melalui Perpustakaan Negara Malaysia akan melancarkan Kempen Jom Baca 10 Minit pada 23 April ini sempena Sambutan Hari Buku dan Hak Cipta Sedunia.
Menteri Perpaduan Negara Datuk Aaron Ago Dagang berkata inisiatif itu bertujuan menghidupkan amalan membaca harian dalam kalangan seluruh lapisan masyarakat.
Semua pihak tanpa mengira latar belakang, iaitu penjawat awam, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), pelajar sekolah, mahasiswa institusi pengajian tinggi, golongan belia, sektor swasta dan korporat diseru untuk bersama-sama menyertai kempen berkenaan.