Baru habis (atau belum lagi) dengan isu iklan mempromosi judi sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri, kecoh lagi satu isu di media sosial mengenai sebuah lukisan mural di dinding Balai Art Seni Gallery, Kuala Selangor. Lukisan yang memaparkan tiga wanita tanpa pakaian itu benar-benar mencetuskan rasa kurang senang buat penduduk sekitar Kuala Selangor itu.
Bagaimanapun, kekecohan tersebut hanyalah salah faham sahaja menurut pelukis mural itu. Penjelasan tersebut dimuat naik oleh pelukis, Lyana Leong di laman Facebooknya. Menurutnya, tujuan dia dan juga kawannya (dikenali sebagai Sliz) melukis gambar wanita tanpa pakaian itu adalah berdasarkan pengalamannya melukis mural, iaitu melukis lapisan pertama dahulu sebelum melukiskan pakaian.

Tambahnya lagi, sementara menunggu proses lukisan mural yang masih belum siap itu, dia ada menutup bahagian sulit pada lukisan itu menggunakan kain hitam agar tidak menjadi tontonan awam. Bagaimanapun, kain hitam tersebut dilucutkan sebentar untuk menilai semula lukisan tersebut bagi proses seterusnya.
Baca juga: Netizen Luah Rasa Kecewa Video Khidmat Pesanan Masyarakat KPDNHEP Tidak Menggambarkan Situasi Semasa
Namun, dalam tempoh kain itu dilucutkan (dalam tempoh 30 minit), penduduk di situ sudah mula meluahkan rasa tidak puas hati dan menularkan lukisan mural tersebut.

Menurut pelukis tersebut, gambar yang ditularkan itu turut menimbulkan fitnah sehingga ada yang menyangka ia dilukis oleh pelukis berbangsa Cina. Bagaimanapun, terdapat komen-komen di Facebook yang tidak bersetuju dengan cara pelukis tersebut melukiskan wanita berbogel dahulu sebelum melukiskan pakaian.

Sementara itu, menurut laporan terkini, pihak polis telah membuka kertas siasatan berhubung lukisan mural tiga wanita yang tidak berbaju. Menurut Ketua Polis Daerah Kuala Selangor, Superintenden Ramli Kasa, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998. Lukisan mural tersebut juga kini sudah dilukis penuh dengan mengenakan pakaian.
Sumber berita: Utusan Malaysia