Kool FM

“Jumlah Rakyat Jatuh Miskin Semakin Meningkat Akibat Pandemik” – Perdana Menteri

Melihat keadaan terkini rakyat Malaysia, mungkin ianya satu fakta yang tidak boleh dinafikan lagi. Melalui ucapan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada Majlis Amanat Perdana Setahun Malaysia Prihatin semalam, beliau mengakui berlaku peningkatan dalam jumlah rakyat Malaysia yang jatuh miskin kesan daripada pandemik COVID-19.

Image via:https://www.bharian.com.my/

Kenyataan tersebut menurut Muhyiddin adalah berdasarkan laporan dikemukakan Majlis Tindakan Ekonomi dalam mesyuarat yang dipengerusikannya setiap minggu. Umum sedia maklum bahawa kerajaan telah menyalurkan pelbagai bentuk bantuan kepada rakyat sepanjang pandemik COVID-19 melanda dunia. Namun, bantuan yang diterima rakyat mungkin cukup sekadar menampung keperluan dalam kadar terhad. Hakikatnya, masih ramai lagi yang menanggung kesusahan.

Tambah Muhyiddin lagi, status dan gaya hidup rakyat juga menunjukkan penurunan apabila terdapat sebahagian golongan berpendapatan tinggi (T20) yang bertukar status kepada kumpulan berpendapatan sederhana (M40), manakala sebahagian kumpulan M40 pula menjadi kumpulan berpendapatan rendah (B40).

“Mereka yang berada dalam kumpulan B40 pula menjadi bertambah miskin kerana kesan penguncupan ekonomi yang sedang dialami oleh negara kita,” katanya.

Bagaimanapun, maklumat tersebut akan digunakan oleh kerajaan dengan mewujudkan Jawatankuasa Kabinet Mengenai Kemiskinan untuk meneliti masalah tersebut secara mendalam. Katanya lagi, langkah membasmi masalah ini akan dilakukan oleh kerajaan bersama syarikat berkaitan kerajaan (GLC), badan sukarela dan sektor swasta.

“Program pembasmian kemiskinan akan mengambil kira peningkatan Paras Garis Kemiskinan 2021 (PGK 2021) daripada RM980 kepada RM2,208, yang akan meningkatkan bilangan isi rumah miskin dan miskin tegar dan seterusnya meningkatkan bilangan kumpulan sasar,” jelasnya.

Melalui tinjauan di media sosial pula, ramai yang sedar dan sedia maklum akan keadaan tersebut. Realiti yang pahit untuk kita hadapi, namun golongan yang benar-benar terkesan tetap perlu kuat mengharungi detik yang sukar ini. Sama-sama kita doakan agar keadaan akan kembali pulih seperti sedia kala selepas selesai kita memerangi wabak COVID-19.

Baca juga artikel menarik lain:

Pendapatan RM2,208 Kini Dikira Miskin. Masih Mampukah Memiliki iPhone 12 Dan PS5?

Jangan Guna Minyak Masak Berulang Kali, Doktor Ini Dedah Risiko Dapat Penyakit Kronik

 

 

 

 

 

Sumber berita: Harian Metro

Exit mobile version