Mungkin ada masa bila kita dah terlalu lama bekerja tanpa ambil cuti tahunan, kita akan rasa penat dan macam malas nak pergi kerja. Bila dah malas tu, kita pun ambil jelah cuti tahunan yang masih berbaki tu. Tapi, ada je yang ponteng kerja dan bagi pelbagai alasan ‘kecemasan’ untuk tak datang kerja. Cuma alasan-alasan yang biasa diberi tu adalah normal seperti kereta rosak, demam panas dan lain-lain.

Bagaimanapun, ada juga yang sanggup tipu majikan dengan memalsukan kes penculikan sendiri kerana malas datang bekerja. Menurut laporan, lelaki yang dikenali dengan nama Brandon Soules mendakwa dirinya diculik oleh dua orang penjenayah bertopeng. Disebabkan itu, dia yang bekerja di sebuah kilang membuat tayar memberitahu majikannya yang dia tidak dapat datang kerja ekoran insiden tersebut.
Penipuan Sendiri Akhirnya Kantoi
Soules ditemui di Coolidge pada 17 Februari lalu oleh pihak berkuasa dalam keadaan tangan diikat menggunakan tali pinggang manakala mulut disumbat dengan kain. Dia memberitahu pihak polis bahawa dirinya telah dipukul di kepala sehingga tidak sedarkan diri, lalu dia disumbat ke dalam sebuah kereta sebelum ditinggalkan berdekatan menara air.
Bagi mengukuhkan lagi cerita motif pembunuhan, dia yang tinggal di bandar Phoenix, Arizona, mendakwa dirinya diculik kerana bapanya memiliki sejumlah wang simpanan di beberapa lokasi bandar itu. Memang teliti penipuannya itu bagi menyakinkan pihak polis. Bagaimanapun, pihak polis tetap meragui jalan cerita Soules selepas meneliti rakaman televisyen litar tertutup (CCTV). Lelaki tersebut kemudian dipanggil untuk proses soal siasat kali kedua.
Ingatkan masih nak teruskan penipuannya, namun akhirnya Soules mengaku bahawa dia sengaja mereka cerita penculikannya itu. Bila ditanya apa tujuan dia melakukan perkara tersebut, Soules mengatakan dia hanya ingin ponteng kerja ketika hari ‘penculikan’ itu berlaku.
“Siasatan terperinci dijalankan detektif kami dan menemui bukti menunjukkan ceritanya adalah rekaan dan tiada penculikan atau serangan berlaku,” tulis kenyataan jabatan polis Coolidge di laman Facebook.
Gara-gara tindakannya yang tidak berfikir panjang itu, Soulnes akhirnya ditahan kerana membuat laporan polis palsu. Dia juga turut dipecat oleh majikannya. Nampaknya lepas ni dia boleh bercuti lebih lama daripada yang sepatutnya selepas dah tak bekerja lagi.
Baca juga artikel menarik lain:
Lepas Bersara Pun Ada Risiko Untuk Muflis? Ikut Pesanan Pakar Ini
Anak Mawar Rashid Dikatakan ‘Gelap, Tak Comel’, Netizen Hujani Ruangan Komen Backup Baby
Sumber daripada: Kosmo