Seorang pengamal perubatan tradisional sebelum ini yang pernah tular di Facebook kerana gaya perubatannya yang unik, ditemui mati dengan kesan tembakan di badan. Mangsa, Mohammad Abdul Rahim Nasri, 31 tahun, ditemui terbaring dengan kesan darah pada bahagian badan serta kecederaan di kepala, di sebuah rumah tidak bernombor di perkampungan Bukit Rangin Perdana 2, Kuantan, kira-kira pukul 9 malam semalam.
Menerusi siasatan awal mengenai latar belakang mangsa, dia dikatakan tinggal bersama ibunya yang berusia 60 tahun, dan menjalankan aktiviti perubatan tradisional (bomoh). Selain itu, mangsa juga dikatakan sudah berkahwin dan baru menerima cahaya mata lelaki. Bagaimanapun, isteri dan anaknya tidak tinggal sekali dan kini sedang berpantang di rumah ibu mentua di Pekan.
Kuantan: Dendam dipercayai motif pembunuhan pengamal perubatan yang ditembak di rumah sewa di Perumahan Bukit Rangin Perdana 2, di sini, semalam.https://t.co/NwlnqX4i0C
— Mohd Redzuan Abdul Manap (@redzuanNewsMPB) April 5, 2021
Menurut kenyataan dari Ketua Polis daerah, Asisten Komisioner Mohamad Noor Yusof Ali, sewaktu kejadian mangsa berada di rumah tersebut seorang diri manakala ibunya berniaga di tapak berniaga Bukit Rangin Perdana 2 kira-kira 200 meter dari rumah mereka. Adik beradik yang lain pula difahamkan tinggal berasingan.
“Motif kejadian dipercayai disebabkan dendam atau marah kepada mangsa namun siasatan lanjut masih dijalankan,” kata Ketua Polis daerah tersebut.
Menurut kenyataan daripada ibu mangsa, ketika dia pulang ke rumah, alangkah terkejutnya dia apabila melihat arwah sudah terbaring. Namun disebabkan takut, ibu mangsa tidak mendekati mangsa lalu terus menghubungi abang sulung bagi mendapatkan bantuan.
Adik Minta Orang Ramai Henti Buat Spekulasi
Mungkin disebabkan mangsa sebelum ini pernah tular di Facebook menerusi perkongsian video dirinya mengubati salah seorang pesakitnya dengan cara yang lain daripada lain, maka pelbagai andaian yang muncul mengenai kematiannya.

Bagaimanapun, adik mangsa, Mohd. Firdaus Nasri, 29 tahun, meminta orang ramai agar berhenti daripada membuat sebarang spekulasi mengenai kejadian yang menimpa abangnya itu. Menurut adiknya, biarlah pihak polis yang menjalankan siasatan berhubung kes itu. Adik mangsa mendakwa pelbagai andaian dibuat orang ramai yang turut menyebarkan gambar mangsa di laman sosial dan kumpulan WhatsApp sehingga menjejaskan emosi keluarga.
Katanya lagi, terdapat juga individu yang tidak bertanggungjawab yang masuk ke rumah dan merakam gambar mangsa sebelum ketibaan anggota polis. Selain itu, gambar tersebut turut disebarkan kepada orang ramai sehingga timbul pelbagai andaian mengenai motif kejadian itu.
“Keluarga masih bersedih dengan kejadian ini tetapi orang ramai seolah-olah tidak menghormati perasaan keluarga kami apabila mereka menyebarkan gambar arwah yang masih berlumuran darah,” katanya.
Arwah dikatakan bekerja sebagai pengamal perubatan tradisional sejak setahun lalu, dan rumahnya sering dikunjungi orang ramai bagi mendapatkan rawatan daripadanya. Dalam pada itu, wargamaya yang lain juga turut bersimpati dengan kematian arwah dan meminta orang ramai tidak mempersendakan musibah yang menimpa keluarga mangsa.
Baca juga artikel menarik lain:
Lelaki Ini Dakwa Mampu Sembuhkan Penyakit Hanya Dengan Kentut Di Muka Pesakit
Sumber berita: Utusan Malaysia