Site icon Kool FM

Rina Harun Cadang Pakaikan ‘Barcode’ Pada Bayi Baru Lahir Untuk Elak Tertukar

Isu tertukar bayi masih lagi hangat menjadi bualan masyarakat Malaysia. Hal ini kerana masing-masing risau akan kebarangkalian kejadian ini berlaku lagi di masa hadapan. Di media sosial, ramai ibu-ibu meluahkan rasa takut dan risau untuk melahirkan bayi dalam kandungan gara-gara takut bayi mereka tertukar tanpa disedari. Sehubungan itu, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri (DS) Rina Harun memberi cadangan untuk pakaikan gelang ‘barcode’ pada bayi yang baru lahir.

Cadangan tersebut telah dikemukakan bagi mengelak isu bayi tertukar berulang pada masa depan. Menerusi hantaran yang dimuat naik di Facebook rasmi miliknya, DS Rina menjelaskan tiada siapa sepatutnya melalui pengalaman perit ini. Oleh itu, beliau mencadangkan supaya setiap bayi yang baru dilahirkan perlu dipakaikan gelang ‘barcode’ (Kod QR) yang mengandungi maklumat penuh ibu bapa masing-masing.

DS Rina juga menegaskan untuk elakkan kejadian malang ini berlaku lagi, pihak hospital perlu lakukan saringan dan pemeriksaan yang lebih terperinci juga seharusnya dilakukan sebelum menyerahkan bayi kepada ibu masing-masing.

Artikel menarik lain: “Aisar Dan Aiman Kembar Di Dunia Membawa Ke Akhirat” – Isu Tertukar Bayi Libatkan Nasab Keturunan

“Saya berharap agar semua pihak yang terlibat mengambil iktibar akan kejadian ini dan mengambil langkah-langkah penambahbaikan agar peristiwa sebegini tidak berulang.

“Saya juga menyarankan agar ibu bapa sentiasa menyemak maklumat bayi yang diserahkan kerana ia juga sebahagian daripada tanggungjawab ibu bapa,” – DS Rina Harun

DS Rina turut sempat menziarahi kedua-dua ibu yang terlibat dengan kejadian bayi yang tertukar di sebuah hospital swasta semalam. Beliau kemudiannya telah menawarkan khidmat kaunseling serta bimbingan emosi untuk dua ibu muda tersebut untuk mengurangkan rasa trauma tersebut. Beliau juga memberikan sedikit sumbangan ikhlas kepada kedua ibu muda tersebut untuk membuatkan mereka rasa sedikit ceria.

Meninjau ke ruangan komen, rata-rata pengikutnya bersetuju dengan cadangan yang diberikan oleh DS Rina dan menyatakan isu ini adalah sangat serius memandangkan ia melibatkan bayi yang baru lahir. Jelas pengikutnya, pihak hospital haruslah memantau dengan lebih ketat akan prosedur untuk membawa bayi pulang ke rumah lebih lagi di musim pandemik ini.

Baca juga: “Bukan Setakat Seriau, Fobia Pun Ada” – Siti Sarah Akui Takut Kes Tertukar Bayi Jadi Pada Diri Sendiri

Sumber: Facebook DS Rina Harun

Exit mobile version