Kool FM

“Sama Seperti Waktu Saya Dahulu…” – Ain Digelar ‘Anak Setan’, Kini Pandelela Rinong Tampil Beri Sokongan

Agak kecoh hujung minggu lepas di media sosial apabila tular satu komen yang berbaur seperti hinaan kepada Ain Husniza, iaitu seorang pelajar yang kini memperjuangkan masalah gangguan seksual di sekolah. Apa yang lebih mengejutkan, komen yang ditulis “Anak setan pakai tudung” dipercayai ditulis sendiri oleh Pengetua sekolah tempat Ain bersekolah. 

Komen tersebut yang pantas tersebar di media sosial akhirnya membangkitkan kemarahan wargamaya yang menganggap kata-kata itu tidak sepatutnya dikeluarkan oleh seorang guru, apatah lagi seorang pengetua sekolah. Perkongsian mengenai komen guru terbabit turut mendapat perhatian Pandelela Rinong, iaitu Ratu Terjun negara. 

Baca juga: #MakeSchoolASaferPlace Trending Di Twitter, Orang Ramai Desak Tindakan Tegas Isu Jenayah Rogol Dijadikan Gurauan

“Sama seperti waktu saya cuba untuk jadikan sukan tempat yang selamat, saya telah digelar sebagai DIVA, ditambah dengan maksud yang lain,” tulis Pandelela memberi kenyataan terhadap isu itu.

Tambahnya lagi, dia memberi ingatan buat Ain agar sentiasa berhati-hati di atas kemungkinan akan disabotaj. Mungkin kerana pernah melalui perkara dan perjuangan yang sama, Pandelela merasakan perlu untuk memberikan sokongan buat Ain. 

Dalam pada itu, wargamaya yang lain memuji tindakan Pandelela yang berani memberi suara terhadap isu tersebut. Sememangnya isu yang menyelubungi Ain ini menjadi semakin panas apabila ia mendapat perhatian pelbagai pihak, termasuklah Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq yang mengecam kenyataan guru tersebut. 

Apa-apa pun, isu gangguan seksual di mana-mana tempat sekalipun tidak boleh dipandang ringan. Semoga isu ini dapat diselesaikan dan mendapat sokongan daripada pihak yang sepatutnya. 

Baca juga: “Cukup! Saya Tidak Boleh Bersabar” – Guru Berang Kumpulan NGO Lancar Kempen Mogok Tinggalkan Sekolah

Sumber daripada: Twitter

Exit mobile version