Negara kita masih lagi belum bebas daripada pandemik COVID-19, dan kehidupan rakyat pula semakin hari semakin mendesak apabila punca pendapatan terjejas selepas Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasakan. Namun, menerusi pengumuman terbaharu daripada Tan Sri Muhyiddin Yassin ini, nampaknya rakyat boleh menarik nafas lega semula.
Perdana Menteri hari ini mengumumkan Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (PEMULIH) bernilai RM150 bilion, bertujuan memberi bantuan menyeluruh kepada rakyat dalam berdepan penularan wabak COVID-19. Pakej tersebut turut merangkumi suntikan langsung fiskal kerajaan sebanyak RM10 bilion. PEMULIH menumpukan kepada tiga fokus utama iaitu Meneruskan Agenda Prihatin Rakyat, Menyokong Perniagaan dan Meningkatkan Vaksinasi. Jadi apa manfaat dan bantuan yang bakal anda terima dalam PEMULIH? Baca lanjut.
Baca juga: Intipati Dan Senarai Pakej Bantuan PERMAI Yang Diumumkan Perdana Menteri
Bantuan Khas COVID-19 (BKC)
Bantuan Prihatin Rakyat (BPR) semasa pengumuman PEMERKASA Tambahan yang lepas, bayaran tambahan akan diberikan sehingga 500 ringgit pada bulan Julai dan bayarannya akan dibuat secara berperingkat mulai esok, 29 Jun. Manakala BPR fasa ketiga dengan kadar bantuan antara 100 hingga 1,400 ringgit akan dibayar pada bulan September nanti. Mereka yang lulus rayuan BPR juga akan menerima bayaran pada September ini.

Selain BPR, tambahan bantuan kepada rakyat diumum kerajaan adalah Bantuan Khas COVID-19 (BKC). Bantuan ini adalah bagi memastikan rakyat kekal menerima bantuan sehingga akhir tahun ini. Kadar dan kategori adalah seperti berikut:
- Pertama, isi rumah kategori miskin tegar bakal menerima bantuan sebanyak 500 ringgit pada bulan Ogos, 500 ringgit pada bulan November, dan 300 ringgit pada bulan Disember. Manakala individu bujang kategori miskin tegar akan menerima bantuan sebanyak 200 ringgit pada bulan Ogos dan 300 ringgit pada bulan November;
- Kedua, isi rumah kategori B40 akan menerima bantuan sebanyak 500 ringgit pada bulan Ogos dan 300 ringgit pada bulan Disember. Manakala bujang kategori B40 akan menerima bantuan sebanyak 200 ringgit pada bulan Ogos; dan Ketiga, isi rumah kategori M40 turut menikmati bantuan sebanyak 250 ringgit, manakala bujang kategori M40 akan menerima 100 ringgit pada bulan Ogos nanti.
Lebih 11 juta isi rumah dan individu warga emas bakal menerima manfaat ini.
Bantuan Kehilangan Pendapatan
Bermula Oktober nanti, sebanyak 500 ringgit akan disalurkan kepada pekerja yang kehilangan pendapatan berdasarkan data KWSP atau PERKESO dalam tahun 2021.
Elaun Mencari Pekerjaan
Berita baik buat mereka yang sedang mencari kerja atau baru sahaja menamatkan pengajian dan masih dalam proses menjadi pekerjaan. Kerajaan akan memperluaskan Elaun Mencari Pekerjaan kepada bukan pencarum PERKESO terutamanya graduan baharu, lepasan sekolah dan pekerja sektor tidak formal. Mereka boleh mendaftar di bawah platform MYFutureJobs dan bakal menerima elaun sekurang-kurangnya 300 ringgit.
Dalam pada itu, menerusi HRD Corp, kerajaan akan melaksanakan inisiatif ‘Place and Train’ di bawah program Janapreneur terutamanya kepada belia lepasan sekolah dan graduan. 30 ribu orang dijangka berpeluang mengikuti program ini dengan jaminan pekerjaan setelah tamat latihan.
Diskaun Bil Elektrik Hingga 40 Peratus
Kerajaan bersetuju untuk memberikan diskaun bil elektrik antara lima hingga 40 peratus mengikut penggunaan kadar elektrik dengan had maksimum 900 kilowatt jam sebulan. Diskaun sebanyak 40 peratus akan diberikan kepada penggunaan elektrik bawah 200 kilowatt jam sebulan dan 15 peratus bagi penggunaan antara 201 hingga 300 kilowatt jam sebulan. Diskaun ini akan berkuat kuasa bagi tempoh tiga bulan mulai bil bulan Julai 2021.
Satu Gigabit Data Harian Secara Percuma
Syarikat penyedia perkhidmatan telekomunikasi utama negara telah bersetuju untuk melanjutkan pemberian satu gigabit data harian secara percuma sehingga 31 Disember 2021. Kemudahan yang dianggarkan bernilai RM500 juta bakal memanfaatkan 44 juta pelanggan berdaftar di seluruh negara.
Bayaran Tambahan GKP 4.0 Sebanyak RM1,000
Bayaran tambahan di bawah Geran Khas Prihatin (GKP) 4.0 bakal diterima kepada mereka yang layak. Sebanyak RM500 akan dibayar pada September, manakala RM500 lagi pada November ini. Bantuan ini diharap dapat meringankan beban usahawan PKS mikro dan membantu aliran tunai mereka.
Bantuan RM600 Setiap Pekerja Menerusi PSU
Sehingga 500 pekerja bagi setiap majikan dengan kadar sebanyak RM600 setiap pekerja akan ditanggung kerajaan selama empat bulan melalui Program Subsidi Upah (PSU 4.0). Selain itu, bagi PSU 4.0 ini juga diumumkan tiada lagi syarat had gaji ditetapkan seperti sebelum ini iaitu had kepada yang bergaji RM4,000.
PenjanaKerjaya 3.0
Kerajaan bersetuju melanjutkan PenjanaKerjaya dan dijenamakan sebagai PenjanaKerjaya 3.0 dengan beberapa penambahbaikan. Antaranya mengurangkan had kelayakan gaji daripada RM1,500 kepada RM1,200 untuk program Malaysianisation supaya memberi lebih dorongan kepada majikan untuk mengganti pekerja asing dengan pekerja tempatan.
i-Citra, Pengeluaran Sehingga RM5,000
Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) akan memperkenalkan kemudahan pengeluaran baharu iaitu i-Citra. Menerusi i-Citra, seramai 12.6 juta ahli KWSP boleh membuat pengeluaran sehingga RM5,000 dengan kadar bayaran tetap RM1,000 sebulan untuk tempoh lima bulan.
Moratorium Automatik 6 Bulan Tanpa Syarat
Moratorium bayaran balik pinjaman bank selama enam bulan akan diberi kepada semua individu tanpa mengira golongan B40, M40 atau T20. Moratorium itu tidak memperuntukkan sebarang syarat seperti pengurangan pendapatan, selain tiada semakan bagi mengesahkan sama ada pemohon hilang pekerjaan. Jadi ini bermakna, tiada lagi dokumentasi perlu dikemukakan untuk permohonan bayaran balik pinjaman berkenaan.
Penggiat Seni, Pengusaha Taska, Kantin, OKU Turut Terima Bantuan
Lebih 8,000 penggiat seni bakal menikmati kemudahan pembiayaan dan sokongan bantuan kewangan menerusi PEMULIH. Kerajaan memperuntukkan RM100 juta bagi menyokong industri seni dan kreatif tempatan.
Selain itu, pusat asuhan anak-anak dan tadika seliaan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) serta tadika swasta seliaan Kementerian Pendidikan (KPM) akan menerima Bantuan Khas Taska yang berjumlah RM3,000. Pengusaha kantin yang hilang mata pencarian, juga akan menerima bantuan kewangan sebanyak RM1,000. Tidak lupa juga bantuan kewangan RM500 seorang untuk tempoh tiga bulan kepada golongan orang kurang upaya (OKU) yang kehilangan pekerjaan atau ketiadaan kerja, serta bukan penerima bantuan Elaun Pekerja Cacat sedia ada.
Jadi itulah antara manfaat dan bantuan PEMULIH yang bakal meringankan serta memberi kelegaan buat rakyat yang terkesan. Semoga bantuan ini dapat dimanfaatkan dengan baik bagi menghadapi bulan-bulan yang mendatang dalam kita mengharungi wabak membunuh ini.
Baca juga: Sekian Lama Tanpa Berita, Akhirnya Ustaz Ebit Lew Kongsi Sudah Selamat Tiba Di Gaza
Sumber daripada: Berita Harian