Agak mengejutkan wargamaya kita baru-baru ini apabila terpampang satu iklan pencarian penyelidik bagi penyelidikan mengenai pengiktirafan jantina ketiga (third gender) di negara ini. Apa yang lebih mengejutkan, iklan tersebut dikeluarkan oleh Suruhanjaya Hak Asasi Malaysia (SUHAKAM), iaitu salah satu agensi yang bernaung di bawah kerajaan.

Iklan tersebut yang diiklankan di Facebook milik SUHAKAM menyatakan tugasan bertajuk ‘Feasibility of Having Legislation on The Recognition of a Third Gender in Malaysia’. Kajian tersebut ditulis akan berlangsung selama 5 bulan, bermula dari tarikh lantikan. Meninjau di ruangan komen pula, rata-rata menyuarakan ketidakpuasan hati terhadap iklan tersebut.
Baca juga: Elak Insiden Tertukar Bayi, Ini SOP Dan Juga Proses Discaj Ibu Bersalin Di Hospital
Ramai yang menyatakan kajian tersebut tidak perlu dijalankan di Malaysia dan merasakan ianya adalah salah satu pembaziran wang, masa dan tenaga.
Dalam pada itu, menerusi perkongsian Menteri Agama, Datuk Dr Zulkifli Al-Bakri di Facebook miliknya, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) telah mengeluarkan satu kenyataan menuntut penjelasan rasmi daripada SUHAKAM berhubung iklan terbabit yang dikeluarkan pada 14 Jun lalu.
Bagaimanapun, tidak ada ulasan lanjut daripada Dr Zulkifli berhubung isu tersebut. Perkongsian di Facebook miliknya itu juga meraih perhatian ramai sehingga mendapat 1,300 likes dan seratus lebih share. Rata-rata di ruangan komen turut meluahkan rasa kecewa dan marah terhadap iklan tersebut.
Setakat ini belum ada lagi kenyataan dikeluarkan oleh pihak SUHAKAM. Apa-apa pun semoga isu ini tidak menimbulkan ketegangan dalam masyarakat.