Dapatkan Audio+
Imbas untuk muat turun aplikasi

Hiburan

10 Amalan Perubatan Paling Pelik Dan Gila Dalam Sejarah!

today17 May 2021

Background

Dunia perubatan dah jadi semakin canggih dengan teknologi-teknologi baharu. Bila alatan perubatan makin canggih ni, makin mudah nak rawat pesakit-pesakit dalam masa yang singkat. Kalau pergi ke hospital pun rasa yakin je dengan medical procedure yang dijalankan ke atas kita. Tapi dalam sejarah ketamadunan manusia, ada juga tau amalan-amalan perubatan yang boleh dikatakan pelik. Jadi apa yang pelik sangat tentang amalan perubatan ni?

1. Bloodletting

Amalan perubatan yang berusia 4,000 tahun ini merupakan amalan di mana pesakit diminta untuk mengeluarkan darahnya untuk merawat sakit yang dihadapi. Kalau sakit kepala? Hiris tangan dan keluarkan darah dari badan. Sakit perut? Samalah juga keluarkan darah dari badan. Amalan ini dipercayai dapat mengeluarkan darah kotor yang menyebabkan kita jatuh sakit atau badan rasa kurang sihat. Pada asalnya bloodletting diamalkan oleh tamadun kuno Egypt, tapi tidak menjadi amalan kebiasaan bagi merawat sakit sehinggalah tamadun klasik Rom dan Greece menjadikan ia common practice.

Image via:https://www.history.com/

Sebenarnya amalan mengeluarkan darah kotor ni masih digunakan sehingga zaman sekarang, cuma bukan dengan cara menghiris tangan dengan pisau. Zaman sekarang kebiasaannya kita akan guna lintah atau bekam untuk mengeluarkan darah kotor dari dalam badan kita.

2. Terapi Malaria

Image via:https://science.sciencemag.org/

Selalu orang nampak malaria ni sebagai satu penyakit. Tapi yang ni terbalik pula sebab ia dijadikan sebagai satu penawar kepada penyakit sifilis. Pada permulaan abad ke-20, pesakit yang disahkan menghidapi sifilis akan menjalani terapi malaria. Ia satu terapi di mana pesakit akan disuntik dengan virus malaria dengan tujuan menaikkan suhu badan. Dipercayai kenaikkan suhu badan akibat demam boleh membunuh kuman sifilis. Tetapi sekitar 15 peratus pesakit yang dirawat mati akibat malaria. Pesakit yang lain pula menunjukkan pemulihan pada tahap yang baik. Okay kot kalau nak cuba.

3. Lobotomy

Doktor zaman dahulu percaya yang manusia cuma menggunakan 10 peratus sahaja kapasiti otak. Disebabkan ini amalan perubatan untuk membuang sebahagian otak tercipta pada awal abad ke-20. Antara penyakit yang selalu menggunakan procedure ni adalah penyakit yang berkaitan dengan kesihatan mental.

Image via:https://www.nytimes.com/

Cara untuk menjalankan pembedahan lobotomy adalah dengan memasukkan alat seperti pencungkil ke bahagian otak melalui mata pesakit. Selepas itu alat tersebut akan diketuk menggunakan penukul. Walaupun tak ramai pesakit yang sembuh selepas dirawat menggunakan cara ni, sebanyak 50,000 prosedur lobotomy dijalankan di Amerika Syrikat sehingga ia dilarang pada tahun 1950-an.

Baca juga: Budaya² Makan Pelik Yang Wujud Di Dunia

4. Merokok

Pada akhir abad ke-19 dan awal abad ke-20, semasa kesan buruk terhadap merokok belum ditemukan atau diterima secara meluas. Jadi pada waktu itu, rokok bukan sekadar untuk tujuan rekreasi, tetapi juga sebagai salah satu rawatan perubatan. Ia digunakan untuk merawat pelbagai penyakit, termasuk penyakit asma. Boleh dimaafkanlah sebab dulu mereka tak tahu bahayanya asap rokok ni. Tapi tak tahulah pesakit asma waktu tu sembuh atau terus gone.

5. Diet Cacing Pita

Image via:https://www.vice.com/

Semasa zaman Victoria, masyarakat pada waktu itu menghasilkan satu cara paling radikal untuk mengurangkan berat badan, iaitu dengan menggunakan cacing pita. Seseorang yang ingin mengurangkan berat badan akan memakan telur cacing pita dan bila telur ini menetas dan tumbuh dalam usus orang tersebut, ia akan makan apa sahaja yang orang tu makan. Jadi tak perlu bersusah payah untuk kawal pemakanan sebab akan ada makhluk dalam perut yang makan makanan berlebihan tu. Walaupun cacing pita di dalam usus sebenarnya membahayakan kesihatan, namun amalan ini masih lagi dijalankan sehingga ke hari ini.

6. Duduk Dalam Bangkai Ikan Paus

Image via:https://www.smithsonianmag.com/

Semasa abad ke-19, rawatan yang menggunakan bangkai ikan paus diperkenalkan di Australia. Rawatan ini memerlukan pesakit untuk duduk di dalam bangkai ikan paus yang busuk selama 30 jam. Dipercayai rawatan ini mampu melegakan sakit sendi dan otot sehingga 12 bulan. Namun tiada bukti saintifik yang menunjukkan bangkai ikan paus mampu merawat sakit sendi. Tapi biasalah orang ramai tetap ingin mencuba rawatan altenatif ini tanpa mengetahui manfaat sebenar. Sekadar nak cuba dan lihat sendiri.

7. Ubat Dari Organ Manusia

Image via:https://www.mentalfloss.com/

Selama beberapa ratus tahun sehinggalah sekitar tahun 1890-an, organ dalaman manusia yang diambil daripada mayat merupakan ubat-ubatan yang biasa digunakan untuk sembuh dari pelbagai penyakit. Organ atau bahagian yang biasa digunakan untuk dijadikan ubat adalah seperti hati manusia, darah, lemak, tulang dan daging. Salah satu ubat yang paling popular pada waktu itu adalah mumia mesir yang diseludup. Sisa-sisa mumia biasanya dijadikan sebagai serbuk dan digunakan untuk merawat epilepsy, lebam dan pendarahan. Ada yang nak guna ubat ni?

8. Heroin

Image via:https://www.healthline.com/

Pada asalnya, heroin dicipta untuk menghasilkan satu ubat yang serupa dengan morfin tetapi kurang kuat dan kurang ketagihan berbanding morfin. Akirnya, perkara sebaliknya pula yang terjadi. Heroin sebenarnya dua kali lebih kuat dari morfin dan menjadikan orang lebih cepat ketagih. Pada tahun 1998 hingga 1910, heroin merupakan bahan yang diletakkan di dalam ubat batuk sebagai penganti morfin. Selain untuk merawat batuk, ia juga digunakan untuk merawat penyakit lain seperti sakit tulang belakang dan insomnia. Kalau dah menyebabkan ketagihan, dah tak jadi ubatlah heroin ni. Kita jauhi dadah okay guys.

9. Merkuri

Image via:https://www.pinterest.nz/

Sekarang, kita banyak terbaca tentang bahayanya bahan merkuri terhadap kesihatan kita. Asap merkuri bukan sekadar mampu merosakkan organ dalaman seseorang, bahkan boleh membawa maut. Namun dalam sejarah manusia, merkuri digunakan sebagai satu bahan untuk kekal sihat. Selama beratus tahun, bahan kimia ini merupakan bahan utama dalam pelbagai produk kesihatan untuk merawat penyakit seperti sifilis dan influenza.

10. Terapi Air Kencing

Air kencing sering digunakan sebagai terapi dan selalunya menggunakan air kencing pesakit itu sendiri. Air kencing telah digunakan sebagai ubat dalam dunia perubatan dan juga dunia kecantikan dalam tamadun Rom, Cina, India dan Perancis dan merupakan teori dominan dalam budaya barat sehingga ke hari ini.  Ia banyak digunakan untuk tujuan pemutihan gigi, perlindungan kulit, penyembuhan jerawat, radang tekak dan juga patah tulang. Kalau untuk rawat bahagian dalaman, kenalah minum.

Image via:https://concretewardrobe.com/

Walaupun amalan ini menjadi alaman yang dikategorikan sebagai kuno, masih ada lagi orang yang mempercayai kebaikan yang ada pada air kencing. Tujuan kita kencing adalah untuk mengeluarkan sisa atau toksin yang kotor dalam badan. Rasanya kurang bijak kalau kita pergi minum balik air kencing tu atas tujuan perubatan.

Baca juga: Tradisi² Pelik Lanun Yang Sering Disalah Erti…

Written by: Hamka Rosli


Previous post