Dapatkan Audio+
Imbas untuk muat turun aplikasi

Hiburan

150 Orang Bakat Baru Berminat Join Kelas Percuma Ditawarkan Nabila Huda Dalam Masa Sehari

today4 June 2021

Background

Semalam, Nabila Huda ada membuat pengumuman menerusi sebuah video di laman Instagram miliknya di mana dia berhasrat untuk membuka satu kelas percuma buat bakat-bakat baru industri seni lakonan. Nabila berkata dia kini  sedia berkongsikan  ilmu mengenai dunia lakonan mengikut pengalaman dirinya sendiri. Berita baik ini telah diwar-warkan di pelbagai platform media sosial dan mendapat respons yang baik.

Baca juga: “Kena Marah Pun Relax Je” – Ramai Puji Keisha Tak Melenting Kena Marah Dengan Nabila Huda Pasal Hal Remeh

Dalam masa satu hari, Nabila berkata sebanyak 150 orang bakat baru sudah menghubunginya dan berminat untuk ‘join’ kelas ini. Wah, ramai juga tu. Kata Nabila, dia kini dalam proses membahagikan mereka mengikut kumpulan-kumpulan kecil supaya lebih mudah untuk dia mulakan kelas.

Oleh kerana ini adalah pertama kali Nabila Huda menawarkan khidmat kelas lakonan, dia akui masih sedikit keliru dan sedang cuba buat susun atur yang paling sesuai. Ya lah, idea asal untuk adakan kelas ini juga spontan sahaja jadi banyak juga yang perlu dipelajari.

Terbaru, Nabila menjelaskan melalui Instagram story bahawa kelas percuma yang diadakan ini bukanlah kelas lakonan di mana dia akan mengajar bakat-bakat baharu berlakon. Kata Nabila dia bukan seorang pensyarah atau guru lakonan. Dia tidak akan mengajar tetapi lebih kepada berkongsi cara asas untuk menjadi seorang pelakon yang baik.

Selain itu, Nabila juga berkata bahawa dia hanya ingin berkongsi apa yang dia lakukan untuk dirinya selama dia berada di dalam industri, cara dia bekerja dan beberapa perkara lain yang dia sedia untuk kongsikan bersama. Umum tahu Nabila Huda memang satu nama yang besar di dalam industri seni lakonan. Bakatnya besar dan apa sahaja watak yang dibawa di dalam filem mahupun drama semuanya menjadi.

Menurut Nabila pada mulanya dia hanya ingin buka kelas ini kepada pelakon-pelakon baru, yang sudah ada pengalaman berlakon dalam filem atau drama supaya mereka faham apa yang Nabila ingin kongsikan. Namun, kerana mendapat sambutan yang memberangsangkan, Nabila turut buka kelas ini buat mereka yang tidak pernah ada pengalaman berlakon tetapi minat untuk mendalami asas lakonan.

Mereka akan ditempatkan di dalam satu kumpulan yang lain kerana intipati isi yang nak dikongsikan nanti mungkin berbeza sedikit. Kata Nabila, mana tahu mungkin ini platform yang akan membuka jalan buat mereka untuk masuk ke dalam industri seni lakonan. Apa pun kita doakan yang terbaik buat Nabila dan semua yang join kelas ini nanti. Harapnya, semua dapat tambah ilmu dengan lebih lagi.

Baca juga: Nabila Huda Tawar Kelas Lakonan Online Percuma Kepada Pelakon Baru

Sumber: Nabila Huda

Written by: Danisyah Dalily