Dapatkan Audio+
Imbas untuk muat turun aplikasi

Hiburan

Aina Abdul ‘Melebarkan’ Sayapnya, Kini Berjaya Menempah Nama di Program Hiburan Korea Selatan

today15 June 2021

Background

Tidak dinafikan menjadi seorang penyanyi harus mempunyai keberanian untuk mencuba perkara yang baru agar terus mencipta nama dalam industri seni yang semakin berkembang. Sebelum ini, selebriti bernama Yuna dan Shila Azmah berjaya membuktikan bakat mereka dalam nyanyian sehingga menempah nama di peringkat antarabangsa. Terbaru, penyanyi Aina Abdul mula mengorak langkah untuk menyerlahkan kelunakan suaranya di luar negara sehingga berjaya muncul di progam hiburan terkenal di Korea Selatan.

Program yang mengetengahkan konsert muzik K-pop dan slot temubual ini menampilkan Aina dalam Simple K-Pop CON-TOUR siaran Arirang TV. Rata-rata peminat K-POP di Malaysia ini menjadi tidak keruan apabila Aina ditemubual oleh Jacob dan Kevin daripada kumpulan The Boyzz. Menerusi laporan Berita Harian, difahamkan penyanyi hebat ini terlebih dahulu diberikan soalan beberapa hari sebelum sesi temubual secara langsung itu dijalankan.

Tidak melepaskan peluang yang diberi dalam program yang berdurasi selama 2 jam itu, Aina sempat mempromosikan single terbaru ciptaanya yang berjudul Sepi, iaitu lagu pertama penyanyi hebat ini yang dialih bahasa kepada bahasa Korea Selatan. Menerusi video yang dimuat naik di akaun Instagram miliknya, Aina mendapat sambutan yang baik dan dibanjiri pujian daripada penonton dan dua host terkenal itu yang terpukau dengan nyanyian Aina.

 

View this post on Instagram

 

A post shared by AINA ABDUL (@ainaabdul)

Baca juga: Walaupun Digelakkan Pakai Baju Macam Valak, Tapi Suara Aina Abdul Tetap Padu!

Apabila disoal mengenai kumpulan K-Pop kegemarannya, Aina akui dia amat meminati kumpulan BigBang menerusi lagu Blue yang berjaya menambat hati Aina untuk terus kekal menjadi seorang VIP (gelaran kepada peminat BigBang). Bukan itu sahaja, Aina turut mengakui bahawa semenjak pertengahan tahun lalu, dia amat menggemari artis solo, Heize kerana kagum dengan pengayaan penulisan lirik berkenaan kehidupan peribadinya.

“Dia mengisnpirasikan saya untuk menulis lirik lagu saya sendiri,” ujar Aina semasa program berlangsung itu yang turut sempat menyanyikan beberapa rangkap lagu I Will Go To You Like The First Snow nyanyian asal Ailee. 

Menurut penyanyi lagu Sumpah ini, Aina bersyukur kerana dijemput untuk ditemubual skala kecil dalam program hiburan Korea walaupun tidak terbabit dengan persembahan. Tambahnya lagi, Aina menanggap ianya satu permulaan untuk menyebarkan sayap dalam industri seni sekaligus mendapatkan peluang lebih besar pada masa akan datang. Pelantun lagu Nafas Cinta iaitu lagu duet bersama Khai Bahar ini berkata pengiktirafan kecil ini memberi semangat padanya untuk bekerja keras bagi mencipta nama di peringkat antarabangsa.

Menerjah di ruangan sosial media Twitter, rata-rata daripada peminat Aina bangga dengan kejayaannya yang semakin lama semakin mendapat pengiktirafan dalam bidang hiburan ini. Menurut mereka, penyanyi kesayangan mereka ini sememangnya layak untuk dijemput di program hiburan Korea ini atas usaha dan sikap tidak kenal erti berputus asa Aina yang kerap mempromosikan diri sendiri menerusi nyanyian lagu-lagu Korea.

Tidak disangkal lagi kemerduan suara Aina bukan sahaja mampu memukau peminatnya di Malaysia, malah juga berjaya menjentik tangkai hati pendengar dari luar negara. Selain menyanyikan lagu-lagu ciptaannya sendiri, Aina juga sering menyerlahkan bakatnya dalam nyanyian dengan mendendangkan lagu-lagu bahasa Inggeris, Korea, Tagalog, Arab dan banyak lagi yang dimuat naik di akaun YouTube miliknya.

Untuk rekod, pada awal kemunculan Aina dalam bidang seni, Aina menyertai program realiti Mentor Legend pada tahun 2014 di bawah bimbingan Ratu Rock Ella. Namun, ketika itu Aina tidak berjaya untuk mendapat tempat di hati peminat. Malah, Aina akui pernah menyanyi di kelab malam dan restoran demi kelangsungan hidup dan minat yang mendalam pada bidang nyanyian.

Bagaimanapun, bakat Aina mula membuka mata orang ramai selepas dia berjaya menempah nama di Anugerah Juara Lagu (AJL) ke-34 yang berprestij ini menerusi lagu Sumpah. Pada AJL ke-35 pula, Aina terus meraih kejayaan dalam industri seni apabila penyanyi hebat ini menang tempat kedua untuk lagu single kedua ciptaannya sendiri yang berjudul Semalam.

 

View this post on Instagram

 

A post shared by AINA ABDUL (@ainaabdul)

Justeru itu, buat penyanyi baharu yang mula mengorak langkah dalam industri seni, semoga dapat pengajaran daripada perjalanan penggiat seni hebat, Aina Abdul yang terus terbang tinggi mencipta nama di pasaran. Tak sabar rasanya nak tunggu single terbaru Aina lepas ni!

Baca juga: Lagu Aina Abdul Dekat Dengan Jiwa, Netizen Kongsi ‘Semalam’ Mengisahkan Hidup Mereka Juga

Penulis: Aqilah Paharuzi

Sumber: Berita Harian, Instagram Aina Abdul

Written by: Hamka Rosli


Previous post