Agak kecoh baru-baru ini dengan pendedahan sebuah aplikasi laman temu janji, Sugarbook yang didakwa mempunyai lebih 200,000 ahlinya yang dikategorikan sebagai ‘sugar baby’ di Malaysia. Apa yang mengejutkan, kebanyakan mereka merupakan pelajar universiti dalam lingkungan usia 20-an dan Malaysia menjadi negara ketiga yang mempunyai jumlah sugar daddy terbanyak dalam aplikasi tersebut.
Persoalan terbesar adalah, kenapa segelintir gadis remaja pilih untuk menjadi ‘sugar baby’? Menerusi pendedahan seorang artis tempatan, faktor utama adalah kerana desakan hidup, diabaikan keluarga dan persaingan sesama rakan sebaya yang mengamalkan gaya hidup mewah. Itulah sebab mereka memilih untuk menggadaikan maruah menjadi ‘sugar baby’.

Bagaimanapun, artis yang juga merupakan penyanyi tersebut yang dikenali dengan nama Bunga Isme berkata, terdapat dalam kalangan rakannya melibatkan diri dalam kegiatan ‘sugar baby’ sejak di bangku sekolah menengah seawal usia 17 tahun kerana mahu keluar daripada kesempitan hidup.
“Dia pernah beritahu saya, sekali seluk atau pegang bahagian alat sulit, dia boleh dapat wang mudah bermula RM500. Bayangkan kalau dia buat perkara-perkara lain yang lebih berani,” kata penyanyi tersebut.

Menurutnya, salah seorang kawan sekolahnya pernah berkenalan dengan seorang sugar daddy ketika ingin menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), dan dijanjikan bermacam benda. Tapi apa yang rakannya lakukan itu adalah kerana kesempitan hidup nak bayar yuran persekolahan dan tuisyen. Tambah Bunga lagi, ibu kepada rakannya itu sebenarnya tahu aktiviti tidak bermaruah anaknya, tetapi pilih untuk berdiam diri.
“Saya sebagai seorang selebriti berpendapat, apa yang berlaku sekarang ibarat kanser yang kalau dibiarkan melarat, akan membinasakan masyarakat kita. Pihak berwajib harus cakna dengan apa yang berlaku. Ada sesuatu yang tidak kena dengan sistem dan masyarakat kita,” katanya.
Selain Bunga Isme, penyanyi muda Farisha Irish juga mendedahkan dia juga mengenali seorang rakan yang terjebak dengan aktiviti tak bermoral itu sewaktu bergelar pelajar universiti. Tidak menafikan dengan realiti hidup sekarang yang penuh dengan kesempitan, dia turut berpendapat faktor kesempitan hidup merupakan punca utama golongan ini memilih jalan pintas untuk hidup mewah.

“Sejujurnya perkara ini tidak sepatutnya dilakukan. Sebagai seorang pelajar yang menuntut ilmu, carilah cara lain yang lebih baik untuk menjana pendapatan,” ulas Farisha berhubung isu tersebut.
Bagaimanapun, tindakan terbaru telah diambil oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) dengan menyekat akses ke laman sesawang Sugarbook. Satu kenyataan yang dikeluarkan oleh SKMM pada laman berkenaan, ia disekat kerana didakwa melanggari peruntukan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
Baca juga artikel menarik lain:
“Enough Is Enough” – Teguran Pedas TMJ Isu Cium Mulut Budak, Polis Buru Pengasas Produk Kecantikan
Episod Akhir Takdir Yang Tertulis Buat Penonton Ternganga, Shahrulezad Hanya Mampu Ketawa
Sumber daripada: Kosmo