Jenayah berkenaan kanibalisme ini rasanya bukanlah satu jenayah yang asing lagi dalam dunia sekarang. Ia pernah dilakukan oleh penjenayah pada zaman dahulu, dan ia tetap ada dilakukan oleh penjenayah zaman sekarang. Salah satu kejadian kanibalisme yang pernah menggemparkan dunia berlaku sekitar tahun 1978 sehingga 1991 di Amerika Syarikat. Ia melibatkan seorang lelaki dikenali sebagai Jeffrey Dahmer yang membunuh, memakan dan meleraikan tubuh badan 17 orang lelaki sebelum ditangkap oleh pihak polis pada 22 Julai 1991.

Semasa di Milwaukee, Wisconsin, Amerika Syarikat, Jeffrey Dahmer berjaya ditahan selepas pihak polis terserempak dengan salah seorang mangsa, Tracy Edwards yang berkeliaran di atas jalan raya sambil tangannya digari, menyebabkan terbongkarnya kekejaman yang dilakukan oleh Jeffrey Dahmer selama bertahun-tahun di rumahnya.
Pada ketika itu, pihak polis yang ternampak Tracy Edwards dalam keadaan mencurigakan, menahannya dan mula menyoal siasat apa yang berlaku kepada Tracy Edwards sehingga digari, sebelum Tracy Edwards membawa pihak polis menuju ke rumah Jeffrey Dahmer untuk mendedahkan hal yang sebenar. Menurut cerita yang diterangkan oleh Tracy Edwards, dirinya menerima bayaran daripada Jeffrey Dahmer untuk bergambar secara bogel di rumah Jeffrey Dahmer. Tanpa disangka, Tracy Edwards digari secara mengejut sebelum Jeffrey Dahmer mula bertindak kasar dan mengancam untuk membunuhnya.
Semasa polis tiba di rumah Jeffrey Dahmer, mereka terus menyoal Jeffrey Dahmer yang berada di dalam rumah, sebelum ternampak sesuatu yang mengejutkan iaitu beberapa keping gambar polaroid yang menampakkan tubuh badan manusia yang sudah dileraikan. Hal itu menyebabkan Jeffrey Dahmer ditahan oleh pihak polis serta-merta.
Kemudian rumah Jeffrey Dahmer digeledah sepenuhnya sehingga pihak polis terjumpa lebih banyak gambar-gambar yang menyeramkan, beberapa kepala manusia yang disimpan dalam peti ais, tengkorak manusia yang diletakkan di atas komputer dan sebuah tong yang berisi bahan kimia untuk menghapuskan tubuh badan manusia. Tambahan lagi, terdapat juga beberapa bukti yang dijumpai menunjukkan Jeffrey Dahmer pernah makan mangsa yang dibunuhnya.
Bersama bukti kukuh yang dijumpai di rumahnya, Jeffrey Dahmer dengan rela hati menceritakan satu per satu kekejaman yang pernah dilakukannya semasa disoal siasat oleh pihak berkuasa selama 60 jam, melibatkan 17 orang lelaki yang menjadi mangsa bunuh kepada Jeffrey Dahmer sejak tahun 1978. Menurut Jeffrey Dahmer sendiri, kebanyakan mangsanya mati dalam keadaan tidak sedar apabila disuntik dengan asid di bahagian otak. Selain tu, Jeffrey Dahmer juga mengaku pernah melakukan hubungan seks dengan mayat yang telah dibunuh dan makan beberapa bahagian organ badan manusia antaranya jantung, hati dan peha. Pada 1 Mei 1992, Jeffrey Dahmer dijatuhkan hukuman penjara seumur hidup.
Semasa berada di dalam penjara, Jeffrey Dahmer hampir dikelar oleh banduan lain menggunakan bilah pencukur yang disorokkan dalam berus gigi. Tapi bernasib baik, Jeffrey Dahmer hanya mengalami kecederaan yang kurang serius.
Bagaimanapun, beberapa bulan kemudian, pada 28 November 1994, Jeffrey Dahmer dijumpai dalam keadaan tidak sedarkan diri dan berlumuran darah di dalam tandas gimnasium selepas dipukul oleh banduan lain menggunakan besi peralatan gimnasium. Kepala Jeffrey Dahmer juga dihentak ke dinding tandas beberapa kali. Jeffrey Dahmer yang cedera teruk akibat hentakan dan pukulan yang diterima di bahagian kepala, disahkan mati semasa dalam perjalanan ke hospital.
Baca juga artikel menarik lain:
Cho Doo-Soon – Penjenayah Pedofil Paling Kejam Bakal Dibebaskan Hujung Tahun Ini!
Edmund Kemper – Pembunuh Bersiri Yang Kisahnya Terlalu Kejam Untuk Diterima Akal!
Sumber daripada: Crime Museum