Saban hari wabak COVID-19 semakin melonjak naik dari semasa ke semasa dan tidak menunjukkan sebarang perubahan meskipun negara kini berada dalam Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0. Malah, lebih membimbangkan lagi apabila kes positif gejala ini hampir mencecah 7000 kes sehari. Sering kali kita mendengar luahan dan rintihan hati para frontliners yang semakin ‘penat’ mengendali mangsa-mangsa positif dengan menggunakan Peralatan Perlindungan Peribadi (PPE) yang berlapis-lapis.

Baru-baru ini, sebuah ciapan di Twitter menunjukkan segelintir warga Facebook yang seakan tidak mempunyai belas kasihan kepada frontliners dek kerana mereka ‘tersinggung’ mendengar keluhan hati fronliners yang meluahkan mereka kini sudah ‘penat’ dengan bilangan pesakit positif yang semakin mencanak naik. Lebih menyakitkan hati apabila seorang pengguna Facebook ini meninggalkan komen berbaur negatif yang seolah-olah tidak menghargai segala titik peluh dan jasa frontliners yang bertungkus-lumus menjaga pesakit COVID-19.
“Tak habis-habis drama penat. Kalau penat berhentilah kerja. Ramai lagi kat luar sana mengais tiap hari nak makan tak sempat tak fikir pasal penat pun” ujarnya di ruangan komen posting tersebut.
Menerjah di ruangan Twitter, kenyataan individu tersebut telah mengundang amarah netizen yang berang serta dikatakan si pelaku itu seakan memiliki mentaliti di tahap kelas ketiga. Kekecewaan netizen tidak terhenti di situ saja, mereka turut berkongsi segelintir warga Facebook yang seakan bersetuju dengan pendapat si pelaku. Aduhai, kenapa ya wujud orang sebegini yang seperti langsung tidak menghormati para frontliners penat bekerja siang malam tanpa henti?
Hal ini amat mengecewakan netizen lebih-lebih lagi apabila warga Facebook ‘tergamak’ memberi kenyatan tanpa memikirkan perasaan frontliners yang berusaha membantu mangsa-mangsa positif virus ini. Tahukah mereka negara kita pernah menang memerangi wabak ini di atas usaha frontliners yang tidak mengenal erti lelah, sanggup berkorban masa bersama keluarga demi menyelamatkan Malaysia?
Bagaimanapun, sebagai rakyat Malaysia yang berbilang kaum usahlah kita mengambil ringan dan memandang virus COVID-19 dengan sewenang-wenangnya. Sedarkah anda telah wujud pelbagai varian-varian wabak ini yang boleh dijangkiti tidak kira walau di mana anda berada. Kini sudah menjadi tanggungjawab orang ramai untuk saling berganding bahu bagi membanteras wabak ini. Tak cemburu ke melihat negara maju seperti New Zealand, Australia dan Brunei kini bebas menjalani kehidupan harian mereka tanpa perlu memakai pelitup muka dan berjaga-jaga dengan keadaan sekeliling?
Baca juga: “Orang Lain Berseronok Tapi Kami Cuti Dibekukan! Saya Dah Rindu Mak Ayah” – Frontliner
Penulis: Aqilah Paharuzi
Sumber: Twitter