Kool FM

“Hang Memang Hero Remaja!” – Kongsi Pengalaman Jadi Sukarelawan Frontliner, Keberanian Aniq Suhair Dipuji

Dengan kes jangkitan harian COVID-19 yang masih tinggi sekarang, tentu petugas barisan hadapan semakin keletihan mengurusakan pesakit-pesakit yang dimasukkan ke pusat kuarantin ataupun ke dalam wad. Tak dapat dibayangkan betapa tidak cukup rehat mereka demi membantu pesakit-pesakit sembuh daripada wabak membunuh ini. Bagaimanapun, sebenarnya orang awam juga boleh membantu mereka dengan menjadi sukarelawan petugas barisan hadapan.

Macam mana rasanya jadi petugas barisan hadapan secara sukarela? Pelakon muda, Aniq Suhair, 20 tahun, ada membuat perkongsian pengalamannya bergelar sukarelawan di Pusat Penilaian Covid-19 (CAC) di Stadium Titiwangsa, Kuala Lumpur pada hari sabtu (19 Jun 2021) lalu. Menurut Aniq, dia berasa teruja dan gembira kerana diterima menjadi sukarelawan, namun dalam masa sama tetap berasa gementar. 

Baca juga: “Selamanya Hero Noah” – Ucapan Selama Hari Bapa BCL Buat Arwah Ashraf Buat Netizen Turut Sebak

“Saya tidak sangka terpilih dan kemudian diminta untuk bertugas di zon merah CAC di Stadium Titiwangsa, Kuala Lumpur,” katanya menerusi perkongsian yang dimuat naik dalam Instagram.

Menurut Aniq, dia yang cuba untuk memanfaatkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) kali ini secara kebetulan dapat diterima masuk sebagai sukarelawan petugas barisan hadapan. Kata Aniq lagi, ketika bertugas, dia turut berpeluang menyarung sut pelindungan keselamatan (PPE) dan berasa sangat gementar.

Walaupun menurut Aniq kesemua pesakit yang dilihatnya berada dalam keadaan baik, namun dia tetap berasa sebak melihat anak kecil serta warga emas turut diletakkan di CAC tersebut. Apa yang Aniq mampu lakukan adalah dengan memberi kata semangat dan menceriakan mereka semasa mengambil Vital Sign & SP02

Dalam perkongsian itu, Aniq turut menitipkan kata-kata pesanan buat semua untuk sama-sama meringankan beban petugas barisan hadapan dengan terus kekal berada di rumah. Kata Aniq, dengan jumlah kes yang masih tinggi, para petugas barisan hadapan juga turut terkesan dari segi mental dan fizikal. Namun, mereka tiada pilihan selain perlu terus bertugas.

Sementara itu, rata-rata wargamaya di ruangan komen memberikan pujian buat Aniq kerana berani menjadi sebahagian sukarelawan petugas barisan hadapan. Semoga lebih ramai lagi yang tampil sumbangkan tenaga dan membantu petugas barisan hadapan yang lain. 

Baca juga: “Ambil Nyawa Itu Kerja Tuhan” – Kata Semangat Untuk Teruskan Hidup Dari Fimie Don Buat Netizen Rasa Sebak

Exit mobile version