Rasanya ramai yang dah tengok filem ‘The Conjuring’ di mana ia mengisahkan tentang sebuah keluarga yang dipercayai mendiami rumah yang dihantui. Filem ini dikatakan memang berdasarkan dari kejadian sebenar yang pernah berlaku ke atas keluarga Perron, tapi apa yang dipaparkan dalam filem tersebut mungkin bukanlah apa yang benar-benar berlaku. Memang diakui filem ‘The Conjuring’ benar-benar menyeramkan, tapi ada beberapa fakta yang tidak diceritakan. Mungkin lepas baca artikel ni anda akan cakap filem The Conjuring tu hanya sekadar filem, dan apa yang sebenar-benarnya berlaku kepada keluarga Perron lebih menyeramkan!

Semua Bermula Dengan Sebuah Nasihat
Benda ni dengar macam lebih kurang pesan orang tua-tua dalam masyarakat Melayu lah. Ada pantang larangnya bila masuk ke rumah lama. Dikatakan benda paling misteri sejurus sahaja keluarga Perrons berpindah ke dalam rumah tersebut bukanlah berkaitan dengan hantu, tetapi dengan satu nasihat yang diberikan kepada mereka. Nasihat tersebut adalah “demi keselamatan keluarga kamu, biarkan lampu terbuka di waktu malam!”. Kemudian, tak berapa lama selepas mereka menerima nasihat misteri tersebut, keluarga Perrons diganggu makhluk ghaib buat kali pertama. Dalam filem memang tak adalah jiran tiba-tiba datang bagi nasihat ni.

Dikatakan gangguan pertama terhadap mereka adalah tidak merbahaya seperti barang-barang beralih ke tempat lain dengan sendirinya.
Hantu ‘Baik’ tidurkan Anak-Anak Dan Cium Dahi Mereka!
Selepas berlaku kejadian aneh itu, keluarga Perron terus sedar yang mereka sedang tinggal di dalam rumah yang berhantu. Tapi mereka percaya yang hantu-hantu di dalam rumah tu semuanya baik-baik dan tidak membawa keburukan kepada mereka. Lebih kurang macam duduk dengan housemate lah. Lima adik-beradik keluarga Perron itu turut mengakui bahawa hantu di rumah mereka seperti penjaga di waktu malam. Mereka percaya yang hantu itu menidurkan mereka dan mencium dahi mereka sebelum tidur. Baik betul hantu ni. Cynthia dan Andrea Perron masih ingat lagi bagaimana hantu itu tersenyum semasa menidurkan mereka. Ketika itu, mereka menyangka itu adalah ibu mereka yang datang menidurkan mereka. Rupanya tu adalah hantu!
Baca juga: Kisah Penuh Cemas Al-Maunah Mengganas Dan Tumpas Di Bukit Jenalik
Hantu Yang Membawa Ugutan Mati
Hantu yang awal-awal disangkakan baik, kini dah bertukar menjadi ganas. Carolyn Perron (si ibu) merupakan orang yang paling terkesan dengan episod gangguan makhluk halus di rumah tersebut. Yang ni samalah apa yang dipaparkan dalam filem. Cuma menurut Carolyn, dia tahu ada sesuatu yang tak kena selepas seorang wanita berpakaian kelabu muncul di sebelah katilnya dan menjerit “Keluar. Keluar. Aku akan halau kau keluar dengan kematian.” Wanita berpakaian kelabu itu mungkin adalah Bathsheba Thayer, iaitu seorang wanita dipercayai sebagai ahli sihir yang dah mati dan menghantui rumah mereka.

Menurut Andrea Perron (anak paling sulung), dia merasakan bahawa hantu tersebut berasa terancam dengan ibunya kerana dia menganggap hanya satu ibu sahaja yang patut ada dalam sebuah rumah.
Keluarga Perron Tidak Hubungi Warrens, Tetapi Sebaliknya…
Dalam filem memaparkan Carolyn Perron sendiri yang pergi mencari Warrens. Tetapi sebenarnya Warrens yang menghubungi keluarga Perron sendiri selepas salah satu saudara Perron berjumpa dengan Warrens. Menurut Carolyn, saudaranya yang pergi mendengar syarahan Warrens dan meminta mereka untuk membantu keluarga Perron.

Ed Dan Lorraine Warrens Tidak Pulihkan Keadaan
Kalau dalam filem, di penghujung cerita kita akan nampak yang pasangan Warrens ni berjaya memulihkan masalah hantu yang dialami keluarga Perron. Menurut Perrons, Warrens melakukan upacara pembersihan di rumah mereka dan melakukan upacara menghubungi hantu yang dipercayai telah masuk ke dalam badan Carolyn. Semua ini dilakukan di ruang bawah tanah rumah tersebut, sama seperti yang ditunjukkan dalam filem. Tapi semasa kejadian sebenar, keadaan bertambah teruk.

Ed dan Lorraine Warrens sering melawat keluarga Perron selepas itu, tapi mereka sebenarnya tidak mampu untuk memulihkan masalah ‘hantu’ di rumah itu. Lorraine juga mengatakan apa yang berlaku semasa dia cuba menghubungi hantu yang merasuki Carolyn cukup mengganggu kehidupannya. Lorraine tidak pernah menceritakan secara terperinci kepada umum tentang apa sebenarnya yang berlaku semasa dia cuba untuk bercakap dengan hantu tersebut. Tetapi menurut Andrea, dia tidak mungkin mampu melihat ibunya dengan pandangan yang sama selepas apa yang berlaku di ruang bawah tanah itu.
Sumpahan Bathsheba Terus Menghantui Keluarga Perron
Menurut keluarga Perron, mereka masih dihantui oleh Bathsheba Thayer. Semasa pengambaran filem ‘The Conjuring,’ keluarga Perron dijemput ke set pengambaran untuk melihat sendiri proses pengambaran kisah keluarga mereka. Tapi akhirnya mereka memutuskan untuk tidak pergi selepas Carolyn tiba-tiba rasa tak sedap hati. Carolyn risau tentang kejadian silam yang mungkin akan diceritakan semula olehnya. Selain itu, Andrea Perron turut mengatakan terdapat angin yang kuat datang kepada mereka semasa sesi temubual dijalankan. Angin tersebut turut menjatuhkan kamera, lampu dan apa sahaja yang ada di situ. Inilah yang mereka percaya sebagai ‘ sumpahan Bathsheba.’ Mereka percaya yang Bathsheba tidak mahu dirinya didedahkan.
Tapi Bathsheba Bukanlah Seorang…
Rasanya memang semua orang percaya yang Bathsheba Thayer tu merupakan seorang ahli sihir yang mengorbankan anaknya kepada iblis sebelum menggantung dirinya di pokok hadapan rumah. Tapi sebenarnya itu hanya cerita rekaan untuk mensensasikan filem ‘The Conjuring’ sahaja.

Rupanya Bathsheba merupakan seorang wanita biasa yang sudah berkahwin dan mempunyai empat orang anak. Tiga anaknya dikatakan mati semasa kecil. Pada tahun 1885, Bathsheba mati selepas diserang Angin Ahmar dan dikebumikan di sebelah suami dan anak-anaknya yang telah mati.
Baca juga: Kisah Seram Disebalik Lagu ‘Menanti Kekasih’ Yang Dikatakan Berhantu!
Sumber daripada: Ranker