Umum mengetahui Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 dalam negara kita terbahagi kepada 4 fasa dan setiap fasa ini mempunyai syaratnya yang tersendiri untuk berubah ke satu fasa yang lain. Fasa 1 tidak akan berganjak ke Fasa 2 seandainya kes positif pandemik COVID-19 kurang daripada 4000 kes harian. Terbaru, Perdana Menteri Malaysia, Tan Sri Muhyiddin Yassin telah mengumumkan moratorium selama 6 bulan melalui Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (PEMULIH) kepada seluruh rakyat Malaysia ekoran PKP yang masih berlangsung demi kesejahteraan negara.
Baru-baru ini, ‘Kempen Bendera Putih’ tular di media sosial sebagai salah satu langkah untuk membantu rakyat Malaysia yang amat memerlukan bantuan. Konsep bendera putih ini dikatakan adalah sebuah solidariti rakyat terutamanya kepada mereka yang dalam kesusahan dan kurang berkemampuan untuk meneruskan kehidupan seharian. Difahamkan, mereka hanya perlu mengibarkan atau meletakkan bendera putih ini di perkarangan rumah sebagai satu simbol yang menunjukkan mereka perlu bantuan.
Ada orang bagi cadangan untuk isi rumah yang dah putus bekalan makanan kibarkan bendera putih depan rumah.
Ada yang dah buat dan ramai yang bagi bantuan makanan, digalakkan sumbangan berbentuk makanan dan keperluan.
Idea yang baik untuk jiran sekeliling aware keadaan jiran. pic.twitter.com/yKwvFVitoK
— Kiff (@iffgone) June 28, 2021
Tinjauan di ruangan media sosial mendapati ramai dalam kalangan rakyat Malaysia yang menyokong penuh dan menyambut baik Kempen Bendera Putih sini sehingga tanda pagar #RakyatJagaRakyat trending di Twitter. Bukan itu sahaja, segelintir selebriti tanah air juga ada yang berkongsikan mengenai Kempen Bendera Putih ini seperti Datuk Aznil Haji Nawawi dan Heliza Helmi.
Sesungguhnya, sikap perpaduan dan semangat juang yang ditunjukkan dalam kalangan rakyat Malaysia ini sebenarnya amat menyentuh hati orang ramai. Dalam keadaan pandemik COVID-19 yang tidak menunjukkan pengurangan ini, saban hari kita banyak mendengar kisah mengenai segelintir individu yang bertindak untuk membunuh diri dek kerana terlalu tertekan. Kempen Bendera Putih ini juga dikatakan salah satu inisiatif rakyat untuk membantu mereka yang dalam tertekan.
Syabas dan tahniah rakyat Malaysia atas sikap toleransi dan bersatu padu yang tinggi di antara kita. Semoga bantuan yang diumumkan pihak kerajaan dan semangat yang setimpal ini akan membuat mereka yang terkesan untuk tidak memilih jalan yang tidak diingini. Sama-sama kita berganding bahu bagi membanters wabak pandemik ini. Jangan lupa daftarkan diri anda sebagai penerima vaksin COVID-19 ya..
Baca juga: Terkesan Orang Ramai Menghentam Ibu Bapa Anak OKU, Fynn Jamal Luah Isi Hati
Penulis: Aqilah Paharuzi
Sumber: Twitter, Instagram Heliza Helmi
