Tahukah anda wujud tempat yang dinamakan sebagai “Body Farm” atau ladang mayat? Tempat ini merupakan tempat kajian sains macam mana tubuh manusia mereput. Ini adalah tempat untuk ahli forensik polis membuat kajian. Oleh kerana itulah, polis boleh menganggarkan berapa hari seseorang itu mati disebabkan kajian dari ‘body farm‘ ni.
Sebelum tahun 70-an, kajian banyak dilakukan menggunakan haiwan seperti khinzir tetapi kemudian ianya berubah apabila seorang doktor yang bernama Dr William Bass membuat ladang manusia reput ini pada tahun 1972 di Universiti Tennessee, Amerika.
Baca juga: Ini Adalah Sebab Mengapa Orang Suka Menonton Filem Seram Dan Thriller
Dia mendapat idea untuk membina ladang ini disebabkan dia mendapat satu tugasan untuk mengenalpasti mayat ketika perang saudara.
Ketika melakukan tugasan itu, dia ada melihat satu kubur milik seorang panglima tentera terusik. Apabila dia lihat mayat di dalam kubur tersebut, kelihatannya seperti jasad itu masih baru meninggal. Maka dia berfikir, mayat itu bukan mayat panglima tentera tetapi milik orang lain yang dibunuh ditempat lain dan diletakkan di dalam kubur lama itu.
Namun, sebenarnya dia tersilap. Mayat itu nampak seperti baru kerana keranda yang dipakai itu kedap udara. Oleh kerana itulah, keadaan mayat masih elok. Daripada kesilapannya itulah yang membuat dia terfikir untuk membuat satu kajian lanjut tentang bagaimana manusia mati dan mereput. Ilmu proses pereputan manusia akan membantu pasukan forensik dalam mengenalpasti waktu kematian seseorang.
Kebanyakkan mayat yang diletakkan di ‘body farm‘ ini adalah mayat orang yang mendermakan badan untuk sains atau orang yang tiada waris untuk dituntut. Ladang ini ada lebih kurang 1700 mayat untuk dikaji dan dikatakan 4000 lagi menanti. Percaya atau tidak sudah ada mereka yang sudi dan beratur untuk menyerahkan sendiri badan mereka untuk dibuat kajian lanjut.
Bagaimanakah cara mereka mengkaji proses pereputan ini? Manusia ditemui mati dalam beberapa cara. Mengikut kes-kes bunuh yang selalunya diselesaikan oleh polis, mayat kebanyakkannya dijumpai di dalam air, semak-samun, tempat terbuka atau tertutup. Oleh itu, di ‘body farm’ mayat yang ada dibiarkan dalam beberapa cara iaitu dibiarkan di dalam air, dalam semak dan juga di dalam sangkar. Hal ini adalah untuk mengetahui perbezaan proses pereputan mayat.


Disebabkan ahli forensik perlu ilmu yang lebih mendalam tentang badan manusia yang dibunuh dengan kejam, mereka juga perlu melakukan eksperimen yang sama terhadap mayat tersebut. Antaranya dengan memasukkan mayat ke dalam plastik, menyita mayat dengan konkrit, menyimpannya di dalam treler dan membiarkan mayat bergelimpangan di tempat terbuka. Ada juga yang dibiarkan untuk dimakan haiwan liar.
Agak-agak kalau anda pergi ke ‘body farm‘ ini akan masuk dalam mimpi ngeri tak? Bukan sahaja tempat ini dipenuhi dengan mayat, baunya juga teramatlah busuk. Ahli-ahli forensik yang melakukan kajian di sana terpaksa menahan bau busuk itu sehingga mereka lali dengan bau mayat. Menyeramkan!
Baca juga: Kejadian Sebenar “The Conjuring” – Yang Tidak Difilemkan Ini Dikatakan Lebih Menyeramkan!
Sumber: John Mohamed , OK Whatever