Dapatkan Audio+
Imbas untuk muat turun aplikasi

Hiburan

Lagu Aina Abdul Dekat Dengan Jiwa, Netizen Kongsi ‘Semalam’ Mengisahkan Hidup Mereka Juga

today16 March 2021

Background

Anugerah Juara Lagu (AJL) Ke-35 sudah pun melabuhkan tirai malam kelmarin, dan semalam masih hangat lagi wargamaya berbicara tentang kehebatan lagu-lagu yang dipertandingkan dan menang. Sesuai dengan tema dan keindahan komposisi lagu serta lirik, lagu Gila diangkat menjadi juara AJL35. Bagaimanapun, lagu Aina Abdul yang memenangi tempat kedua juga tidak kurang hebatnya sehingga dikatakan dekat dengan jiwa wanita-wanita di luar sana. 

Ada apa dalam lagu ‘Semalam’ yang diciptakan sepenuhnya oleh Aina Abdul ini? Menurut Aina, lagu tersebut mengisahkan tentang wanita yang dipukul pasangannya dan ditinggalkan saat sedang hamil. 

“Isu yang saya ketengahkan adalah berkaitan dengan penderaan emosi dan fizikal dalam rumah tangga,” katanya menerusi petikan akhbar Harian Metro.

Aina juga turut menyatakan bahawa 50 peratus kisah dalam lagu Semalam menceritakan tentang pengalaman dirinya sendiri, cuma tidaklah sampai ada pengalaman mengandung atau apa. Katanya, dia pernah berada dalam satu hubungan cinta yang penuh ‘toksik’. 

Dalam pada itu, wargamaya turut berkongsi lagu Semalam yang mengisahkan tentang hidup mereka juga. Ada yang bercerita tentang bagaimana suaminya berubah menjadi seorang kaki judi, penagih, kaki pukul dan akhirnya kaki perempuan. Dalam perkongsian tersebut turut menceritakan bagaimana si suami memukul isteri sendiri yang sedang sarat mengandung. 

 

“Assalamualaikum Aina. Lagu ini benar-benar menceritakan kisah hidup saya. Didera suami sendiri, berkali-kali didera masih tidak mampu untuk tinggalkan dia,” luah seorang wargamaya.

Itulah kehebatan yang ada pada lagu Semalam yang mengangkat isu mengenai penderaan emosi dan fizikal dalam sesebuah hubungan percintaan sehingga ia turut dirasai oleh pendengar. Semoga mereka yang mengharungi liku-liku kehidupan seperti lagu Semalam, terus kuat dan tabah.

 

 

Baca juga artikel menarik lain:

Aina Abdul Dedah Makna Sebenar Di Sebalik Busana Yang Dikenakannya Semasa Persembahan AJL 35

“Tinggal Baby Sendirian Di Ruang Tamu” – Pembantu Rumah Larikan Diri, Emma Maembong Beri Pesanan

Written by: Hamka Rosli


Previous post