Menjadi seorang pemuzik bukanlah mudah. Pelbagai cabaran dilalui demi menghiburkan orang ramai dan juga mencari rezeki. Sebagai orang yang berkecimpung dalam industri muzik, walaupun kita sudah berikan yang terbaik dalam berkarya, namun tidak semua boleh menerima hasil karya kita. Masih tetap ada yang tidak berpuas hati dengan karya-karya yang dicipta sehingga sanggup memberi kecaman.
Mungkin itulah apa yang dilalui oleh penyanyi dan juga komposer yang dikenali menerusi kumpulan rock Khalifah, iaitu Harry Khalifah. Menerusi perkongsian di Instagram miliknya, Harry atau nama sebenarnya Ahmad Sairi Haslan Mohd Redzwan, menyatakan perasaan sedihnya apabila dikatakan sebagai punca industri muzik Malaysia tidak maju. Agak berat tuduhan itu, namun Harry dilihat tidak melenting sebaliknya hanya meluahkan rasa hatinya.
“Salah ke saya berkarya untuk menghiburkan orang? Saya tak pernah rasa diri ini besar dalam industri muzik tanah air, saya cuma orang kampung yang mental dalam kerja menghiburkan orang,” kata Harry dalam meluahkan perasaannya mengenai kenyataan yang pedas itu.
Tangkap layar yang dikongsikan Harry itu turut mendapat pelbagai maklum balas dari para pengikutnya di Instagram. Ramai yang terus memberikan kata-kata semangat buat Harry dan memintanya untuk terus berkarya. Lebih seribu komen yang diterima oleh Harry di Instagramnya mengenai isu tersebut. Kata mereka lagi, tidak usah pedulikan dengan mereka yang hanya tahu berniat dengki.

Dalam pada itu, Harry turut menyatakan dia hanya mencari rezeki untuk keluarganya. Tidak dinafikan perbezaan citarasa muzik itu ada dalam kalangan masyarakat, namun bak kata Harry ‘muzik itu luas’. Semoga Harry Khalifah yang juga pernah menganggotai kumpulan Jinbara dari tahun 2000 hingga 2005, terus berkarya bagi memeriahkan lagi industri muzik tanah air.
Baca juga: “Hentikan Perangai Gatal Pada Budak Kecil” – Netizen Tegur Ramai Cuba ‘Mengorat’ Anak Ustaz Ebit Lew
Sumber daripada: Instagram