Kemunculan wabak pandemik COVID-19 telah mengubah 360 darjah corak kehidupan masyarakat kita. Bukan itu sahaja, banyak sektor yang terkesan dengan penularan pandemik ini yang semakin hari seolah-olah tidak menunjukkan pengurangan. Sektor pendidikan adalah antara yang terjejas berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang tidak membenarkan sesi pembelajaran secara bersemuka demi melindungi kesejahteraan para pelajar.
Sepanjang PKP dijalankan, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) telah memperkenalkan suatu program yang dikenali sebagai Pembelajaran dan Pengajaran di Rumah (PdPR) iaitu kaedah pendidikan yang berlangsung secara dalam talian dan luar talian. Kaedah ini memerlukan semua guru dan para pelajar untuk menggunakan peranti seperti komputer riba, tablet atau telefon pintar yang mempunyai capaian internet.
Baca juga: “Beauty, Brain And Attitude..” – Tahu Hargai Guru, Wargamaya Puji Gadis Ini Memang Layak Dapat 9A
Baru-baru ini, tular sebuah video yang menunjukkan pengorbanan seorang guru yang tidak ternilai apabila beliau sanggup menggunakan lantai (mozek) di rumahnya sebagai platform untuk mengajar anak-anak muridnya. Guru yang dikenali sebagai Cikgu Abidin itu merupakan pengajar yang bertauliah untuk matapelajaran Ekonomi Tingkatan 6 di Sekolah Menengah yang terletak di Sandakan. Menurut anaknya, Aina Abidin, ayahnya hanya menggunakan peranti telefon bimbit miliknya sepanjang PdPR berlangsung dengan memuat naik bahan-bahan pembelajaran di aplikasi Telegram.
@ainaabdn7struggle untuk student supaya lebih memahami. goodluck all students. #xybca #fyp♬ Beggin’ – Måneskin
Tambah anaknya, Cikgu Abidin tidak mahu menggunakan papan putih dek kerana beliau berasa lebih selesa menggunakan kaedah tersebut. Menurutnya, cara sedemikian lebih memudahkan proses pembelajaran agar anak muridnya mendapat penerangan yang tidak mengelirukan mengenai sesuatu perkara yang mereka tidak fahami. Sungguh hebat dan besar pengorbanan Cikgu Abidin ini, beliau hanya mementingkan kejayaan anak muridnya.
“Cara pengiraan untuk matapelaran Ekonomi agak panjang jadi tujuan ayah saya menggunakan mozek hanya untuk memudahkan pelajarnya agar mereka lebih faham dan nampak dengan jelas jalan pengiraan serta menunjukkan keluk graf tersebut” ujar anaknya.


Menerjah di ruangan komen video TikTok tersebut, rata-rata daripada warganet teruja dan memuji usaha Cikgu Abidin yang wajar dicontohi oleh guru-guru muda pada masa kini. Ada juga dalam kalangan mereka yang menginginkan seorang guru seperti Cikgu Abidin yang seakan tidak putus semangat untuk memberi tunjuk ajar kepada anak muridnya. Ramai juga di antara mereka yang terharu melihat kesungguhuan serta menghormati usaha murni Cikgu Abidin yang tidak terbalas ini.

Bagaimanapun, setiap insan yang digelar guru ini mempunyai kaedah pembelajaran yang tersendiri untuk memberi tunjuk ajar kepada anak murid mereka. Oleh itu, sebagai seorang pelajar diingatkan untuk menghargai masa, usaha, pengorbanan dan ilmu yang telah dicurahkan kepada kita semenjak berada di bangku sekolah lagi. Tanpa didikan mereka, kita semua tidak akan memperolehi keputusan yang cemerlang dan berjaya menjadi manusia yang berguna di dunia.
Baca juga: Terbukti COVID-19 Bukan Penghalang, Keputusan SPM 2020 Cipta Sejarah!
Penulis: Aqilah Paharuzi