Penjara Pudu kini hanya tinggal kenangan apabila ia dirobohkan pada tahun 2012 untuk memberi laluan kepada projek-projek pembangunan di kawasan berkenaan. Namun, ia sebenarnya sebuah bangunan yang penuh dengan sejarah, dan salah satu sejarah yang pernah berlaku di situ adalah peristiwa rusuhan pada tahun 1986.

Rusuhan Penjara Pudu atau dirujuk oleh media tempatan sebagai ‘Krisis Tebusan Penjara Pudu’ bermula pada 17 Oktober 1986. Peristiwa ini dilaporkan berlangsung selama enam hari di mana ia berakhir tanpa pertumpahan darah. Jadi bagaimanakah rusuhan di penjara pudu ini boleh berlaku?
Seorang Doktor Dijadikan Tebusan
Menurut laporan, kejadian tersebut berlaku pada waktu pagi, 17 Oktober 1986, di mana ketika itu seorang Doktor bernama Radzi Jaafar bersama dua orang pegawai perubatan sedang melakukan pemeriksaan kesihatan rutin di klinik penjara itu. Secara tiba-tiba, mereka diserang oleh enam orang banduan dan dijadikan tebusan. Serbuan itu diketuai oleh Jimmy Chua, seorang penjenayah yang agak menggerunkan ketika itu, dan turut disertai oleh Ng Lai Huat, Sin Ah Lau, Lam Hock Sung, Yap Chee Keong dan Phang Boon Ho yang mana kesemuanya ditahan reman kerana melanggar Akta Senjata Api.
Jimmy Chua, atau nama sebenarnya Chua Chap Seng, merupakan warga Singapura yang ditempatkan di Penjara Pudu selepas menembak mati seorang anggota polis iaitu Konstabel Mohd Yassin Bin Ismail pada 8 Februari 1984. Sebelum itu, dia juga terlibat dalam beberapa aktiviti jenayah yang lain, termasuk memiliki senjata api dan bertindak sebagai ketua kongsi gelap. Jadi boleh bayangkan betapa bahayanya apabila jimmy Chua mengetuai kumpulan itu.
Mereka dikatakan menggunakan tumit kasut yang runcing sebagai senjata serta alat-alat lain yang sudah diubah suai. Selepas berjaya membuat serangan hendap, mereka meminta bekalan elektrik di klinik penjara dipotong. Mereka kemudiannya mengarahkan pembantu perubatan Penjara Pudu, beberapa tahanan lain di bilik tersebut serta warder yang ada di situ meninggalkan klinik tersebut. Warder yang terakhir meninggalkan klinik itu dikatakan telah mengunci pintu bagi mengelakkan enam penjenayah itu melarikan diri.
Lakukan Serangan Untuk Tuntut Hukuman Dikurangkan
Tidak lama selepas itu, keenam-enam penjenayah ini dikepung. Chua bagaimanapun menuntut untuk bercakap dengan Superintendan Wan Zakaria dari Jabatan Penjara. Mereka membuat tuntutan untuk tuduhan terhadap mereka dikurangkan. Selain itu, mereka juga mahu bercakap dengan pihak atasan. Maka jelas pada ketika itu kekecohan yang dilakukan adalah untuk meminta hukuman terhadapnya dikurangkan disebabkan dia sedar tindakan dia membunuh seorang anggota polis akan membuatkan dia dijatuhkan hukuman mati.
Selepas satu jam kejadian berlaku, sepasukan polis mula tiba di lokasi. Antara yang pertama memasuki penjara itu sebagai tindak balas ialah Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Osman Awal, dan Ketua Polis Daerah Campbell, Superintendan Hassan Khalid.
Dalam pada itu, Chua berulang kali menuntut pihak berkuasa penjara agar melepaskan dia dan kawan-kawannya. Sebagai balasan, dia menjanjikan akan membebaskan tebusan. Selain itu Chua juga menuntut sebuah kenderaan dan wang tunai. Jika permintaannya tidak tertunai, Chua mengancam untuk membunuh tebusan yang ada. Walaupun pihak polis memberikan makanan kepada mereka sepanjang tempoh ‘krisis’ tersebut, mereka tidak memakannya dan hanya memakan biskut dan buah-buahan yang sedia ada dalam klinik itu. Tuntutan kumpulan ini jelas, namun ianya terpaksa ditolak oleh Dato’ Mohd Zaman Khan, Pengarah Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam.
Beberapa hari pun berlalu, orang ramai mula sedar ada sesuatu yang tidak kena berlaku di Penjara Pudu ekoran melihat ramai anggota polis yang berada di situ. Diceritakan juga, tiada seorang pun anggota polis yang terlibat pulang ke rumah untuk mandi dan makan. Kesemuanya berada di kantin penjara dalam tempoh enam hari itu.
Rusuhan Berakhir Dengan Aman
Pada hari keenam, sepasukan anggota Unit Tindakan Khas (UTK) diarahkan untuk melakukan satu perancangan rapi bagi menamatkan krisis ini. Mereka juga diarahkan untuk guna cara yang paling selamat dengan tidak menggunakan sebarang senjata api agar tidak berlaku pertumpahan darah. Hanya cota dan rotan mengiringi mereka sepanjang misi. Diketuai oleh ACP A. Navaratnam, seramai 12 anggota berjaya menyelinap masuk ke klinik tersebut tanpa disedari Chua dan rakan-rakannya.
Selain kepakaran dan kekuatan anggota UTK, salah seorang banduan dalam penjara tersebut turut membantu operasi berkenaan. Banduan yang tidak dikenal pasti itu telah membuat panggilan telefon kepada polis untuk memaklumkan bahawa Chua dan rakan-rakan sedang nyenyak tidur. Selain itu, banduan tersebut turut membantu membuka pintu pagar dawai di sebalik klinik bagi membolehkan pegawai polis menyerbu masuk tanpa disedari kumpulan penjenayah itu.
Ketika serbuan bermula, Chua dan Lai Huat dilihat sedang lena tidur manakala penjenayah lain sibuk berbual. Pasukan komando kemudian menjerit ke arah mereka dan mereka cuba untuk melawan, tetapi tidak berjaya kerana terkejut serta berada dalam keadaan lemah. Akhirnya, krisis tebusan di penjara itu berakhir tanpa pertumpahan darah dengan tindakan pantas dan berani anggota UTK.
Kesudahannya, Chua dan rakan-rakan dibicarakan di Mahkamah Tinggi atas tuduhan melakukan penculikan di Penjara Pudu. Mereka didakwa dan didapati bersalah di bawah Seksyen 3 (1) Akta Culik 1961 yang membawa hukuman maksimum mati jika sabit kesalahan. Mereka dihukum gantung pada 10 Oktober 1989.
Baca juga artikel menarik lain:
Edmund Kemper – Pembunuh Bersiri Yang Kisahnya Terlalu Kejam Untuk Diterima Akal!