Tugas menjaga dan mendidik anak lebih sinonim dengan wanita namun, ini tidak bermakna lelaki tidak boleh menggalas tanggungjawab tersebut. Anugerah “Bapa Terbaik” diciptakan sebagai tanda penghargaan buat para bapa yang memenuhi kriteria-kriteria tertentu. Di dunia haiwan pula, haiwan jantan dikenali dengan sifatnya yang ganas. Malah, ada beberapa jenis haiwan jantan yang sanggup makan anak mereka sendiri sehingga haiwan betina terpaksa mengawal dengan ketat telur dan bayi mereka. Namun, tidak semuanya begitu, ada haiwan jantan yang sifat semula jadinya memang penyayang dan mereka menjaga anak mereka bagai menatang minyak yang penuh. Ini adalah 5 jenis haiwan yang layak diberi gelaran “Bapa Terbaik”.
1. Penguin Adalah Bapa Yang Penyabar

Penguin jantan dan betina adalah antara pasangan haiwan yang paling setia. Mereka juga mempunyai peranan tersendiri yang berbeza dengan hidupan lain. Selepas pasangan penguin “berkahwin” dan penguin betina berjaya bertelur, tugas mengeram dan menjaga bayi akan diserahkan kepada penguin jantan. Penguin jantan akan mengeram telur dan melindunginya dengan nyawa mereka. Mereka menyembunyikan telur tersebut di bawah lapisan perut meraka selama kira-kira 2 bulan atau lebih sementara penguin betina menjelajah mencari dan mengumpul bekalan makanan. Selama 2 bulan ini, penguin jantan tidak makan dan tidur demi memastikan anaknya selamat. Mereka tidak dapat kemana-mana kerana suhu di kawasan tempat tinggal mereka terlalu sejuk dan jika telur ditinggalkan tanpa haba ia akan beku. Oleh kerana mereka tidak makan, penguin jantan menggunakan lemak di dalam badan mereka sebagai sumber energi. Begitu sayangnya bapa penguin kepada anaknya sehingga sanggup tak makan!
Baca juga: “Tak Pilih Kasih, Tak Kira Manusia atau Haiwan..” – Ebit Lew Derma Makanan Ke Zoo Negara Sempena PKP
2. Bapa Kuda Laut Bunting Dan Melahirkan Anak
Kuda laut adalah antara haiwan unik di mana bapa yang melahirkan anak dan bukannya ibu. Kuda laut betina hanya meletakkan telur di dalam kantung perut kuda laut jantan dan proses selanjutnya diamanahkan buat sang bapa. Proses persenyawaan akan berlaku di dalam kantung kuda laut jantan selama 45 hari maka selama lebih daripada 2 bulan jugalah kuda jantan “bunting”. Dengar macam kelakar kan, jika ianya berlaku dalam dunia manusia pastinya melihat lelaki mengandung adalah sesuatu yang pelik dan di luar fitrah kejadian. Tetapi inilah ini keunikan penciptaan kuda laut. Selepas telur disenyawakan, kuda jantan perlu melalui proses kontraksi yang menyakitkan sebelum melahirkan anaknya yang berjumlah kira-kira 100 sehingga 1000 ekor. Kuda laut jantan sememangnya adalah seekor bapa yang tabah.
3. Burung Rhea Jantan “Playboy” Tetapi Ia Adalah Bapa Yang Bertanggungjawab
Burung rhea adalah antara species burung terbesar di dunia dan ia sering kali disalah anggap sebagai burung unta. Namun, burung rhea dan burung unta adalah 2 species burung yang berbeza, nampak sama tetapi tidak serupa. Burung rhea jantan terkenal dengan perangai “playboy”. Mungkin ia adalah salah satu fitrah habitat mereka di mana burung rhea jantan akan membentuk sebuah keluarga besar dengan mengahwini 6 atau 7 burung rhea betina. Selepas burung rhea betina bertelur, si bapa akan mengeram telur-telur tersebut. Dikatakan, burung rhea jantan mampu mengeram hampir 50 biji telur sekaligus. Telur-telur tersebut dijangka menetas kira-kira 45 hari. Selepas mereka menetas dan akhirnya dapat melihat dunia, bapa burung rhea tidak meninggalkan anak-anaknya begitu sahaja. Dia tetap terus menjaga dan mendidik anaknya sehingga 2 tahun. Ternyata burung rhea adalah bapa yang sangat bertanggungjawab dalam menjaga keturunannya.
4. Gorila Adalah Ayah Yang “Playful”
Jika kita pandang dari rupa paras gorila, ia nampak garang dan sangat menakutkan. Ia juga disenaraikan antara haiwan di rimba yang ganas. Namun, gorila mempunyai “soft spot” buat keluarga terutama anak-anaknya. Siapa sangka bapa gorila yang gagah perkasa suka bermain dengan anak-anak sambil “bergelak ketawa”? Personaliti ini membuatkan anak gorila sangat memandang tinggi kepada bapa mereka dan hubungan mereka juga rapat. Anak gorila menjadikan bapa mereka sebagai “role model” dalam kehidupan mereka, banyak yang mereka pelajari hanya dengan melihat tingkah laku bapa gorila.
5. Rubah Merah Adalah Ketua Keluarga Terbaik
Rubah Merah adalah spesis serigala dan spesis ini mengamalkan monogami iaitu hanya berkahwin dengan satu pasangan seumur hidup. Begitulah tahap kesetiaan mereka kepada pasangan mereka. Tidak banyak haiwan mamalia yang terus setia bersama dengan satu pasangan, hanya beberapa peratus sahaja yang berbuat demikian. Rubah merah jantan adalah haiwan yang sangat bertanggungjawab. Apabila rubah merah betina melahirkan anak dan terpaksa berehat di kediaman mereka selama beberapa bulan, si ketua keluarga ini akan keluar mencari makanan dan mereka jarang sekali gagal. Setiap 4 hingga 6 jam mereka akan pulang memberi makan kepada keluarga. Kelompok serigala terkenal dengan sifat kekeluargaan dan “protectiveness” dan rubah merah tidak terlepas dari mewarisi karekter ini. Hal ini lah yang menjadikan rubah merah sebagai ketua keluarga terbaik di dunia haiwan.
Berdasarkan 5 senarai bapa haiwan terbaik di atas, kita dapat lihat betapa uniknya hidupan yang berada di bumi. Bukan sahaja dengan manusia, tetapi kita tidak patut skeptikal dengan menyangka semua haiwan jantan tiada nilai kasih sayang dalam diri dan tidak mampu menyayangi dan menjaga anak mereka dengan baik. Ternyata haiwan-haiwan jantan yang disebutkan ini layak menerima gelaran bapa terbaik di mana tak semua mampu melakukan seperti mereka.
Sumber: IDN Times