Dapatkan Audio+
Imbas untuk muat turun aplikasi

Hiburan

[VIDEO] “Isteri Call Cakap Anak Bakar Kereta” – Anak Main Mercun Sampai Terbakar Kereta Ayah

today11 May 2021

Background

Macam biasa menjelang Hari Raya Aidilfitri tentu akan ada kes atau kemalangan yang melibatkan bunga api dan mercun. Dah menjadi lumrah dalam masyarakat kita sambutan hari raya, tidak kira perayaan apa mesti nak kena ada mercun. Untuk memeriahkan suasana sambutan katanya. Namun, mercun ni bukanlah sesuai dimain oleh semua peringkat umur. Kalau yang kategori kanak-kanak tu nak main mestilah nak kena ada pemantauan daripada orang dewasa.

Akibat tidak pantau anak-anak kecil bermain mercun, maka berlakulah kemalangan yang tidak diduga. Terbaharu, sebuah video telah dikongsikan di Facebook memaparkan sebuah kenderaan terbakar akibat terkena mercun. Memang luluh hati pemilik kenderaan itu melihat api yang sedang marak membakar keretanya.

Baca juga: Tular Jalan Raya Di Kelantan Sesak, Dikatakan Ramai Cuba Pulang Ke Kampung Untuk Sambut Hari Raya

Difahamkan ia berpunca daripada si anak yang terbaling mercun ke dalam kereta ayahnya, sehingga mengakibatkan nyalaan api dalam kereta. Semasa kejadian juga difahamkan tidak ada yang pantau si anak bermain mercun, dan si ayah pula keluar mencari kayu untuk membakar lemang. Namun alangkah terkejutnya si ayah apabila menerima panggilan daripada isteri memaklumkan keretanya terbakar.

Sudahnya, bukan lemang yang dibakar tetapi kereta yang terbakar. Malang memang tidak berbau, maka terpaksalah menerima hakikat sambutan hari perayaan tahun ini dengan kereta yang hangus terbakar. Kejadian yang berlaku di Alor Pasir, Wakaf Bharu itu bagaimanapun berjaya dipadam apinya oleh pihak bomba. Mujur api tidak menyambar rumah mangsa. 

Dalam pada itu, ramai yang bersimpati dengan nasib yang menimpa keluarga tersebut. Apa-apa pun kita doakan agar urusan keluarga tersebut dipermudahkan. Mungkin ini juga sebagai peringatan untuk kita semua agar tak leka dan membiarkan anak bermain bunga api ataupun mercun sendirian. 

Baca juga: Rasa Letih Menunggu Waktu Berbuka? Jom Tengok Waktu Berpuasa Paling Panjang Dan Pendek Di Dunia

Sumber daripada: Facebook

Written by: Hamka Rosli


Previous post