Kool FM

5 Jambatan Pejalan Kaki Paling Menakutkan Di Dunia

Kebiasaannya jambatan dibina bertujuan menghubungkan dua tempat berasingan yang sukar dilalui menggunakan jalan desa atau tempat tinggi. Walaupun begitu, pernahkah anda melihat jambatan yang menakutkan yang ada di dunia? Terdapat pelbagai jambatan zaman moden yang telah dibina seperti jambatan di atas jalan raya yang boleh dilalui oleh kenderaan dan pelbagai lagi. Namun, jambatan menakutkan ini hanya dapat dilalui oleh pejalan kaki sahaja dan setiap jambatan akan mendatangkan cabaran yang berbeza setiap satunya. Berikut adalah 5 jambatan pejalan kaki paling menakutkan di dunia yang masih digunakan sebagai jalan perhubungan dan tarikan pelancongan.

Baca juga: Fakta Menakutkan Tentang Berus Gigi Anda

Jambatan Gantung Taman Papilano – Kanada

Jambatan ini dibina oleh George Grant Mackay iaitu seorang jurutera dari Scotland. Ia mempunyai ketinggian 70 meter dan 130 meter panjang. Jambatan ini dibina di atas Sungai Papilano yang usianya melebihi 100 tahunTerdapat beberapa insiden yang tidak diingini pernah berlaku di sini. Contohnya, pada tahun 1999, seorang wanita secara tidak sengaja telah menjatuhnya bayinya yang berusia 18 bulan manakala pada tahun 2012 seorang pelancong berusia 30 tahun telah mati akibat terjatuh dari jambatan itu. Walau bagaimanapun Jambatan Gantung Papilano ini, tetap menjadi tarikan utama pelancong dari seluruh dunia dengan statistik 800 ribu kehadiran setiap tahun.

Jambatan Musou Tsuribashi – Japan

Usia jambatan ini sudah melebihi 50 tahun tetapi ia kelihatan lebih tua berbsnding yang sepatutnya. Tujuan jambatan ini dibina masih tidak jelas namun Jambatan Musou Tsuribashi ini digelar sebagai salah satu jambatan tali yang paling menakutkan di Japan. Struktur jambatan ini terdiri daripada papan yang nipis dan wayar dan halus untuk dipijak. Tidak disangkal lagi, jantung anda akan berdegup kencang dan ketakutan yang mendalam kerana setiap langkah yang anda lalui akan mengeluarkan bunyi namun demikian perlu beringat bahawa jambatan ini tidak diselia dengan baik. Kemungkinan untuk runtuh tidak dapat kita ramal.

Jambatan Gantung Hussaini – Pakistan

Melihat kepada gambar di atas, semestinya Jambatan Gantung Hussaini lama akan membuat anda merasa kecut. Jambatan ini juga dianggap sebagai salah satu jambatan gantung yang paling berbahaya di dunia. Bagi penduduk di daerah Gilgit-Baltistan di Utara Pakistan, ianya tidak menakutkan kerana daerah ini terpisah dari tanah besar Pakistan sehingga tahun 1978 kerana keadaan muka bumi dan jalan yang tidak menentu. Anda boleh pergi ke sana dengan menaiki kapal terbang tetapi ianya hanya untuk golongan orang kaya sahaja.

Pada tahun 1978, Lebuhraya Karakoram telah siap dibina dan menghubungkan daerah itu. Bagi kawasan yang jauh di pedalaman keadannya tetap sukar seperti 100 tahun yang lalu. Setelah terbinanya jambatan gantung Hussaini yang baru, penduduk pedalaman dapat berhubung dan pergi ke kawasan yang lebih maju.

Jambatan Salbit – Switzerland

Jambatan gantung kedua tertinggi di Eropah iailah Jambatan Salbit dengan ketinggian 2981 meter dari paras laut. Kawasan ini tidak boleh diakses oleh manusia sebelum tahun 1948. Jambatan ini yang dibina sepanjang 90 meter adalah untuk menyeberangi kawasan pendakian antara khemah Voralp dan khemah Salbit. Pada tahun 2008, jambatan yang dikenali sebagai Salbitbrucke telah siap dibina dan dibuka untuk laluan umum pada tahun berikutnya. Sebahagian struktur jambatan ini masih terdedah dan boleh mendatangkan bahaya, kebanyakan orang akan membawa peralatan keselamatan tambahan untuk menyeberangi jambatan ini.

Sky Bridge Langkawi – Malaysia

Jambatan Sky Bridge Langkawi dibina 661 meter tinggi dari paras laut dan merupakan jambatan kabel pejalan kaki yang melengkung. Jambatan ini terletak di puncak Gunung Mat Cincang di Pulau Langkawi, Kedah. 125 meter panjang dan 1,8 meter lebar adalah ukuran jambatan ini. Walaupun agak menakutkan untuk menyeberangi jambatan ini, pemandangan yang indah berhadapan dengan luat Andaman dan juga bukit-bukau kehijauan berunsurkan alam adalah pemandangan yang mengatasi ketakutan itu. Jambatan ini dinobat sebagai salah satu kehebatan kejuruteraan oleh kerana bentuknya yang melengkung. Tambahan pula kapasiti maksimum jambatan ini adalah 250 orang dalam satu masa.

Ini adalah antara 5 jambatan yang paling menakutkan untuk diseberangi. Jika anda adalah seorang pendaki dan sukakan aktiviti ekstrem seperti menyeberangi jambatan menakutkan ini, pastikan anda mempunyai peralatan keselamatan yang sesuai dan langkah-langkah keselamatan perlulah dititikberatkan.

 

Baca juga: Kewujudan Ladang Mayat Di Dunia, Menyeramkan!

Sumber: iluminasi

Exit mobile version