Bila Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dilanjutkan, mungkin ada antara kita yang makin lama biarkan kereta tersadai di rumah. Kalau jenis semuanya cukup dekat rumah, memang sebulanlah kereta tu tak berjumpa tuannya. Tapi jangan ambil mudah perkara ni, takut nanti kereta tu merajuk bila dah lama tak start. Ini 5 perkara yang anda perlu tahu kalau nak biarkan kereta lama tak start.
Tanggal Sambungan Kabel Bateri

Yang ni memang ramai yang tahu kalau nak tinggal kereta dalam satu masa yang lama memang kena cabut bateri. Ini untuk mematikan arus bateri kereta dan mengelakkan dari bateri lemah yang mengakibatkan kereta anda susah nak dihidupkan atau tak boleh dihidupkan langsung. Cabut bateri pun bukan boleh main cabut je. Ada caranya. Gunakan spannar untuk melonggarkan nut pada terminal bateri dan cabut terus sambungan ke bateri.
Pam Tayar
Perasan tak kereta usang yang ditinggalkan lama di tepi jalan akan mempunyai tayar yang kempis? Ini apa yang akan terjadi sekiranya anda membiarkan kereta terlalu lama tak bergerak. Untuk mengelakkan tayar menjadi kempis, pastikan anda isi angin tayar mengikut spesifikasi tayar kenderaan. Berat kenderaan sebenarnya menekan tayar sehingga menjadi kempis. Proses ini akan lebih cepat pada waktu sejuk. Kalau malas nak pam tayar, boleh cabut je tayar kereta tu kalau rasa memang tak nak guna sampai habis tempoh PKPB.
Parking Di Tempat Tertutup
Meletakkan kenderaan anda di tempat tertutup juga penting untuk kesejahteraan kenderaan anda. Jika kereta terdedah kepada cuaca luar yang panas, hujan dan berembun untuk tempoh yang lama, cat pada badan kereta akan pudar atau karat. Selain itu, bahagian interior kereta juga akan rosak. Kalau tak ada tempat tertutup, pastikan anda buka sedikit tingkap kereta dan angkat wiper ke atas. Kalau ada canvas kereta, bolehlah selimutkan kereta tu. Lagi bagus kalau anda basuh kereta seminggu sekali untuk buang segala kotoran yang melekat pada badan kereta.
Elak Guna Parking Break
Brek tangan yang digunakan dalam masa yang lama kebiasaannya akan menyebabkan break pad melekat pada break disc. Bila dah melekat ni memang leceh sikit nak betulkan. Jadi antara cara yang boleh digunakan kalau tak nak guna brek tangan adalah dengan meletakkan kenderaan pada gear satu. Boleh juga letakkan wheel stopper pada tayar kereta anda.
Isi Minyak
Tangki minyak yang sikit atau kosong boleh mengakibatkan wap terhasil dan sekaligus mengakibatkan tangki minyak berkarat. Selain itu, gas petrol juga boleh terhasil dan boleh menyebabkan kereta anda lebih mudah meletup atau terbakar bila terdedah kepada haba terlalu lama. Untuk mengelakkan daripada perkara tak diingini berlaku, sila isi penuh minyak kereta anda. Harga minyak pun tengah murah sekarang ni.
Tapi cara paling senang untuk memastikan kereta anda tidak mempunyai masalah bila ditinggalkan lama adalah anda sendiri yang kena rajin hidupkan enjin kereta untuk beberapa minit setiap hari. Lagi baik kalau dapat bawak kereta pusing-pusing kejap.
Baca juga artikel menarik lain:
Kenali 5 Organisasi Jenayah Terbesar Dan Menggerunkan Di Dunia